KewanganCara Mudah

10 Khairat Kematian Percuma Untuk Bantu Waris Yang Ramai Tak Tahu

Senarai Bantuan Khairat Kematian Yang Boleh Dimohon di Malaysia

Pasti ramai lagi tak tahu tentang khairat kematian yang boleh dituntut oleh waris si mati. Apa itu khairat kematian? Masih ada lagi tak tahu kan. Khairat kematian ini sebenarnya adalah bantuan kewangan sekiranya berlaku kematian dan akan diberikan kepada keluarga si mati. Perlu bayar ke? Kebanyakan khairat kematian yang ditawarkan sebenarnya tidak perlu dilanggan atau membayar apa pun cuma ianya bergantung kepada kelayakan.

Bantuan wang khairat kematian ini diberikan kepada keluarga si mati untuk membantu kos bagi proses pengurusan jenazah dan juga membantu waris meneruskan kehidupan kerana mungkin berlaku kematian secara mengejut. Sebenarnya wang ini tidak semestinya digunakan untuk pengebumian jenazah je, tapi boleh digunakan untuk apa-apa urusan yang baik serta bertujuan meringankan beban kewangan keluarga walaupun seteleah urusan kematian selesai.

Senarai Bantuan Kewangan Khairat Kematian Yang Boleh Dimohon di Malaysia

Untuk waris-waris atau ahli keluarga yang baru sahaja kematian keluarga terdekat, bolehlah memohon mana-mana khairat kematian yang layak diterima daripada senarai berikut:

1. Faedah Pengurusan Mayat PERKESO

Pertubuhan Keselamatan Sosial atau PERKESO ada menyediakan satu manfaat buat semua pencarum PERKESO iaitu Faedah Pengurusan Mayat. Siapa yang pernah bekerja tidak kira lah swasta atau kerajaan pasti pernah mencarum PERKESO ataupun SOCSO.

Bagi faedah ini, jumlah amaun sebanyak RM2,000 akan diberikan jika seseorang pekerja meninggal dunia akibat bencana kerja atau semasa menerima Faedah Hilang Upaya Kekal berkala. Waris-waris yang layak akan menerima bayaran faedah ini. Jika tiada waris, faedah akan dibayar kepada mana-mana pihak yang menanggung segala perbelanjaan pengebumian tersebut.

Sebagai makluman, jumlah bayaran akan dibuat sama ada mengikut jumlah sebenar perbelanjaan ataupun RM2,000 berdasarkan mana yang lebih rendah mengikut resit yang dikemukakan.

Info lanjut boleh rujuk laman web PERKESO di SINI.

 

2. Bantuan Kematian KWSP

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja atau KWSP juga menawarkan bantuan kematian kepada pihak waris terdekat ahli pencarum KWSP. Ianya sebagai tanda simpati pihak KWSP namun tertakluk juga atas budi bicara KWSP.

Bayaran adalah sebanyak RM2,500 yang akan dibayar sekali sahaja kepada “orang tanggungan ahli” yang layak (balu/duda, anak, atau ibu bapa ahli tertakluk kepada status perkahwinan ahli). Walau bagaimanapun, KWSP berhak mempertimbangkan keputusan akhir berkaitan dengan bayaran Bantuan Kematian

Untuk menuntut wang caruman KWSP pencarum meninggal boleh rujuk di SINI

 

3. Khairat Kematian PTPTN

Selain itu, bagi pendeposit Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) di bawah Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), korang juga layak terima pampasan atau khairat kematian. Syarat-syaratnya adalah seperti berikut:

  • Khairat kematian disediakan kepada pendeposit yang layak dan berumur 18 hingga 65 tahun.
  • Ia juga diberikan kepada penerima manfaat yang berumur 1 hari hingga 28 tahun tertakluk kepada syarat dan peraturan yang ditetapkan

Jumlah bantuan:

  • Amaun Manfaat bersamaan dengan baki akaun (RM kepada RM)

  • Khairat Kematian bersamaan RM2,000.00 (pendeposit)

  • Khairat Kematian bersamaan RM500.00 (penerima manfaat)

Untuk maklumat lanjut boleh rujuk di SINI

 

4. Khairat Kematian ASB

Ini satu lagi kelebihan pendeposit Amanah Saham Nasional Berhad atau lebih popular ASB. Bagi waris pendeposit saham terbitan Perbadanan Nasional Berhad (PNB) seperti ASB, ASN dan lain-lain, korang layak membuat tuntutan khairat kematian jika berlaku kematian terhadap pendeposit.

