MakananCara Mudah

6 Tips Beli Lemang Buluh Di Gerai Agar Tak Dapat Yang Tak Masak Atau Basi. Nombor 4 Ramai Yang Tak Tahu!

Cara Beli Lemang Di Kedai Tepi Jalan Agar Tak Salah Beli Atau Tertipu

Sumber Gambar Karteldakwah

Hari raya rasa tak lengkap kalau tak ada lemang kan jadi apa tips beli lemang yang wajib tahu? Macam makan nasi lemak tak ada sambal, macam tu lah lemang dan raya. Selalunya, lemang ni banyak dijual di tepi jalan tapi masih ramai orang belum tahu cara yang betul untuk membeli lemang. Kalau kurang bernasib baik, lemang yang dibeli keras ataupun tak masak setelah dipotong di rumah. Habis rugi je duit nanti!

Tapi jangan risau, sebab ada je tips membeli lemang yang korang boleh ikuti supaya tak adalah menyesal apabila terbeli lemang yang tak masak, kan? Di bawah ni, kitorang senaraikan tips-tips membeli lemang di tepi jalan:

Tips Beli Lemang Buluh Di Gerai Agar Dapat Yang Masak Elok & Tak Basi

1. Cari Gerai Lemang yang Banyak Kayu Tersusun untuk Dibakar

Sumber Gambar Apakehei

Apabila korang nampak gerai tersebut mempunyai banyak kayu api, itu bermaksud diorang memang bakar lemang-lemang tersebut di situ dan bukannya hanya mempamerkan lemang yang telah dikukus di tempat lain dekat dengan bara api. 

2. Elakkan Gerai yang Membakar Lemang dengan Pallet Kayu

Sumber Gambar Palletplastikbekas

Kalau korang perasan, pallet kayu ni jarang dimamah anai-anai. Ini disebabkan pallet tersebut telah disembur dengan sejenis coating yang beracun. Jadi kalau korang nampak ada gerai yang membakar lemang dengan menggunakan pallet kayu, lebih baik jangan beli. Takut racun daripada pallet kayu tersebut meresap masuk ke dalam lemang.

3. Jangan Pilih Lemang yang Terlalu Tebal ataupun Terlalu Kecil

Bila dah sampai di gerai, jangan pilih lemang yang paling besar pula. Walaupun korang rasa berbaloi sebab harga masih sama dengan yang lain, tapi kebarangkalian untuk ia tak masak lebih tinggi. Ini kerana isipadunya yang lebih besar, membuatkan lemang tersebut susah nak masak. Boleh jadi, bahagian luar saja yang masak. Bila potong, dalamnya mentah.

Kalau lemang yang terlalu kecil pula, boleh jadi isinya keras, liat atau terlalu garing. Jadi kalau nak selamat, pilih saiz yang sedang-sedang saja.

4. Minta Peniaga Belah Lemang Bahagian Bawah Sebelum Beli

Sumber Gambar Maskulin

Selalunya, peniaga akan belah bahagian atas dan tunjuk pada pembeli untuk memperlihatkan lemang tersebut sudah masak. Tetapi lebih baik kalau korang minta diorang belah bahagian bawah lemang. 

Secara logiknya, kalau bahagian bawah lemang dah masak, bahagian atas pasti dah masak. Berlawanan pula kalau potong di bahagian atas dan nampak dah masak, bahagian bawah boleh jadi masih mentah.

5. Perhatikan Bahagian Kepala Santan

Sumber Gambar Fried Chillies

Korang mungkin perasan bahagian atas lemang bentuknya pelik sikit. Ini disebabkan segala lemak-lemak daripada santan berkumpul dan mendidih di bahagian atas. Selalunya ia dipanggil kepala santan. Bahagian ni selalunya digemari ramai sebab rasanya lebih berlemak dan sedap.

Masa nak beli lemang, cari kepala santan yang dah kering sebab bila ia dah kering, lemang tersebut boleh disimpan dengan lebih lama. Paling lama, dua hari. Cuba hidu juga bahagian kepala santan untuk tahu ia dah basi atau belum. Biasanya kalau santan dah basi akan bau masam-masam sedikit seperti santan yang dah tak elok.

6. Cuba Minta Diskaun Bila Beli Banyak

Lumrah bila kita beli dalam kuantiti banyak, mestilah kena cuba untuk dapatkan diskaun, bukan? Contohnya kalau beli 3 batang lemang, tu dah nak dekat RM50 lebih. Bolehlah cuba minta sedikit diskaun daripada penjual. Minta sedikit saja, jangan lebih-lebih pula. Diorang pun tak nak kerugian.

Dengan adanya tips beli lemang di atas, lepas ni tak payah risau lagilah kalau terbeli lemang basi di gerai. Lepas tu, kalau ada apa-apa masalah dengan lemang yang dibeli, cuba berbincang dulu dengan tuan kedai. Jangan fikir nak viralkan saja. Mana tahu dia bukannya sengaja atau tak perasan pun lemang yang dijual ada masalah. Apa-apa masalah, eloklah dibawa bincang dulu. Kalau harga barang asas naik musim raya nak buat apa? Boleh buat aduan rujuk panduan di SINI

Ikuti Kami

Anda Mungkin Minat

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Back to top button