InformasiSemasa

Apa Jadi Kalau Korang Kontak Rapat Pesakit Covid-19 & Apa Yang Tak Patut Dibuat Pada Pesakit COVID19

Prosedur Kontak Rapat Covid-19 & Perkara Tak Patut Buat Pada Pesakit COVID19R

Bilangan kes positif Covid-19 di negara kita tak boleh dijangka apa lagi yang jadi kontak rapat pesakit Covid-19. Kadang-kadang bilangan kes positif akan menurun dan kadang-kadang pula akan menaik secara mendadak. Selagi vaksin untuk virus ni belum dijumpai, selagi tu lah risiko untuk kita semua dijangkiti masih ada.

Sekarang ni, kalau nak keluar pun kadang-kadang boleh jadi takut, sebab kita tak tahu orang yang duduk sebelah, atau yang beratur depan kita tu, ada virus Covid-19 atau tak. Mungkin dia nampak sihat je, tapi boleh jadi juga dia seorang yang positif Covid-19 tapi tak bergejala. Walaupun puas dah jaga diri betul-betul, belum tentu kita boleh lari daripada jadi mangsa Covid-19. Macam mana nak tahu kalau kalau kita ada simptom Covid-19 ni? Tengok infografik daripada Kementerian Kesihatan Malaysia ini. 

Macam Mana Kalau Kita Jadi Kontak Rapat Pesakit Covid-19?

Bila salah seorang kenalan rapat kita, seperti contoh keluarga, rakan sekerja, atau jiran disahkan positif Covid-19, dan kita selalu pula berjumpa dengan diorang, secara automatik kita akan dikategorikan sebagai kontak rapat pesakit Covid-19.

Tapi apa yang berlaku kalau kita disahkan sebagai kontak rapat kepada seorang pesakit Covid-19? Apa yang kita perlu buat? Salah seorang penulis kitorang baru-baru ni dikenal pasti sebagai kontak rapat dan dia akan menceritakan pengalamannya.

1. Kenal Pasti Kontak Rapat

Apabila seseorang tu disahkan sebagai positif Covid-19, pihak KKM akan terus ambil pesakit tersebut di rumah dengan menggunakan ambulans dan dalam masa yang sama diorang akan interview pesakit untuk kenal pasti orang-orang yang dia selalu berhubung dalam beberapa hari kebelakangan ni. Selalunya orang-orang serumah dan yang bekerja sepejabat akan terus disahkan sebagai kontak rapat pesakit tu.

2. Dihubungi KKM untuk Tahu Maklumat Lanjut

Setelah kontak rapat kepada pesakit dapat dikenal pasti, KKM akan telefon kita untuk mendapatkan butiran seperti nama penuh dan nombor IC. Lepas tu, diorang akan tanya sama ada kita ada simptom atau tak, dan macam mana boleh jadi kontak rapat dengan pesakit (boleh kata sebab serumah atau satu tempat kerja). Kemudian, diorang akan terus tetapkan tarikh, masa, dan tempat untuk buat swab test. Selalunya sehari atau dua hari lepas diorang telefon. Sementara nak tunggu tarikh tu, kita tak boleh keluar dari rumah langsung dan kena kuarantin sendiri.

3. Swab Test pada Hari Kejadian

Pada hari kejadian, korang kena datang pada masa yang dah ditetapkan, di tempat yang diberitahu. Selalunya, KKM akan sekalikan terus kontak rapat untuk beberapa pesakit serentak, jadi korang kena tunggu giliran bila dah sampai. Pegawai KKM akan panggil nama pesakit dan kemudian akan periksa IC semua yang dikenali sebagai kontak rapat, sebelum pergi ke kaunter seterusnya.

Dekat tempat buat swab test ni, akan ada tiga kaunter, dan kaunter-kaunter ni ada fungsinya tersendiri,

  • Kaunter Temu Duga

Kaunter pertama ni akan ada pegawai KKM yang akan temu duga korang secara ringkas; nama penuh, alamat tempat tinggal, dan bila kali terakhir ada bersemuka dengan pesakit. 

