TeknologiCara Mudah

Awas Beli Komputer Terpakai Sebab Lebih Murah? Ini 5 Perkara Yang Korang Mesti Tahu Sebelum Membeli

Cara Membeli Komputer Atau Laptop Second Hand

Komputer Terpakai

Sumber Gambar Sophos

Kadang-kadang kita nak beli komputer baru, namun harganya bukan dalam anggaran bajet kita. Bila dalam keadaan ini, pilihan lain yang korang boleh petimbangkan ialah untuk beli komputer terpakai yang harganya sudah pasti lebih rendah.

Terdapat pelbagai risiko yang berkaitan dengan pelbagai jenis komputer sebagai contoh antara komputer atas meja(desktop) dan komputer riba (laptop). Korang sepatutnya lebih berhati-hati dalam membeli laptop berbanding desktop terpakai kerana bahagian komputer pada desktop lebih mudah diganti berbanding laptop.

Cara Beli Komputer Atau Laptop Second Hand

Walaupun terdapat pelbagai kedai komputer yang menjual komputer terpakai, jangan terhadkan pilihan membeli di kedai komuter sahaja, boleh juga beli dari kawan, keluarga atau mereka yang menjual komputer atas talian (online). Apa yang penting ialah untuk memeriksa komputer tersebut sebelum buat keputusan untuk membeli. Ini perkara yang wajib korang tahu sebelum beli komputer terpakai:

1. Nak Beli Komputer Untuk Apa? Spesifikasi Komputer Harus Padan Dengan Kegunaan.

Sumber Gambar HP

Seperti biasa, dalam membuat keputusan nak beli apa-apa, kita kena pastikan apa tujuan kita untuk membeli. Ini penting dalam memilih komputer terpakai yang hendak dibeli. Contohnya kalau korang beli komputer terpakai untuk anak melanjutkan pelajaran di universiti, sudah pasti komputer tersebut fungsinya sepatutnya lebih kepada untuk buat assignment.

Lihat semula kapada kursus pengajian yang mereka ambil, adakah lebih kepada menaip sahaja? Jika ya, spesifikasi komputer biasa atau sederhana mencukupi untuk melakukan tugas itu. Namun jika melibatkan reka bentuk atau menyunting video yang menggunakan perisian berat seperti Adobe Photoshop, spesifikasi komputer yang lebih tinggi diperlukan. Hal yang sama jika korang nak beli komputer untuk kegunaan kerja atau pejabat.

2. Periksa CPU(Central Processing Unit), Kalau Intel 2nd Gen, Lebih Baik Simpan Di Muzium

Sumber Gambar rockpapershotgun

CPU(Central Processing Unit)  seperti jantung bagi komputer. Manusia kalau mempunyai jantung yang lemah, mereka tak dapat melakukan aktiviti secara aktif. Begitu jugalah dengan komputer. Benda paling utama bila korang nak beli komputer terpakai, tengok CPU komputer tersebut. Elakkan beli komputer dengan CPU generasi lama dan paling penting padan dengan kegunaan korang.

Cara paling senang untuk periksa CPU komputer tanpa perlu merombak komputer tersebut ialah tengok pada spesifikasi komputer yang nak dibeli atau buka ‘Task Manager’ dan klik tab ‘Performance’, di situ akan ditunjukkan maklumat tentang CPU yang digunakan di dalam komputer itu.

Sumber Gambar toppassword

Kalau tengok gambar di atas, CPU yang digunakan ialah Intel® Core™ i5-6300U. Apa yang kita boleh dapat dari informasi ini?

  • Jenis CPU(Intel® Core™ i5) – Intel Core i5 ialah jenis CPU yang digunakan.
  • Generasi CPU(6300U) – Nombor 6 itu menandakan CPU ini merupakan generasi ke-6 Intel.

Panduan paling mudah dalam memilih laptop terpakai berdasarkan CPU ialah:

  • Pastikan CPU tersebut jika Intel, generasi 6 dan ke atas, mana-mana CPU Intel generasi 5 dan ke bawah patut dah jadi nilai sekerap.
  • Penggunaan komputer zaman sekarang  banyak menggunakan internet, seeloknya pilih komputer yang menggunakan jenis CPU Intel Core-i3 dan ke atas(i5, i7 dan i9) atau AMD Ryzen 3 ke atas.

