PermohonanCara Mudah

Kalau Ada Duit Rosak, Jangan Buang Dulu! Ikut Cara Ni untuk Tukar Duit Rosak Jadi Duit Baru Dekat Bank. Mudah Je!

Cara Mudah Tukar Duit Koyak Atau Rosak Dengan Duit Baru di Bank

Ini cara tukar duit rosak kepada duit baru. Korang pernah tak masa ke kedai makan, cashier tu bagi duit baki yang dah koyak sikit? Tak pun duit yang disimpan dalam tabung, tiba-tiba dimakan anai-anai? Ataupun korang jumpa duit syiling tepi jalan yang dah kotor dan berlekuk? Korang rasa duit yang dah rosak ni masih ada nilai tak?

Mungkin kalau duit yang terkoyak sikit tu, siapa yang rajin akan salotape bagi elok balik. Tapi macam mana duit yang terbakar atau ada kesan di conteng? Takkan nak buang pula kan? Sebenarnya, duit yang dah rosak, nilainya masih ada, bergantung kepada jenis dan tahap kerosakan duit tu. 

Jenis Kerosakan yang Berlaku pada Duit

Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengeluarkan beberapa jenis kerosakan yang pernah berlaku pada duit, yang boleh ditukar di bank untuk mendapat nilai yang sama atau kurang sedikit daripada nilai asal. 

Jenis kerosakan yang berlaku pada duit syiling:

Sumber Gambar BNM

 

  • Terhakis:Sebahagian atau keseluruhan duit syiling yang terhakis secara kekal akibat tindak balas kimia.

  • Berlubang: Syiling yang mempunyai lubang yang ketara pada mana-mana permukaannya.

  • Kemik: Duit syiling yang kemik akibat ketukan.

  • Pecah: Duit syiling yang pecah kepada beberapa bahagian.

  • Terpotong: Duit syiling yang terpotong oleh objek tajam.

  • Terbakar: Duit syiling yang terbakar hingga mengubah rupa duit menjadi kusam.

  • Kotor: Permukaan duit syiling yang berubah disebabkan haus, lusuh, ataupun kotor.

  • Syiling Ganjil: Rupa duit syiling ganjil yang berlaku semasa proses penempaan.

 

Jenis kerosakan yang berlaku pada duit kertas pula:

 

  • Kotor/Lusuh: Kekotoran yang menyeluruh atau tompokan yang kelihatan di permukaan duit kertas.

  • Lembik: Duit kertas yang dilipat berlebihan hingga mengubah struktur dan teksturnya.

  • Renyuk: Lipatan secara rawak ataupun pengecutan yang menyebabkan visual duit kertas tersebut terjejas teruk.

  • Conteng: Duit kertas yang mempunyai perkataan, tanda atau simbol yang dilukis dengan sengaja.

  • Luntur Warna: Duit kertas yang luntur warna akibat dibasuh atau terkena bahan kimia.

  • Koyak: Duit kertas yang mempunyai koyakan melebihi 5 mm pada mana-mana bahagian duit kertas.

  • Berlubang: Duit kertas yang mempunyai lubang lebih daripada 5 mm.

  • Ubah Suai: Duit kertas yang dicantum semula dengan menggunakan gam atau pita pelekat.

  • Lipatan Bucu: Lipatan bucu kekal yang menyebabkan panjang atau lebar duit kertas berkurang, melebihi 5 mm.

  • Terbakar/Dimakan Anai-Anai: Kerosakan yang melebihi 5 mm akibat terbakar atau dimakan anai-anai.

  • Cantuman: Duit kertas yang terpisah kepada beberapa bahagian tapi hanya beberapa bahagian yang dicantumkan, ataupun beberapa bahagian daripada duit kertas yang berlainan yang dicantumkan.

  • Hilang Ciri Keselamatan: Salah satu ciri keselamatan duit kertas hilang ataupun rosak.

 

Cara Tukar Duit Rosak Kepada Duit Baru

Kalau korang ada duit yang mempunyai jenis kerosakan seperti yang dekat atas ni, jangan buang dulu! Korang boleh bawa ke bank yang berdekatan untuk tukar duit rosak kepada duit yang baru. Ya, tak perlu pergi ke BNM pun untuk tukar duit rosak. Datang je ke mana-mana cawangan bank yang berdekatan. Cuma kalau jenis kerosakan yang terlalu teruk sampai perlukan siasatan, lebih baik bawa duit tersebut ke BNM.

Cara nak tukar duit yang telah rosak adalah mengikut kategori kerosakan duit tersebut iaitu:

Duit Kertas Cacat

Sumber Gambar Sis Hawa

Duit kertas cacat adalah duit yang keadaan fizikalnya dah berubah dan secara tak sengaja dicemari oleh dakwat, air, minyak, cat, atau apa-apa bahan yang serupa, ataupun kehilangan sebahagian atau beberapa bahagian daripadanya.

Terdapat 3 kategori nilai penebusan duit kertas cacat, iaitu:

  • Nilai Penuh: Nilai penuh akan diberikan kepada duit kertas cacat yang masih mempunyai ⅔ atau lebih daripada saiz duit kertas yang asal.
  • Nilai Separuh: Nilai separuh daripada nilai asal akan diberikan jika duit kertas cacat itu mempunyai saiz yang lebih daripada ½ saiz asal, tapi kurang daripada ⅔.
  • Tiada Nilai: Jika duit kertas cacat mempunyai saiz kurang daripada ½ saiz asal, ia tak boleh ditebus dengan duit baru.

 

Duit Kertas Rosak

Duit kertas rosak adalah duit yang mempunyai perkataan, tanda, atau simbol sama ada ditulis atau ditanda secara sengaja di permukaannya. 

  • Nilai Penuh: Nilai penuh akan diberikan kepada duit kertas yang mempunyai kerosakan yang kecil.
  • Tiada Nilai: Duit kertas yang dirosakkan dengan cara yang nyata seperti menconteng potret YDPA dengan karikatur yang berbaur politik, ataupun duit yang dijadikan kad jemputan atau kertas menulis.

 

Kes-Kes yang Meragukan

Sebarang kes meragukan yang menyukarkan penilaian untuk dibuat seperti sekeping duit kertas yang terbakar ataupun kerosakan pada duit kertas hingga sukar untuk menentukan saiznya, hendaklah dihantar kepada BNM untuk penilaian.

 

Cara Tukar Duit Rosak Akibat Banjir

Panduan lanjut rujuk : Bank Negara Malaysia

Jadi, lepas ni tak perlu nak risau atau sedih bila dapat duit yang dah rosak sebab dah tahu cara tukar duit rosak. Korang boleh je tukar duit rosak tu sendiri di bank dan duit yang baru tu bolehlah digunakan untuk kegunaan seharian. Cakap pasal duit, semua orang pun kalau boleh nak memperbaik status kewangan supaya dapat hidup lebih senang. Jadikan tahun ni sebagai tahun perubahan status kewangan korang kepada yang lebih baik, melalui cara-cara INI!

Ikuti Kami

Anda Mungkin Minat

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Back to top button