MakananInformasi

Ada Makanan Dah Expired Tapi Masih Boleh Makan? Apa Jadi Kalau Termakan Makanan Dah Expired? Ini Penjelasannya

Makanan Yang Dah Tamat Tempoh Masih Elok Dimakan & Kesan Makan Makanan Dah Expired

Tipulah kalau kata korang tak pernah makan makanan dah expired atau yang dah lebih daripada tamat tempoh kan? Kadang-kadang, kita tak sengaja pun untuk makan makanan dah expired, mungkin disebabkan label tarikh luput untuk makanan tu dah pudar atau hilang. Bila makan makanan dah expired ni, takut juga kalau terkena keracunan makanan. 

Antara cara yang paling berkesan nak tahu makanan tu tak boleh dimakan atau tak adalah melalui deria kita. Kalau makanan tu korang nampak ada kulat, bila pegang dah terasa lembik dan berlendir, ataupun baunya busuk, tu antara tanda-tanda yang makanan tu dah tak boleh dimakan. Tanda makanan dah basi atau tak elok boleh baca di SINI

Sumber Gambar Maskulin

Walau bagaimanapun, makan makanan yang dah melebihi beberapa hari tarikh luput bukannya tak ada risikonya. Memakan makanan yang dah lebih tarikh luput boleh buatkan badan korang terdedah dengan bakteria yang berbahaya sampai boleh jatuh sakit. Untuk buat korang lebih memahami apa yang boleh jadi pada seseorang tu apabila memakan makanan yang lebih tarikh luput, kitorang senaraikan 4 kebarangkalian yang bakal terjadi pada seseorang tu bila makan makanan dah expired:

Tiada Apa Pun yang Terjadi

Kebanyakan tarikh yang dilabel pada makanan lebih kepada untuk memberitahu tahap kesegaran sesuatu makanan tu berbanding daripada tahap bahayanya. Jadi banyak makanan yang dah lepas tarikh luput apabila dimakan, tak ada apa yang berlaku pun, melainkan hanya rasa yang tak enak di tekak. Seperti contoh, makanan dalam tin dan makanan beku, masih boleh dimakan, walaupun dah melepasi tarikh luput berbulan lamanya, asalkan makanan tu disimpan dengan betul.

Nutrien dalam Makanan Hilang

Selain daripada kualiti makanan, nutrien dalam makanan juga akan merosot apabila semakin banyak hari melepasi tarikh luputnya. Susu formula adalah antara makanan yang tak elok untuk dimakan selepas tarikh luput. Takkan korang nak bagi anak makan susu yang dah tak ada nutrien kan? Jadi, selain daripada bau dan rasa yang tak sedap, korang juga dah tahu bahawa makanan yang akan dimakan tu nanti dah tak mempunyai nutrien yang maksimum apabila dah lebih tarikh luput.

Keracunan Makanan

Sumber Makanan Sinar Harian

Memang dari kecil lagi, kita dah diajar kalau makan makanan yang dah lebih tarikh luput, kita akan mendapat keracunan makanan. Dan ia memang betul pun. Pada tahun 2019, seramai 516 kes keracunan dilaporkan. Antara simptom-simptom keracunan makanan termasuklah:

  • Cirit-birit
  • Muntah-muntah
  • Sakit perut
  • Demam
  • Loya

Sebenarnya, kes keracunan makanan ni jarang disebabkan oleh makanan dah expired. Antara sebab yang menyebabkan seseorang tu keracunan makanan adalah apabila diorang memakan makanan yang mentah, kurang masak, ataupun dibiarkan di suhu bilik terlalu lama. Tapi risiko mendapat keracunan makanan daripada makanan lepas tarikh luput tu masih ada.

Terdedah kepada Bakteria yang Berbahaya

Keracunan makanan boleh membuatkan seseorang tu terdedah kepada bakteria yang berbahaya. Antaranya adalah E. coli, Salmonella, dan Cholera. Kesemua bakteria ni boleh menyebabkan simptom-simptom keracunan makanan korang menjadi lebih teruk. Malah, ada sesetengah bakteria yang boleh menyebabkan kematian! Makanan yang dah basi adalah ‘rumah’ yang paling sesuai untuk bakteria-bakteria ni hidup. Jadi kalau korang rasa makanan yang nak dimakan tu basi, cepat-cepat buang.

Makanan Dah Expired yang Boleh Dimakan Walaupun Dah Lebih Tarikh Luput

Ada beberapa makanan yang sebenarnya korang boleh makan lagi, walaupun dah lepas tarikh luput. Cumanya, sebelum nak makan tu, tengok dululah kalau-kalau ada tanda-tanda ‘rosak’ atau basi pada makanan tersebut. 

Dekat bawah ni kitorang senaraikan makanan yang boleh dimakan walaupun dah lebih tarikh luput, berserta cadangan tempoh masa ia masih selamat dimakan:

  • Makanan dalam Tin: Kebanyakan makanan dalam tin boleh bertahan sampai 1 hingga 4 tahun. Tapi kalau korang simpan makanan tin di tempat kering dan gelap, tempoh luputnya boleh dipanjangkan 3 hingga 6 tahun lagi.

  • Makanan Sejuk Beku: Asalkan korang simpan di bahagian sejuk beku, ia boleh bertahan hingga 3 tahun!
  • Telur: Sebenarnya, telur ni memang boleh dimakan walaupun dah lepas tarikh luput. Cara nak tahu ia dah busuk atau belum, rendamkan dalam air. Kalau tenggelam, maksudnya ia masih boleh dimakan dan kalau timbul, korang perlu buang.

  • Pasta atau Mi Kering: Makanan kering memang susah nak rosak. Korang masih boleh gunakannya, asalkan bau masih elok.
  • Roti: Simpan roti yang dah lepas tarikh luput di dalam peti sejuk untuk tahan lebih lama. Asalkan belum ada kulat, maksudnya roti tu boleh dimakan lagi.

Yang paling penting, periksa dulu makanan sebelum nak memakannya. Asalkan ia tak ada kulat, tak berlendir, dan tak berbau, korang boleh memakannya. Tapi, kalau tak yakin, buang je lagi selamat. Sebenarnya, ada cara nak bagi makanan tahan lebih lama, iaitu menyimpannya dengan cara yang betul. Kalau nak tahu caranya, korang boleh baca di SINI.

Ikuti Kami

Anda Mungkin Minat

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Back to top button