RumahTips Jimat

Jangan Buang Dulu Kulit Telur Tu! Ada 6 Sebab Kenapa Korang Tak Boleh Buangkannya….

Kelebihan Dan Kegunaan Lain Kulit Telur

Boleh kata, setiap kali nak beli barang dapur pada hujung bulan, troli kita mesti akan terisi dengan sepapan telur. Telur ayam ni dah boleh dikira sebagai bahan masakan wajib yang perlu ada di dapur, selain bawang. Kebanyakan menu harian pasti akan jumpa telur, dari telur rebus dalam nasi lemak, kepada telur goreng sambal sebagai makan tengah hari, ataupun semudah telur dadar sebagai lauk tambahan.

Tapi apa yang korang buat dengan kulit telur lepas dah pecahkannya? Kalau jawapannya adalah membuang kulit telur tersebut ke dalam tong sampah, korang perlu berhenti lakukannya! Tahu tak, sebenarnya kulit telur ni ada banyak kegunaan lainnya, daripada menjadi baja, sampailah nak menghalau tikus dan lipas. Dekat bawah ni, kitorang senaraikan beberapa kegunaan lain yang boleh diaplikasikan pada kulit telur:

Kelebihan Dan Kegunaan Lain Kulit Telur Boleh Buat Macam-Macam

1. Agen Pencuci yang Bagus

Sumber Gambar One Good Thing

Kalau korang ada lebihan kulit telur, pecahkannya menjadi kepingan-kepingan kecil dan letakkan di dalam satu bekas di tepi singki. Nanti bila-bila mahu mencuci bekas makanan, lagi-lagi yang susah mahu dicuci dengan span seperti botol, korang bolehlah gunakan kulit telur ni sebagai skrub untuk menghakis dan mencuci kotoran di dalam botol tersebut. 

Caranya adalah:

  • Masukkan kepingan kulit telur dengan sedikit air dan sabun, lalu goncangkan botol atau bekas tersebut hingga bersih. 
  • Kemudian boleh bilas dengan air paip.

2. Menjadi Bekas Pembenihan

Sumber Gambar Squawk Fox

Kulit telur juga sangat sesuai untuk dijadikan bekas pembenihan. Korang boleh tanam biji benih di dalam kulit telur. Selain daripada sebab ia cukup kuat untuk menampung tanah, kulit telur juga kaya dengan kalsium yang boleh bantu mempercepatkan proses penumbuhan benih tersebut.

Cara-cara untuk menjadikan kulit telur sebagai bekas pembenihan adalah:

  • Isikan tanah dan sedikit baja organik ke dalam kulit telur yang dah dibersihkan.
  • Kemudian masukkan biji benih yang bersesuaian. Korang boleh tanam tauge, tomato, ataupun kacang panjang.
  • Siram mengikut keperluan tanaman tersebut. Nanti bila dah mula tumbuh pucuk, korang bolehlah pindahkan ke dalam pasu. Tak perlu keluarkan daripada bekasnya pun. Terus tanam sekali dengan telurnya sekali.

3. Baja Organik yang Mesra Tumbuhan

Sumber Gambar YouTube

Lepas ni, korang dah tak perlu nak beli baja yang mahal-mahal untuk suburkan tanaman. Korang boleh je gunakan kulit telur sebagai baja organik. Bukan saja ia kaya dengan sumber kalsium, baja kulit telur juga mesra tumbuhan sebab tak ada kewujudan bahan kimia. Taburkan je kepingan-kepingan kulit telur di batang tumbuhan yang ditanam.

4. Penghalau Haiwan dan Serangga Perosak

Sumber Gambar Rural Sprout

Kehadiran haiwan atau serangga perosak di rumah memang menjengkelkan kita. Walaupun ada banyak ubat menghalau haiwan atau serangga perosak yang dijual, tapi kebanyakannya menggunakan bahan kimia yang kadang-kadang boleh membahayakan keluarga kita. Sebab tu lah, korang kena gunakan kulit telur je untuk menghalau haiwan dan serangga perosak ni.

Caranya:

  • Untuk menghalau haiwan atau serangga seperti tikus, lipas, dan semut, kisarkan kulit telur sehingga menjadi serbuk halus.
  • Gaulkan serbuk kulit telur tadi dengan baking soda sehingga sebati.
  • Kemudian bolehlah letakkan di mana-mana tempat yang menjadi tumpuan haiwan dan serangga perosak ni. Ia akan tertarik dengan bau kulit telur tersebut, dan apabila ia cuba memakannya, baking soda dalam campuran tadi akan membunuhnya.

Sumber Gambar Container Gardenville

  • Kalau tanaman selalu diganggu ulat dan siput, taburkan kepingan kulit telur di sekitar tanaman tersebut. Bucu-bucu tajam kulit telur akan melukakan ulat dan siput ni tadi.

5. Suplemen Tambahan Makanan Kucing

Sumber Gambar One Good Thing

Bukan korang je yang perlukan sumber kalsium tau, haiwan peliharaan pun sama juga! Kalau ada bela kucing di rumah, korang boleh gaulkan setengah sudu serbuk kulit telur dengan makanannya. Ia akan bertindak sebagai suplemen kalsium tambahan. Jadi tak perlulah nak beli pil kalsium untuk kucing yang mahal tu.

6. Pemutih Pakaian

Sumber Gambar One Good Thing

Daripada menggunakan clorox yang boleh merosakkan pakaian, apa kata cuba gunakan kulit telur pula. Kulit telur dikenali sebagai bahan semula jadi yang boleh memutihkan pakaian. Caranya mudah je:

  • Masukkan beberapa keping kulit telur ke dalam beg berjaring. Nanti tak adalah kulit telur bersepah sana-sini di dalam mesin basuh pula.
  • Masukkan beg berjaring tadi sekali dengan pakaian putih yang mahu dibasuh, dan setkan tetapan pada mesin basuh korang seperti biasa. Nanti baju yang keluar akan menjadi lebih putih!

Jadi, lepas ni korang kena ingat tau. Jangan buang kulit telur sebab ada banyak lagi kegunaan lain yang boleh dilakukan dengannya. Sebagai peringatan, pastikan korang dah cuci kulit telur tersebut dengan sabun dan air sebelum menggunakannya. Kalau makanan masin nak baik macam mana? Boleh baca di SINI

Ikuti Kami

Anda Mungkin Minat

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Back to top button