Tips JimatKewangan

“Raya Dah Dekat, Duit Banyak Nak Pakai”. Ini 5 Tips Urus Bajet Hari Raya Untuk Diri & Keluarga

Tips Jimat Urus Belanja Hari Raya Agar Cukup Duit Sampai Hujung Bulan

Hari Raya Aidilfitri tak lama akan menjelang kembali, macam dah boleh bau masakan seperti lemang, ketupat dan rendang. Hari Raya ini lah perayaan yang boleh dikatakan kita sambut paling meriah. Kalau boleh bila Hari Raya, semua benda kita nak tukar baru. Baju baru, langsir baru, televisyen baru dan sebagainya.

Dalam keasyikan kita menyiapkan persiapan untuk Hari Raya, ada satu benda paling penting korang tak boleh lepas pandang iaitu pengurusan perbelanjaan Hari Raya. Jom baca 7 tips perkongsian dari Dr Azizul Azli Ahmad, seorang perunding kewangan untuk korang jaga perbelanjaan Hari Raya Aidilfitri:

1. Setiap Tahun Baju Raya Baru, Pakai Pun Baru Sekali!

Sumber Gambar Calaqisya

Baju raya baru boleh dikatakan kena ada setiap tahun bila sambut Hari Raya Aidilfitri, ada yang jika baju rayanya kalau tak ‘tailored-made’ tak sah. Walaupun begitu, korang kena buat pertimbangan dengan bajet korang sendiri. Kalau sampai belanja lebih dari kemampuan, tak nak lah lepas raya terpaksa meminjam atau berhutang sana sini. Ini tips yang korang boleh follow untuk baju raya:

  • Jangan buat/beli baju raya setiap tahun, maksima selang dua tahun baru tukar
  • Kalau nak beli jugak, beli baju yang sederhana fesyennya, supaya boleh juga digunakan untuk pergi kerja atau tempat lain selepas raya. Elakkan beli baju yang penuh dengan manik dan labuci.
  • Tetapkan had belanja setiap baju contohnya RM 150 untuk baju raya dewasa, dan RM 60 untuk baju raya kanak-kanak.
  • Jadi kalau untuk keluarga yang ada tiga orang anak, baju suami isteri = RM 300 dan baju anak-anak = RM 180. Jumlahnya ialah RM 480. Takdelah nanti ter ‘over’ bajet

Jadi pastikan korang tak ter ‘over’ bajet dari jumlah yang dah korang tetapkan untuk baju raya dan baju yang dibeli sesuai untuk dipakai lebih dari sekali tak ada lah membazir pakai sekali lepastu simpan dalam almari.

2. Kuih Raya, Rendang Dan Ketupat. Jimat Lagi Beli Atau Buat Sendiri?

Sumber Gambar Kitchen Confidante

Makanan raya macam kuih raya, rendang dan ketupat, pun kita kena perhatikan perbelanjannya. Kuih raya selalu dalam dilema, nak beli atau buat sendiri? Kalau korang nak kuih raya dalam kuantiti yang banyak, lebih jimat kalau buat sendiri. Kalau sekadar nak dalam kuantiti yang sedikit, baik beli sebab lebih jimat. Ini juga terpakai untuk makanan raya lain seperti ketupat dan lemang yang penyediannya selalu dibuat dalam kuantiti yang besar baru berbaloi.

Tahun ini kita masih beraya dalam keadaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), jadi mungkin tak perlu untuk kita berbelanja terlalu besar untuk makanan raya kerana aktiviti ziarah-menziarahi rumah pun tidak digalakkan. Jadi lebih baik untuk beli makanan raya jika cuma perlu dalam kuantiti yang sedikit, selain lebih jimat, kita juga membantu peniaga-peniaga yang terkesan disebabkan PKP ini. Contoh bajet untuk makanan raya korang boleh ikut ialah:

  • Kuih Raya – RM 250
  • Ketupat – RM 30
  • Lemang – RM 50
  • Lauk seperti rendang daging dan ayam – RM 200
  • Jumlah yang korang boleh peruntukkan untuk makanan raya ialah RM 530

