Kewangan

Pengeluaran Akaun 3 KWSP Mulai 11 Mei, Pada Bila-Bila Masa Serendah RM50 – Akaun Fleksibel KWSP

Penjelasan Lanjut Mengenai Pengeluaran Akaun 3 KWSP - Akaun Fleksibel

Pengumuman yang ditunggu-tunggu oleh orang ramai telah dimaklumkan oleh pihak Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) iaitu pengenalan akaun 3 KWSP yang dikenali sebagai Akaun Fleksibel. Pada 25 April 2024, KWSP telah mengumumkan inisiatif Penstrukturan Semula Akaun KWSP berkuatkuasa 11 Mei 2024 untuk tujuan menambah baik keselamatan pendapatan persaaraan serta memenuhi keperluan kitaran hidup ahli.

Justeru pada 11 Mei 2024, semua akaun KWSP ahli yang berumur bawah 55 tahun akan distruktur semula daripada Akaun 1 dan Akaun 2 kepada tiga (3) akaun iaitu Akaun Persaraan, Akaun Sejahtera dan Akaun Fleksibel. Baki dalam Akaun 1 akan kekal dalam Akaun Persaraan dan Akaun 2 akan kekal dalam Akaun Sejahtera, manakala Akaun Fleksibel akan bermula dengan baki sifar.

Pengeluaran Akaun Fleksibel KWSP Mulai 11 Mei, Pada Bila-Bila Masa Serendah RM50 – Akaun 3 KWSP

Berikut akan dijelaskan lebih lanjut mengenai Akaun Fleksibel KWSP atau Akaun 3 KWSP ini dan maklumat lain yang berkaitan.

Penstrukturan Semula Akaun KWSP

Berkuat kuasa 11 Mei 2024, akaun ahli KWSP akan distruktur semula daripada dua akaun iaitu Akaun 1 dan Akaun 2 kepada tiga akaun seperti berikut:

  1. Akaun Persaraan : untuk mengumpul simpanan sebagai pendapatan semasa persaraan
  2. Akaun Sejahtera : untuk menangani keperluan kitaran hayat yang menyumbang kepada kesejahteraan semasa persaraan
  3. Akaun Fleksibel : untuk menyediakan fleksibiliti bagi keperluan kewangan jangka pendek. Simpanan dalam akaun ini boleh dikeluarkan pada bila-bila masa mengikut keperluan ahli

Jumlah Caruman KWSP Baharu

Justeru itu, semua caruman selepas 11 Mei 2024 akan diperuntukkan ke dalam akaun baharu mengikut pecahan berikut:

  • Akaun Persaraan : 75%
  • Akaun Sejahtera : 15%
  • Akaun Fleksibel : 10%

Pindahan Baki Simpanan Akaun Sejahtera ke dalam Akaun Fleksibel

Ahli yang mempunyai baki simpanan di dalam Akaun Sejahtera (sebelumnya Akaun 2) boleh membuat pilihan untuk memindahkan sebahagian daripada baki akaun tersebut sebagai amaun permulaan di Akaun Fleksibel. Ahli hanya diberi pilihan sekali sahaja untuk membuat pilihan pindahan ataupun tidak. Butiran adalah seperti berikut:

Tarikh

  • 11 Mei 2024 hingga 31 Ogos 2024

Ahli Tidak Buat Pindahan

Jika ahli tidak membuat pilihan bagi mempunyai amaun permulaan, maka tiada sebarang pindahan akan dibuat dan baki sedia ada akan kekal dalam Akaun Sejahtera.

Akaun fleksibel akan bermula dengan caruman baharu yang akan dikreditkan ke dalam akaun ahli selepas tarikh pelaksanaan.

Ahli Buat Pindahan

Jika ahli membuat pilihan untuk mempunyai amaun permulaan, pindahan amaun permulaan ke Akaun Fleksibel dan akaun-akaun lain (sekiranya berkenaan) adalah mengikut jumlah baki yang terdapat dalam Akaun Sejahtera ahli tersebut pada tarikh permohonan pilihan dibuat oleh ahli.