  • Kaunter Swab Test

Kaunter kedua pula adalah di mana korang akan lakukan swab test. Pegawai KKM akan mencalit di bahagian kerongkong dan dalam hidung. Benda ni tak rasa sakit pun, cuma akan rasa pedih sikit dan swab test ni pun sekejap je. Tak sampai seminit dah selesai.

  • Kaunter Gelang/Borang Pink

Lepas selesai swab test, korang akan tunggu di kaunter ketiga untuk mendapatkan gelang pink dan borang yang menandakan perintah untuk kuarantin selama dua minggu. Korang akan diberikan tarikh untuk membuat swab test kedua dan keputusan untuk swab test yang pertama akan diketahui dalam 2 hingga 4 hari selepasnya. Dalam masa dua minggu ni korang tak dibenarkan langsung untuk keluar daripada rumah dan perlu kuarantin diri sendiri.

Siapa yang Tergolong dalam Kontak Rapat?

Kalau dalam kawasan perumahan ada yang positif Covid-19, adakah korang dikira sebagai kontak rapat? Kalau ada yang satu bangunan dengan pejabat korang ada yang positif Covid-19, perlu ke buat swab test?

Sebenarnya, pihak KKM dah sediakan beberapa jenis kategori yang korang boleh lihat dalam gambar rajah di bawah. Kalau nak ikutkan, cuma mereka yang dalam kategori B yang dikenali sebagai kontak rapat dan perlu buat swab test. Kategori C pula perlu berjaga-jaga dan kuarantin dulu di rumah sementara tunggu keputusan swab test kategori B.

Sumber Gambar UiTM Cawangan Kedah

Apa Yang Tak Patut Dilakukan Kepada Pesakit COVID-19?

Tular di media sosial bahawa pesakit Covid-19 telah dilayan tidak elok oleh orang sekeliling. Bukan pesakit sahaja malah ahli keluarga yang duduk serumah juga dipandang hina oleh orang awam. Ada kes di mana suaminya dijangkiti, isterinya ingin keluar mendapatkan kepeluan untuk anak seperti pampers juga tidak diizinkan kerana takut menjangkiti orang lain. Kes yang lain pula terus dihalau rumah sewa oleh rakan serumah umpama baru sahaja melakukan jenayah macam video INI.

Jadi apa yang sebenarnya patut dilakukan dan tidak patut dilakukan bagi pesakit yang telah sah positif Covid-19?

Perkara Tak Patut Buat Pada Pesakit Covid-19 dan Keluarga

  1. Ambil gambar dan sebarkan butiran pesakit
  2. Pandang hina atau memulaukan pesakit dan keluarga pesakit
  3. Memarahi pesakit kerana menjadi punca penyebaran
  4. Memutuskan silaturahim dengan pesakit

Perkara Sepatutnya Dilakukan Pada Pesakit Covid-19 dan Keluarga

  1. Prihatin terhadap pesakit dan keluarga
  2. Ambil berat tentang keperluan pesakit dan keluarga memandangkan mereka tidak boleh keluar kerana berkuarantin (Boleh hantar makanan / keperluan di depan rumah tanpa perlu berjumpa)
  3. Melakukan penjarakan fizikal tetapi bukan penjarakan sosial dengan mereka
  4. Mendoakan pesakit agar cepat sembuh

Jadi sekiranya kita menjadi kontak rapat pesakit Covid-19, tidak perlu risau dan bertindak luar kawalan. Jika kenalan atau orang sekeliling pula yang dijangkiti, berilah sokongan moral dan tindakan yang sepatutnya. Apa yang paling penting, adalah korang perlu ikuti segala SOP yang disarankan oleh KKM. jaga jarak, pakai topeng muka, dan keluar rumah jika ada keperluan je. Musim pandemik ni susah nak cari pendapatan lebih? Jangan risau, korang boleh cuba buat kerja-kerja part-time ni

 

Ikuti Kami

Anda Mungkin Minat

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Back to top button