ResepiCara Mudah

15 Petua Memasak Di Dapur agar Kerja Memasak Jadi Lagi Mudah. Senang Nak Memasak Nanti!

Tips Dapur Supaya Nak Memasak Jadi Lagi Cepat Dan Mudah

Pernah dengan tak petua memasak? Mungkin korang pernah dengar orang kata, nak tawan hati suami adalah melalui perutnya. Dan untuk lelaki pula, mungkin pernah dengar tips nak buat wanita jatuh cinta adalah dengan buat mereka kagum dengan kemahiran memasak korang. Semua orang pun memerlukan skill memasak di dapur, bukan saja untuk buatkan ramai orang kagum, tapi juga untuk memudahkan dan mempercepatkan masa memasak kita.

Mungkin ada sesetengah orang memang berbakat di dapur, tapi ada juga orang yang enggan memasak sebab diorang rasa memasak ni satu benda yang leceh dan menyusahkan. Setiap kali memasak pula, masakannya mesti tak jadi. Lagi-lagi nak bulan puasa ni kadang tu dah penat rasa malas je nak masak sebab nanti bertambah kerja nak mengemas semua. Lebih baik beli je kan? 

15 Petua Memasak Di Dapur Agar Jadi Lebih Mudah

Jangan risau. lepas ni dah tak perlu risau lagi kalau nak memasak kalau korang ikut 15 petua memasak di bawah ni. Bukan je dapat meningkatkan skill memasak korang, tapi boleh juga mengembalikan minat memasak bagi yang dah enggan masuk dapur tu. 

1. Petua Lembutkan Daging

Sumber Gambar Daily Makan

Kalau korang ada masalah daging liat setiap kali memasaknya, cuba perap daging tu dengan baking soda selama 15 minit dulu. Lepas 15 minit, bilas dan dah boleh memasaknya. Daging akan menjadi lebih empuk.

2. Petua Elak Ikan Melekat di Kuali Semasa Goreng

Paling tak seronok kalau ikan melekat di kuali semasa goreng. Nak terbalikkan ikan tu sampai habis rosak isinya. Cuba masukkan asam keping semasa menggoreng ikan, mesti dah tak melekat.

3. Petua Hilangkan Pijar Tangan Terkena Cili

Selalunya kalau menumbuk cili, tangan akan terasa pijar sebab terkena biji cili. Cara nak hilangkannya adalah dengan melumurkan tangan dengan minyak masak sebelum cucinya dengan sabun.

4. Petua Kekalkan Hijau Pada Sayur yang Dicelur

Kalau tak nak sayur yang dicelur nampak layu, masukkan sesudu gula dalam air rebusan untuk kekalkan warna hijau sayur tersebut.

5. Petua Hilangkan Bau Peti Sejuk

Kadang-kadang, peti sejuk akan berbau kalau dah lama tak dicuci. Sementara nak tunggu hari peti sejuk dicuci, masukkan beberapa ikat daun pandan ke dalam peti sejuk untuk hilangkan bau kurang enak tu. 

6. Petua Hilangkan Bau Hanyir Ayam, Ikan & Daging

Sumber Gambar Cara Resepi

Bila protein seperti ikan, daging atau ayam tak dibasuh dengan betul, bau hanyir akan melekat walaupun lepas ia dimasak. Nak hilangkan bau hanyir, gaulkan protein tersebut dengan segenggam tepung gandum dan sedikit air. Biarkannya seketika sebelum dibasuh hingga bersih.

7. Petua Kurangkan Kuah Terlebih Masin

Terbubuh lebih garam masa masak kari atau asam pedas? Letak je kentang yang dipotong dadu untuk menyerap rasa lebihan masin tu. ataupun kalau tak ada kentang, boleh gantikan dengan hirisan timun. Lebih banyak tips baca di SINI

8. Petua Elakkan Minyak Terpercik Semasa Menggoreng Sotong

Badan sotong selalunya berair, jadi kalau nak menggoreng tu kena berhati-hati sebab takut minyak terpercik kena kita. Petua nak elakkannya adalah dengan mengelap sotong tersebut dengan tisu sebelum nak goreng ataupun gaulkannya dengan sedikit cuka.

9. Petua Simpan Udang Supaya Tahan Lebih Lama

Sumber Gambar Rasa

Sebelum nak simpan di dalam freezer, gaulkan dulu udang tersebut dengan perahan jus limau nipis. Mesti udang lebih tahan lama dan tak bertukar hitam.

10. Petua Menghalau Lalat

Nak memasak tu jadi tak seronok dan rimas bila lalat asyik terbang sana-sini di dalam dapur kita. Nak elakkan benda ni, titiskan cecair peluntur (clorox) pada kain dan lapkan di setiap permukaan meja dan kabinet agar lalat tak dapat menghinggap di situ. 

11. Petua Hilangkan Bau Kari atau Belacan Pada Tangan

Setiap kali lepas makan nasi berlaukkan kari dan sambal belacan, baunya pasti melekat lama. Cara nak hilangkan bau tersebut adalah dengan menggosok tapak tangan dan jari-jemari dengan sesudu garam sebelum basuh dengan air dan sabun.

12. Petua Elak Kutu Beras

Sumber Gambar Beras Tumpah

Perasan tak kalau setiap kali nak basuh beras, mesti korang akan terjumpa kutu beras yang timbul di permukaan air. Ada cara nak halau kutu beras ni iaitu dengan meletakkan beberapa batang cili kering di dalam tong beras. Nanti kutu beras tu mesti lari.

13. Petua Elak Semut Masuk dalam Bekas Gula

Sumber Gambar Sirap Limau

Rasa nak marah bila kita tengok bekas gula kita penuh dengan semut sebab lupa nak tutup rapat penutupnya. Cara nak halau semut daripada menghurung gula adalah dengan meletakkan beberapa kuntum bunga cengkih ke dalam bekas tersebut. Bau kuat tu akan menghalau semut-semut tu nanti. Nak halau semut tanpa racun boleh baca SINI

14. Petua Hilangkan Bau Bawang dalam Blender

Lepas kisar bawang ataupun cili, baunya mesti melekat. Walaupun puas kita tonyoh dengan sabun dan span, baunya tetap tak hilang. Cuba masukkan beberapa sudu serbuk kopi dan tuangkan sedikit air panas ke dalam blender sebelum mengisarnya selama seminit. Kemudian kisar pula air dan sabun cuci pinggan, dan akhirnya bilas seperti biasa. 

15. Petua Simpan Mi atau Kuetiau Supaya Tahan Lama

Kalau nak pastikan mi atau Kuetiau boleh tahan lama, lepas beli terus keluarkan daripada plastiknya. Kemudian, lumurkan dengan minyak sambil cerai-ceraikan mi atau kuetiau tersebut. Simpan dalam bekas kedap udara sebelum masukkan ke dalam peti sejuk.

Dengan 15 petua memasak di atas ni, lepas ni makin seronoklah nak memasak di dapur. Masa memasak pun makin kurang dan lebihan masa yang ada bolehlah diluangkan bersama keluarga. Sebenarnya selain petua memasak ni, papan pemotong sayur atau ayam kat rumah tu boleh cuci hingga bersih sampai nampak macam baru, caranya korang boleh baca di SINI.

 

Ikuti Kami

Anda Mungkin Minat

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Back to top button