AgamaMakanan

Daging Korban Tak Boleh Buat Apa? Haram Tuan Korban Makan Jika Dalam Keadaan Ini

Pembahagian Daging Korban & Hukum Makan Daging Korban Dalam Situasi Tertentu

Daging korban adalah antara makanan yang kita akan terima atau makan setahun sekali pada hari Raya Aidiladha. Kalau kita tak buat ibadah korban pun paling tidak akan dapat sebungkus daging mentah sama ada saudara mara beri ataupun AJK surau ke jiran tetangga yang bagi. Kalau jadi sukarelawan di surau atau masjid pun selalunya akan dapat sebungkus daging mentah sebagai hadiah atau upah kita membantu.

Berbeza kalau kita sendiri yang membuat ibadah korban, pastinya kita akan mendapat banyak bungkusan daging untuk diagihkan sendiri mengikut haknya. Ada juga sesetengah surau atau masjid dah bahagi kan siap-siap berapa jumlah pembahagian daging korban sunat. Macam ini lebih mudah di mana mereka lebih mengetahui golongan fakir miskin yang layak untuk diberikan sepertiga daripada ibadah korban tersebut.

Hukum Makan Daging Korban Dalam Situasi Tertentu

Berikut adalah penjelasan hukum makan daging korban dalam situasi tertentu dan juga pembahagian daging korban mengikut sunnah:

Pembahagian Daging Korban

Sebenarnya terdapat dua jenis pembahagian daging korban iaitu sembelihan korban wajib iaitu nazar dan sembelihan sunat.

Daging Korban Sunat 

Korban sunat adalah ibadah korban biasa yang dilakukan oleh umat Islam menjelang musim ibadah korban iaitu Raya Aidiladha. Untuk lebih mudah faham, korban sunat adalah apabila seseorang berniat melakukan ibadah tersebut dengan niat untuk mendekatkan dirinya kepada Allah SWT di samping bersedekah.

Mengikut pandangan ulama Mazhab Shafi’i, pembahagian daging korban sunat adalah seperti berikut:

  • 1/3 : Pihak yang berkorban dan ahli keluarganya
  • 1/3 : Fakir dan miskin
  • 1/3 : Sahabat handai termasuk orang kaya atau jiran-jiran

Menurut pendakwah terkenal Ustaz Azhar Idrus, beliau menjelaskan hanya perserta yang melakukan ibadah korban sunat diharuskan memakan daging korban tersebut. Ianya tidaklah wajib bagi individu berkenaan memakan daging korban malah hukumnya harus jika mahu menyedekahkan kesemuanya.

“Pandangan Imam al-Nawawi dalam Kitab Minhaj at-Talibin bahawa: “Dan harus bagi tuan korban makan daripada haiwan korbannya yang sunat dan harus dia memberi makan kepada orang-orang yang kaya.”

“Paling afdal ialah tuan korban memakan sedikit daging korbannya untuk mengambil keberkatan daripadanya.

 

Daging Korban Wajib Atau Nazar

Korban wajib pula adalah ibadah korban di mana seseorang individu itu telah bernazar untuk melakukan korban ataupun seseorang melakukan korban kerana dam haji. Ia diwajibkan kepada seseorang disebabkan janjinya dengan Allah SWT atau manusia untuk berbuat demikian seperti korban nazar.

Berdasarkan penjelasan Ustaz Azhar Idrus, jika ibadah korban merupakan korban wajib, maka tuan korban tersebut haram memakan daging tersebut walaupun sedikit. Apa yang harus dibuat adalah dia wajib menyedekahkan kesemua daging korban tersebut kepada golongan fakir dan miskin. Bukan sahaja tuan korban malah ahli keluarganya juga dilarang daripada memakan daging korban hasil daripada ibadah korban wajib yang dilaksanakannya.

Justeru hukum pembahagian daging korban wajib atau nazar adalah:

  • Wajib  disedekahkan semua dagingnya termasuk kulit dan tanduk kepada orang fakir dan miskin
  • Haram bagi pihak orang yang melakukan korban memakan daging korban atau memanfaatkan sembelihan itu bagi kepentingan dirinya

Sekiranya tuan kepada korban nazar telah memakan sebahagian daripada daging korban tersebut, maka wajib baginya untuk menggantikan sekadar daging yang telah dijamahnya. Namun tidak haram pula untuknya memakan daging korban daripada ibadah korban wajib yang dilaksanakan oleh orang lain.

Sumber : Sinarislamplus

Sumber Gambar : Sinar

Daging Korban Tidak Seharusnya Diberikan Kepada Yang Bukan Islam

Berdasarkan penjelasan Jabatan Mufti Negeri Perak, daging hasil daripada penyembelihan dalam ibadat korban di negeri itu tidak harus diberikan kepad orang bukan Islam. Mufti Perak, Tan Sri harussani Zakaria juga berkata iini kerana ibadat korban adalah perkara ‘ta’abbudiy (hal ehwal ibadat) yang dihukumkan sebagai sunat muakkadah (sunat yang sangat dituntut).

Fatwa ini telah dikeluarkan selepas mengambil kira pandangan yang masyhur dalam mazhab Syafie, juga pandangan ulama semasa, maslahah umum serta keperluan semasa dalam negeri Perak.

Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor juga telah membuat keputusan iaitu menurut pandangan mazhab Syafie yang masyhur, tidak boleh diberikan daging korban sama ada korban sunat ataupun korban wajib kepada orang bukan Islam kerana ibadah korban adalah ketaatan kepada Allah Ta’ala.

Namun jika daging korban sunat dimasak kemudian dijamu kepada mereka orang bukan Islam yang dikenali dengan sifat baik dengan masyarakat Islam, maka boleh berpegang pada pandangan ulama’ dalam mazhab Syafie seperti Imam Nawawi iaitu dibolehkan daging korban sunat diberi makan kepada kafir dzimmi yang miskin

Baca juga: Resepi Masakan Daging Mudah & Sedap

Ikuti Kami

Anda Mungkin Minat

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Back to top button