Kaedah Pindahan

Kaedah pindahan dari Akaun Sejahtera adalah mengikut pecahan seperti berikut:

1. Baki Akaun Sejahtera RM3,000 dan ke atas

Bagi ahli yang mempunyai situasi ini, pindahan akan dibuat seperti berikut:

  •  10/30 (Sepuluh per tiga puluh) daripada baki dalam Akaun Sejahtera akan dipindahkan ke Akaun Fleksibel
  • 5/30 (Lima per tiga puluh) daripada baki dalam Akaun Sejahtera akan dipindahkan ke Akaun Persaraan
  • 15/30 (Lima belas per tiga puluh) akan dikekalkan dalam Akaun Sejahtera

2. Baki Akaun Sejahtera kurang dari RM3,000

Bagi ahli yang mempunyai situasi ini, pindahan akan dibuat seperti berikut:

  • Akaun Sejahtera yang mempunyai baki RM1,000 dan ke bawah, semua amaun dipindahkan ke Akaun Fleksibel.
  • Akaun Sejahtera yang mempunyai baki melebihi RM1,000 dan tidak melebihi RM3,000, amaun yang dipindahkan ke Akaun Fleksibel adalah RM1,000, manakala baki selebihnya adalah kekal dalam Akaun Sejahtera.

Ringkasan Pindahan Amaun Permulaan

 

Perbezaan dalam kaedah pengagihan ini adalah bagi membolehkan ahli yang mempunyai baki simpanan yang rendah untuk turut mempunyai jumlah permulaan yang bermakna dalam Akaun Fleksibel mereka.

Permohonan Pindahan Amaun Permulaan ke Akaun Fleksibel

Ahli yang ingin membuat pindahan amaun permulaan ke Akaun Fleksibel boleh mengemukakan permohonan menerusi aplikasi KWSP i-Akaun atau Self-Service Terminal yang terdapat di mana-mana cawangan KWSP di seluruh negara bermula tarikh yang dinyatakan di atas

Ahli boleh membuat pilihan untuk pindahan amaun permulaan ke Akaun Fleksibel sebanyak satu (1) kali sahaja bermula daripada tarikh kuat kuasa sehingga 31 Ogos 2024, di mana selepas ini pilihan ini tidak boleh dibatalkan.

 

Jumlah Pengeluaran Akaun Fleksibel

Seperti maklum, ahli boleh membuat pengeluaran daripada Akaun Fleksibel:

  • Tarikh : Pada bila-bila masa
  • Jumlah :Minimum RM50

Syarat Pengeluaran

Syarat-syarat bagi pengeluaran Akaun Fleksibel adalah seperti di bawah:

  1. Semua ahli KWSP Warganegara Malaysia dan Bukan Warganegara Malaysia
  2. Belum mencapai umur 55 tahun
  3. Mempunyai simpanan dalam Akaun Fleksibel; dan
  4. Had amaun pengeluaran minimum yang ditetapkan adalah RM50

Kaedah Pengeluaran 

Kaedah pengeluaran adalah menerusi permohonan. Permohonan bagi pengeluaran daripada Akaun Fleksibel boleh dibuat secara dalam talian (online) menerusi KWSP i-Akaun atau di mana-mana cawangan KWSP di seluruh negara.

Ahli yang masih belum mendaftar KWSP i-Akaun adalah digalakkan bagi melakukannya untuk membolehkan transaksi pengeluaran daripada Akaun Fleksibel dapat dilaksanakan dengan lebih mudah.

Baca juga: Cara Daftar i-akaun KWSP

 

Akaun 55 dan Akaun Emas

Seperti amalan sediakala sebelum ini, kesemua simpanan dalam Akaun Persaraan, Akaun Sejahtera dan Akaun Fleksibel ahli yang telah mencapai umur 55 tahun akan disatukan ke dalam Akaun 55. Caruman baharu yang diterima oleh ahli bermula umur 55 tahun akan dikreditkan ke dalam Akaun Emas.

Ahli boleh mengakses sistem sepenuhnya pada 12 Mei 2024.

Maklumat lanjut

Bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai inisiatif Penstrukturan Semula Akaun KWSP, ahli boleh mengunjungi mana-mana cawangan KWSP di seluruh negara atau merujuk kepada:

 

Ikuti Kami

Anda Mungkin Minat

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Back to top button