TeknologiCara Mudah

Telefon Masuk Air Atau Kena Hujan? Jangan Masukkan Dalam Beras! Tapi Guna Cara Ini…

Cara Mudah Keringkan Telefon Masuk Air

Sumber Gambar Whistle Out

Korang mesti pernah alami telefon masuk air kan? Dalam beberapa minggu ni, semakin ramai orang memuat naik gambar mereka bersantai dan berekreasi di sungai-sungai dan pantai. Tak kurang juga yang bermandi-manda di kolam renang untuk bersantai bersama keluarga di hujung minggu kan.

Namun keseronokan boleh hilang serta-merta apabila telefon terjatuh ke dalam air saat mahu menangkap gambar. Seperti yang kita tahu, air dan telefon bukanlah satu gabungan yang baik. Memang rasa macam nak gugur jantung apabila melihat telefon terjatuh ke dalam air, tapi benda yang penting adalah apa yang korang buat selepas itu.

Apa Yang Perlu Dibuat Kalau Telefon Masuk Air?

Bila telefon terjatuh ke dalam air, korang kena bertindak pantas supaya ia tak rosak. Walaupun air dah masuk di dalamnya, telefon masih boleh diselamatkan daripada kerosakan kekal kalau korang ikuti langkah-langkah di bawah ni:

1. Cepat-Cepat Keluarkan Daripada Air

Sumber Gambar Quora

Apabila telefon terjatuh saja ke dalam air, cepat-cepat keluarkannya. Semakin lama korang biarkan telefon di dalam air, semakin banyak air yang mengalir masuk melalui lubang-lubang kecil di badan telefon yang boleh merosakkannya. Korang ada peluang yang lebih cerah untuk mengelakkan telefon daripada rosak jika cepat-cepat menjauhkan telefon daripada sumber air. Dalam situasi ni, setiap saat berharga.

2. Matikan Telefon

Sumber Gambar Macworld

Apabila telefon dah berada di dalam tangan, cepat-cepat matikannya untuk mengelakkan litar pintas daripada berlaku. Elakkan juga daripada menggoncang-goncangkan telefon. Walaupun korang rasa ia boleh mengeluarkan air, tapi sebenarnya perlakuan ni boleh merosakkan lagi telefon apabila lebih banyak air memercik pada papan litar.

3. Kalau Terjatuh dalam Air Laut, Lapkan dengan Kain yang Lembap

Sumber Gambar Dreamstime

Ya, korang kena basahkan lagi telefon tersebut. Air laut bersifat menghakis, jadi jika dibiarkan telefon basah lama dengan air laut, ia pasti akan rosak. Gunakan kain lembap untuk bersihkan telefon daripada air laut. Kalau setakat terkena kain yang lembap, ia takkan boleh sampai merosakkan telefon pun.

4. Tanggalkan Bahagian-Bahagian yang Boleh Ditanggalkan

Sumber Gambar Next Pit

Kalau boleh, tanggalkan mana-mana bahagian yang boleh seperti kad SIM dan kad memori SD. dan kalau telefon korang jenis yang boleh cabut bateri, cabutkannya juga. Pastikan korang lakukan ni dengan berhati-hati, tanpa menggerakkan sangat telefon tersebut sebab takut air di dalam telefon terkena bahagian-bahagian lain.

5. Lap Telefon dengan Tuala atau Tisu Kering

Sumber Gambar Time

Gunakan tuala atau tisu yang bersih untuk mengelap badan telefon yang basah. Pastikan korang tak ‘tertolak’ masuk air ke dalam lubang headphone ataupun speaker semasa mengelap telefon tersebut. Bahagian-bahagian yang ditanggalkan pun korang boleh keringkan sekali. Sedikit peringatan:

  • Jangan masukkan tuala atau tisu di bahagian lubang charger.
  • Jangan menekan apa-apa butang pada telefon.
  • Jangan menggoncang, mengetuk, atau menggerakkan telefon dengan kuat.
  • Jangan halakan kipas ke arah telefon dan jangan meniupnya juga.
  • Jangan mengecas telefon apabila telefon masih basah.

6. Biarkan Telefon untuk Kering

Letakkan telefon di atas tuala untuk kering. Kalau boleh, sandarkannya di tepi sesuatu agar ia berdiri dan membolehkan air mengalir keluar ke bawah melalui lubang charger. Jangan gunakan pengering rambut untuk keringkan telefon sebab ia akan lebih merosakkannya. Biarkan telefon untuk kering selama satu ke dua hari.

Perlu ke rendam dalam beras? 

Sumber Gambar The Verge

Mungkin korang selalu dengar, kalau telefon terendam dalam air perlu masukkan dalam beras untuk cepat kering. Sebenarnya, cara ni tak berkesan pun. Gazelle.com telah membuat eksperimen mengeringkan telefon yang basah dengan 6 bahan berlainan untuk melihat mana satu bahan yang menyerap air yang paling laju. Dan hasilnya, telefon basah yang direndamkan dalam beras adalah yang paling lambat kering. Malah, apabila memasukkan telefon dalam beras, habuk-habuk dan debu boleh melekat padanya. Jadi cara yang lebih berkesan adalah untuk membiarkan telefon tersebut kering dengan sendirinya.

7. Periksa Telefon Jika Ada Kerosakan

Bila telefon dah betul-betul kering, cuba periksa jika ada apa-apa kerosakan atau glitch. Kalau bernasib baik, telefon korang akan berfungsi seperti biasa. Kalau nasib tak baik, korang akan perasan kerosakan seperti telefon tak boleh dihidupkan, skrin tak boleh kesan cap jari ataupun bunyi yang keluar daripada speaker jadi tenggelam. Dalam situasi macam ni, korang kenalah hantar telefon ke kedai untuk dibetulkan.

Ataupun, korang boleh ambil langkah persediaan awal dengan menggunakan casing telefon yang kalis air. Dengan cara ni, lepas ni tak adalah risau sangat kalau telefon terjatuh dalam air. Macam mana pula kalau telefon hilang? Ada ke cara nak cari? Jawapannya ada! Ikut je cara-caranya di SINI!

 

Ikuti Kami

Anda Mungkin Minat

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Back to top button