Jumlah bayaran bantuan:

  • Bagi jumlah pegangan unit bawah 1,000.00 unit jumlah khairat sebanyak RM200
  • Bagi jumlah pegangan unit 1,000.00 dan ke atas, jumlah khairat sebanyak RM500

Untuk cara memohon boleh baca lanjut di SINI

 

5. Bantuan Mengurus Jenazah Pesara Kerajaan & Penjawat Awam

Khusus untuk pesara kerajaan dan penjawat awam (meninggal dalam perkhidmatan), sekiranya berlaku kematian, maka waris boleh membuat tuntutan bantuan yang disebut Bantuan mengurus Jenazah.

Jumlah bantuan:

  • RM3,000

Cara mohon:

 

6. Khairat Kematian Qariah Masjid

Yang ini biasanya akan diberikan kepada ahli-ahli qariah masjid mengikut kawasan yang korang duduki. Mungkin ada sesetengah surau atau masjid mengenakan bayaran tahunan untuk membantu mengurangkan beban satu sama lain dan ada juga diberikan secara percuma.

Jumlah Bayaran:

  • Sekitar RM500 sehingga RM5,000

Cara mohon:

  • Rujuk pihak surau/masjid kawasan masing-masing

 

7. Khairat Kematian Persatuan Berdaftar / NGO / Koperasi

Sekiranya si mati ada menyertai mana-mana persatuan berdaftar, NGO atau koperasi, pastinya ianya menyediakan bantuan khairat kematian juga bagi ahli mereka.

Jumlah Bayaran:

  • RM500 – RM5,000

Syaratnya adalah si mati mestilah ahli berbayar untuk persatuan berdaftar, NGO dan Koperasi berkenaan.

 

8. Khairat Kematian Takaful

Kebanyakan daripada kita telah mempunyai atau melanggan takaful insurans sendiri untuk manfaat kesihatan kita. Lazimnya takaful juga menyediakan bantuan khairat kematian. Maka apabila si mati itu merupakan pelanggan takaful, arwah layak mendapat bantuan khairat kematian.

Jumlah bayaran:

  • RM2,000 – RM5,000 (bergantung kepada skim yang disertai)

Cara mohon:

  • Rujuk kepada ejen takaful masing masing.

 

9. Khairat Kematian RELA

Satu kelebihan yang boleh korang dapat apabila menjadi Anggota atau Ahli Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) adalah boleh mendapat peruntukan bantuan khairat kematian Ahli RELA.

Jumlah bayaran:

  • RM2500

Cara mohon:

  • Rujuk Pejabat RELA berkenaan

 

10. Khairat Kematian FELDA

Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan atau FELDA turut menyediakan bantuan Khairat Kematian bagi peberoka di tanah rancangan. Ianya sebagai salah satu aktiviti kebajikan yang disumbangkan oleh FELDA bertujuan menguruskan jenazah dan meringankan beban hutang yang ditanggung waris.

Jumlah bantuan:

  • RM3,000 dibayar serta merta oleh Pengurus Rancangan kepada waris

Cara Mohon:

Permohonan bayaran khairat kematian berjumlah RM7,000 hendaklah diuruskan oleh waris dalam tempoh satu minggu dari tarikh kematian menggunakan Borang Tuntutan Khairat Kematian Peneroka yang boleh diperolehi di Pejabat Rancangan.

Borang yang telah lengkap hendaklah diserahkan kepada Pengurus Rancangan untuk dimajukan kepada Pengurus Besar Wilayah dan kelulusan bayaran oleh Bahagian Kewangan, Ibu Pejabat FELDA.

Bayaran RM7,000 akan dipertimbangkan kelulusannya oleh FELDA setelah kematian peneroka diperakui oleh Pengurus Rancangan dan disahkan oleh Pengurus Besar Wilayah melalui borang PKKP. Ibu Pejabat FELDA akan mengeluarkan surat kelulusan bayaran kepada Pengurus Rancangan untuk dibuat bayaran kepada waris.

Banyak bantuan khairat kematian yang korang boleh dapatkan sekiranya berlaku kematian kepada ahli keluarga terdekat kita kan. Cumanya untuk mendapatkannya perlulah buat permohonan dan ikut beberapa langkah yang perlu. Tak ada apa yang mudah dalam dunia ni kan. Yang penting kita dapat manfaat nya, jangan lupa juga share pada yang lain juga. Kalau nak tahu bantuan khairat kematian akibat COVID19 boleh baca di SINI

 

Ikuti Kami

Anda Mungkin Minat

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Back to top button