Informasi

Musim Monsun Dah Tiba, 5 Perkara Ini Patut Korang Elakkan Yang Masih Ramai Tak Tahu

5 Perkara Yang Perlu Elakkan Semasa Di Musim Monsun

Musim Monsun

Musim monsun merupakan fenomena cuaca yang sering berlaku terutamanya di kawasan tropika seperti Asia Tenggara. Ia membawa perubahan cuaca yang ketara, termasuk hujan lebat dan angin kencang yang berterusan. Musim hujan yang berterusan ini boleh membawa kesan yang besar kepada kehidupan harian dan keselamatan manusia. Oleh itu, penting untuk mengambil langkah-langkah berjaga-jaga dan mengelakkan amalan tertentu semasa di musim ini.

Kebiasaannya di Malaysia, musim peralihan monsun dijangka bermula sekitar pertengahan September dan berterusan sehingga November. Permulaan fasa itu menandakan berakhirnya Monsun Barat Daya yang bermula sekitar bulan Mei. Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia, perubahan cuaca ini berlaku terutamanya pada waktu petang dan awal malam di kebanyakan kawasan di negeri di pantai barat dan pedalaman Semenanjung, barat Sabah serta barat dan tengah Sarawak

Dalam artikel ini, kami akan berkongsi 5 perkara yang harus dielakkan ketika musim monsun melanda. Dengan mengetahui risiko dan mengambil langkah berjaga-jaga, kita dapat melindungi diri dan keluarga daripada bahaya yang mungkin berlaku semasa musim monsun.

5 Perkara Yang Perlu Elak Semasa di Musim Monsun

Musim Monsun

Sumber gambar Jabatan Meteorologi Malaysia

1. Hindari Pergi Ke Lokasi Yang Berisiko

Secara logiknya, lokasi-lokasi akuatik seperti air terjun, sungai, paya, lombong, terusan, kolam, tasik dan laut perlulah dielakkan, lebih-lebih lagi jika anda membawa anak-anak kecil. Malangnya, semakin kerap dinasihati dan diingatkan, masih ada kejadian melibatkan korban jiwa di tempat-tempat tersebut yang dilaporkan media massa setiap tahun.

Terdapat banyak cara untuk mendapatkan maklumat laporan kaji cuaca termasuklah dengan menonton ramalan cuaca semasa di TV atau internet, mendengarkan laporan cuaca di radio, serta melihat sendiri keadaan langit di sekitar kawasan korang. Pastikan anda peka keadaan sekeliling dan berada di kawasan yang selamat.
Musim Monsun
2. Kurangkan Beli Makanan Di Luar
Cuaca yang tidak menentu semasa musim hujan boleh mempengaruhi kebersihan dan penyediaan makanan di restoran dan kedai makanan. Air hujan yang boleh mencemari bekas makanan atau tempat penyediaan makanan boleh mengakibatkan risiko kepada kesihatan korang.
Hujan lebat semasa musim hujan boleh meningkatkan risiko wabak penyakit berjangkit, terutamanya jika terdapat perubahan dalam penyediaan makanan atau pemeliharaan kebersihan yang terjejas di tempat-tempat makanan luar. Oleh itu, makan di rumah dapat membantu mengawal kualiti dan keselamatan makanan.
3. Jangan Sentuh Objek Metalik, Barang Atau Kabel Elektrik
Keselamatan adalah keutamaan ketika musim monsun melanda. Mengelakkan sentuhan dengan objek metalik, barang, atau kabel elektrik yang boleh menyebabkan renjatan elektrik adalah salah satu langkah penting untuk memastikan keselamatan diri dan keluarga. Tingkatkan kesedaran akan risiko ini dan amalkan tindakan berjaga-jaga untuk memastikan musim monsun berlalu dengan selamat dan tanpa kejadian yang tidak diingini.
Pastikan korang padam suis kuasa dan cabut plag barangan elektronik di rumah seperti televisyen, radio, modem, komputer dan barangan lain ketika hujan lebat diiringi petir. Dalam situasi lebih teruk seperti dilanda banjir, semua peralatan haruslah dipadamlan, termasuk peti sejuk. Korang juga perlu mengalihkan barangan elektrik serta barangan penting lain di aras yang lebih tinggi supaya tidak dibawa arus air sekiranya berlaku banjir.
Jangan sesekali berada dekat dengan tiang atau pencawang elektrik kerana boleh terkena renjatan. Jika melihat seseorang rebah akibat terkena renjatan, jangan segera mendekati dan menyentuh mangsa tanpa memikirkan tentang risiko persekitaran terlebih dahulu. Sebaik-baiknya, jaga jarak anda dan dapatkan bantuan pakar dengan menghubungi talian kecemasan dengan segera.
4. Jauhi Struktur Yang Tidak Kukuh
Struktur yang tidak kukuh atau lemah lebih cenderung untuk mengalami keruntuhan atau kerosakan ketika terdedah kepada tekanan cuaca yang tinggi seperti angin kencang, hujan lebat, atau tanah runtuh semasa musim monsun. Runtuhan bangunan atau bahagian-bahagian struktur yang longgar atau rapuh boleh menyebabkan kecederaan yang serius atau kematian.
Mengambil langkah berjaga-jaga dan menjauhi struktur yang tidak kukuh semasa musim monsun adalah strategi bijak untuk meminimalkan risiko dan melindungi nyawa serta harta benda daripada potensi bahaya yang mungkin berlaku sepanjang musim monsun.
5. Elak Berlindung Atau Parkir Kenderaan Di Bawah Pokok
Berlindung atau parking kenderaan di bawah pokok mungkin merupakan tindakan yang kelihatan selamat pada pandangan pertama, tetapi sebenarnya ia boleh membawa risiko dan kesan buruk terutama semasa musim monsun. Memarkir kenderaan di bawah pokok semasa musim monsun boleh membawa risiko bahaya iaitu pokok tumbang. Angin kencang semasa hujan lebat boleh mematahkan ranting atau bahkan menumbangkan pokok secara keseluruhan, yang boleh merosakkan kenderaan di bawahnya atau, yang lebih buruk lagi, membahayakan nyawa orang didalamnya.
Berlindung di bawah pokok juga berpontensi untuk terkena panahan petir atau kilat. Kilat boleh menjadi ancaman semasa musim monsun, dan berlindung di bawah pokok mungkin tidak selamat. Sebaliknya, korang sepatutnya mencari tempat yang lebih selamat dan berbumbung. Tunda semua aktiviti luar jika ribut petir dijangka berlaku.
Musim Monsun
Kesimpulannya, musim monsun membawa cuaca yang tidak menentu dengan hujan lebat, angin kencang, dan risiko banjir yang tinggi. Oleh itu, adalah penting bagi kita untuk mengambil tindakan berjaga-jaga dan menghindari beberapa perkara utama semasa musim monsun untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan kita. Langkah-langkah pencegahan yang diambil semasa musim monsun adalah penting untuk meminimalkan risiko dan memastikan kesejahteraan. Kita haruslah sentiasa peka terhadap perubahan cuaca dan bersedia mengambil tindakan yang diperlukan demi keselamatan diri dan komuniti kita.

Ikuti Kami

Anda Mungkin Minat

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Back to top button