3. Saiz RAM(Random Access Memory) Pun Penting, Lebih Besar Lebih Bagus.

Sumber Gambar makeuseof

Kalau CPU tu umpama jantung bagi komputer, RAM(Random Access Memory) pula umpama urat atau pembuluh darah. Kalau urat atau pembuluh darah terlalu kecil, darah yang dipam oleh jantung akan tersumbat. Sama juga macam CPU dan RAM. Kalau RAM saiznya terlalu kecil, data dan maklumat yang dihantar oleh CPU akan mengalami kesesakan yang akan menyebabkan komputer menjadi lembap.

Banyak komputer terpakai yang murah dengan spesifikasi yang lama menawarkan RAM yang rendah seperti 2GB. Ini kerana penggunaan komputer pada zaman dahulu tidak sama seperti pada hari ini, terutamanya bila korang perlu ‘multitasking‘. Cari komputer terpakai yang mempunyai saiz RAM minimum 4GB dan ke atas supaya taklah korang terpaksa berhadapan dengan situasi komputer menjadi lembap setiap kali nak ‘multitasking‘. Jangan risau yang ini boleh upgrade atau ditambah jumlah RAM bagi sesetengah komputer, jadi perlu tanya dulu sebelum beli.

4. Dengar Bunyi Hard Disk, Kalau Terlalu Bising Tandanya Dah Terlalu Tua

Sumber Gambar HP

Hard Disk seperti otak bagi komputer. Segala maklumat, fail, data dan sebagainya di dalam komputer disimpan di situ. Ini juga salah satu komponen komputer yang paling penting. Kalau korang beli komputer terpakai, boleh dijangka yang hard disk komputer tersebut juga mungkin agak berusia melainkan pemilik sebelumnya menggantikan hard disk baru pada komputer tersebut. Dua perkara mengenai hard disk yang korang wajib periksa iaitu:

  • Umur hard disk komputer terpakai
  • Bunyi yang dihasilkan hard disk tersebut, kalau terlalu bising, bermakna hard disk tersebut sudah tua dan bukan dalam kondisi yang elok

Jika komputer terpakai yang korang nak beli cuma mempunyai masalah hard disk, boleh berunding dengan penjual untuk minta diskaun kerana nanti korang sendiri perlu untuk menukar hard disk tersebut. Hard disk sangat penting kerana kalau hard disk rosak, segala fail dan maklumat yang korang simpan dalam komputer akan lesap secara kekal. Sekarang pula ada pilihan sama ada guna hard disk drive HDD atau solid state drive SSD. Digalakkan guna SSD kerana performance nya yang lebih laju.

5. Semak Tahun Berapa Model Laptop Dikeluarkan. Kalau Lama Sangat, Banyak Perisian Tak Dapat Pakai.

Sumber Gambar GeekyGadgets

Setiap peralatan elektronik termasuk komputer dikeluarkan mengikut permintaan dan keperluan pada zaman itu. Komputer yang dikeluarkan pada tahun 2000 belum tentu dapat menampung keperluan dan penggunaan berbanding komputer yang dikeluarkan pada tahun 2021, lebih-lebih lagi perkembangan tekonologi yang bergerak pantas, sepsifikasinya juga sudah pasti jauh berbeza.

Jangka hayat komputer terutamanya komputer riba kebiasannya ialah 5 sehingga 6 tahun. Jadi bagi memastikan komputer terpakai yang korang beli masih relevan untuk menampung penggunaan sesuai dengan zaman sekarang, usia komputer yang korang nak beli tu haruslah sekurang-kurangnya 5 tahun dan ke bawah. Kalau sekalipun komputer tersebut telah di upgrade atau dipanggil refurbished, pastikan ianya mencukupi semua syarat yang dinyatakan di atas.

Nak beli komputer terpakai sebab nak berjimat itu tak salah, tapi pastikan beli ikut kemampuan, dan berbaloi pada harganya. Kalau beli komputer terpakai tapi terpaksa bayar untuk baiki berkali-kali sebab asyik rosak, duit tak jimat sesal pun dapat. Kalau nak beli laptop baru harga murah dan spesifikasi bagus boleh tengok SINI.

Ikuti Kami

Anda Mungkin Minat

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Back to top button