MakananKesihatan

Elakkan 4 Jenis Makanan Ini Masa Berbuka Puasa Agar Tak Sakit Dan Kekal Sihat Untuk Berpuasa

Makanan Yang Perlu Dikurangkan Atau Dielakkan Waktu Berbuka Puasa Agar Kekal Sihat

Sumber Gambar Options

Umat Islam di Malaysia kebiasaanya akan berpuasa selama lebih 12 jam pada bulan Ramadan. Berlapar pada satu jangka masa yang lama ini membuatkan kita cenderung untuk membeli banyak makanan, kalau boleh semua jenis masa hendak berbuka puasa.

Makanan Yang Perlu Dielakkan Waktu Berbuka Puasa Agar Kekal Sihat

Kita kena ambil tahu juga jenis makanan yang kita makan untuk berbuka puasa bagi elak masalah penghadaman, sakit ulu hati, penyahhidratan dan macam-macam lagi. Jadi untuk korang kekal sihat berpuasa di Bulan Ramadan, ini 5 jenis makanan yang korang harus elak masa berbuka puasa:

#1 : Sayang Perut Dan Tak Nak Letih? Elak Makanan Bergoreng

Sumber Gambar KuCantikKuSihat

Korang mesti dah tahu yang makanan bergoreng macam ayam goreng, kentang goreng dan sebagainya ini mengandungi banyak minyak dan lemak trans(terhasil apabila lemak tak tepu melalui proses penghidrogenan apabila makanan dimasak dalam minyak yang bersuhu tinggi). Makanan seperti ini lebih sukar untuk dicernakan oleh sistem pencernaan dan membuat badan bekerja lebih kuat untuk mencernakan makanan tersebut, lebih- lebih lagi dengan perut kita yang sudah kosong seharian.

Kesan daripada makanan ini ialah boleh menyebabkan perut menjadi kejang dan kembung. Badan juga akan menjadi cepat letih kerana sistem pencernaan terpaksa bekerja lebih kuat di samping perut yang sudah kosong seharian. Sebab tu lah kalau korang perasan bila makan banyak ketika berbuka terutamanya makanan bergoreng ni memang lepastu kita rasa mengah dan penat.

#2 : Manis Di Lidah, Sakit di Badan. Elakkan Kandungan Gula Yang Tinggi

Sumber Gambar IDNTimes

Seharian berpuasa akan menyebaban badan kita kekurangan air. Minuman bergula seperti air berkarbonat yang sejuk pula sudah pasti akan memancing-mancing nafsu kita yang dah menahan dahaga dari pagi sampai petang. Tapi korang kena tahu, makan makanan atau minum minuman yang mempunyai kandungan gula yang tinggi akan menyebabkan badan korang mengalami penyahhidratan (pengurangan air dalam badan).

Ini kerana lebihan gula dalam badan akan dibuang melalui air kencing, sekaligus mengurangkan air dalam badan kita. Lagipun kalau korang elak makanan dan minuman bergula tinggi ni, korang akan dapat manfaat menjauhkan diri daripada penyakit diabetes.

#3 : Makanan Pedas Dan Berkafein Tinggi, Tak Pasal-Pasal Gastrik Nanti

Sumber Gambar Olyn’s

Bagi korang yang penggemar makanan pedas macam ayam gepuk, mee segera Samyang dan sebagainya, cuba elakkan makanan tersebut masa berbuka puasa. Tak dinafikan makanan pedas terdapat beberapa manfaat untuk tubuh, tetapi tak sesuai diambil dengan perut kosong. Hal ini kerana makanan pedas merangsang asid gastrik dalam perut yang boleh menyebabkan gastrik.

Makanan atau minuman yang mengandungi kafein seperti kopi juga boleh memberi kesan yang sama jika diambil pada waktu berbuka puasa. Selain itu, makanan pedas yang dimakan dengan perut kosong juga boleh menyebabkan perut rasa tak selesa dan cirit birit.

#4: Jangan Makan Makanan ‘Bergas’ atau Berasid Tinggi, Nanti Senak Perut

Sumber Gambar Kompas

Makanan bergas yang dimaksudkan di sini ialah makanan yang cenderung menyebabkan penghasilan gas di dalam perut seperti durian, nangka dan air berkarbonat. Makanan ini akan menyebabkan korang mengalami ketidakselesaan di dalam perut terutamanya bila dimakan sejurus selepas berbuka puasa, di mana perut masih kosong.

Gas yang dihasilkan dalam perut akibat makan makanan seperti ini juga akan menyebabkan perut berasa senak. Makanan berasid tinggi pula seperti buah limau, lemon dan buah-buahan sitrus yang lain di mana boleh menyebabkan asid refluks, gejala ketidakhadaman dan juga gastrik.

Jadi Nak Makan Apa? 3 Jenis Makanan ini Sesuai Untuk Berbuka Puasa

Sumber Gambar Rasa

#1. Air Kelapa atau Jus Buah-Buahan

Air kelapa sangat membantu untuk memastikan badan kita kekal terhidrat setelah seharian tanpa makan dan minum dengan membantu menggantikan elektrolit badan hilang akibat pengurangan air dalam badan. Jus buah-buahan juga elok untuk mengembalikan tahap glukosa dalam badan yang dah berkurang kerana berpuasa.

#2. Sayur Hijau dan Buah Yang Rendah Asid dan Gas

Sayur Hijau seperti brokoli, saderi, asparagus dan bunga kubis mempunyai kadar asid yang rendah akan mengurangkan risiko asid refluks dan gejala ketidakhadaman jika dimakan ketika berbuka puasa. Sama juga kalau korang makan buah yang rendah asid dan gas seperti pisang, kurma dan tembikai

#3. Sup, Bubur, dan Stew

Makanan seperti sup, bubur dan stew mempunyai kandungan cecair yang tinggi di makan akan membantu untuk penghidratan badan dan lebih mudah dicerna oleh perut. Penambahan seperti kekacang, daging dan sayur dalam hidangan ini akan membantu dalam pengambilan zat makanan yang lainnya.

Kita mudah nak makan apa sahaja bila waktu berbuka setelah menahan lapar dan dahaga seharian. Tetapi kena beringat, badan kita turut harus dijaga, dan puasa bukanlah alasan untuk kita tidak mementingkan kesihatan kita. Macam mana pulak nak bersukan waktu bulan puasa? Boleh baca di SINI

Ikuti Kami

Anda Mungkin Minat

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Back to top button