3. Berapalah Nak Kasi Duit Raya Tahun Ni? Takut Kena Cop Kedekut Pulak

Sumber Gambar Redaksi

Amalan memberikan duit raya ini sangat bagus sebenarnya, malah dalam Islam sendiri digalakkan bersedekah. Tetapi korang dinasihatkan juga agar berkadar dengan kemampuan masing-masing. Memberi supaya rezeki kita dimurahkan lagi, tapi jangan sampai terpaksa berhutang buat pening kepala nanti. Ini tips yang korang boleh ikut dalam nak memberi duit raya:

  • Tukar awal pecahan duit raya kepada not matawang yang lebih kecil seperti RM 1 atau RM 5 untuk diberikan kepada anak saudara atau anak tetamu yang berkunjung
  • Utamakan duit raya untuk ibu bapa, dan anak terlebih dahulu. Contohnya: RM 50 x 4 = RM 200 untuk ibu bapa termasuk belah suami / isteri. RM 50 x 3 = RM 150 untuk tiga orang anak.
  • Peruntukkan lagi RM 100-150 untuk diberikan kepada anak saudara atau anak tetamu yang datang berkunjung.

Untuk duit raya, korang boleh peruntukkan sebanyak RM 500 untuk jumlah keseluruhan, nak beri lebih boleh, tapi biar berkadar dengan kemampuan.

4. Sediakan Dana Kecemasan Awal! Kalau Terlebih Sedikit Dari Bajet Pun Tak Risau Sangat

Sumber Gambar Nasrul Sazli

Dana kecemasan ini bukan sekadar perlu disediakan untuk simpanan gaji sahaja, tapi juga untuk perbelanjaan atau bajet raya korang. Kadang-kadang kita tak perasan ada benda tambahan yang kita terbeli luar dari bajet, jadi di sini dana kecemasan korang akan berfungsi.

Peruntukkan sekitar RM 150 – RM 200 untuk dana kecemasan. Jika ada perbelanjaan korang untuk tiga point di atas, kurang dari bajet yang diperuntukkan, masukkan lebihan duit tersebut dalam dana kecemasan sebab kita kena sediakan payung sebelum hujan, jangan dah terhantuk baru nak terngadah.

5. Dah Tahu Berapa Nak Kena Ada? Mula Rangka Bajet Korang Dan Elakkan  Kad Kredit!

Video) Selamatkah Kad Paywave Digunakan? - The Reporter

Sumber Gambar thereporter 

Bila kita dah tahu berapa jumlah yang kita kena peruntukkan untuk setiap aspek, contohnya dari point nombor 1 sampai point nombor 4 di atas, korang dah boleh merangka bajet korang. Contohnya seperti ini:

  1. Pakaian Raya        = RM 480
  2. Makanan Raya     = RM 530
  3. Duit Raya              = RM 500
  4. Dana Kecemasan = RM 200

Jumlah keseluruhan peruntukan ialah RM 1710. Dr Azizul Azli pun ada mengingatkan yang selesai sahaja raya tahun ini, wajar untuk kita terus mula kumpul duit dan buat persiapan bajet raya untuk tahun hadapan pula. Dengan tu barulah ada duit lebih atau bajet untuk raya kan selain mengharap daripada bonus hari raya yang entah ada entah tidak.

Untuk perbelanjaan raya, elakkan penggunaan kad kredit kerana kita akan cenderung untuk berbelanja guna nafsu, dan bukan dalam peruntukan bajet raya yang kita dah sediakan. Kalau korang tahu, konsep kad kredit ialah berhutang dulu, bayar kemudian. Kita pula seelok-eloknya elakkan berhutang kalau nak berbelanja untuk perayaan ini.

Akhir kata, selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri, walaupun raya kali ini kita masih dalam PKP, tak bermakna perayaan ini kita tak boleh nikmati. Pastikan perbelanjaan dalam bajet supaya poket kita tak bocor lagi. Kita tak nak hari raya makan rendang, lepas raya cuma makan maggi. Nak tahu tips jimat shopping baju raya boleh baca di SINI

 

Ikuti Kami

Anda Mungkin Minat

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Back to top button