PermohonanCara Mudah

11 Jenis Bantuan JKM Termasuk Kanak-Kanak Keluarga Miskin Sehingga RM1,000

Cara Mohon Skim Bantuan JKM serta Semakan dan Kemaskini Online

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berfungsi seperti namanya, iaitu membantu kebajikan masyarakat kumpulan sasar. Masyarakat kumpulan sasar yang berada di bawah jagaan mereka adalah kanak-kanak, OKU, Orang Tua, pesakit kronik, dan orang miskin. Antara cara JKM membantu mereka yang memerlukan adalah melalui pemberian bantuan kewangan kepada mereka yang memerlukan.

TERKINI: Semasa pembentangan Belanjawan 2021 yang lepas, kerajaan telah memberikan perkhabaran gembira tentang kenaikan kadar bantuan JKM untuk beberapa kategori iaitu:

  • Kadar Bantuan Kanak-kanak Keluarga Miskin dinaikkan daripada RM100 seorang anak dengan maksimum RM450 sekeluarga, kepada RM150 sebulan bagi seorang anak berumur tujuh tahun hingga 18 tahun atau RM200 seorang anak berumur enam tahun dan ke bawah dengan maksimum RM1,000 sekeluarga
  • Kadar bantuan orang kelainan upaya (OKU) tidak berupaya bekerja dinaikkan daripada RM250 kepada RM300 sebulan.
  • Kadar bantuan warga emas dan bantuan penjagaan OKU serta pesakit kronik terlantar pula dinaikkan daripada RM350 kepada RM500 sebulan.
  • Kadar Elaun Pekerja OKU pula dinaikkan daripada RM400 kepada RM450 sebulan

11 Jenis Bantuan JKM: Cara Permohonan, Semakan & Kemaskini Online

Bantuan kewangan yang disediakan oleh JKM adalah dikhaskan kepada kumpulan sasar untuk meneruskan kelangsungan hidup mereka. Ada 11 jenis bantuan kumpulan sasar yang disediakan oleh JKM, dan jom kita lihat sama ada kita tergolong dalam salah satu daripadanya:

  • Bantuan Kanak-Kanak (BKK)
  • Elaun Pekerja Cacat (EPC)
  • Bantuan OKU Tidak Berupaya Bekerja (BTB)
  • Bantuan Penjagaan OKU Terlantar/ Pesakit Kronik Terlantar (BPT)
  • Bantuan Orang Tua (BOT)
  • Bantuan Am Persekutuan (BA)
  • Bantuan Anak Pelihara (BAP)
  • Bantuan Latihan Perantis (BLP)
  • Bantuan Geran Pelancaran (GP)
  • Bantuan Alat Tiruan/ Alat Sokongan (BAT)
  • Tabung Bantuan Segera (TBS)

1. Bantuan Kanak-Kanak (BKK)

Bantuan yang disediakan adalah sebanyak RM150 sebulan jika mempunyai seorang anak, dan maksimum RM1000 buat keluarga yang mempunyai isi rumah lebih daripada 4 orang kanak-kanak. Syarat-syarat kelayakannya pula adalah:

  • Warganegara dan bermastautin di Malaysia.
  • Keluarga/ penjaga yang memberi jagaan kepada kanak-kanak dan pendapatan isi rumah tidak  melebihi Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Purata  Miskin Isi Rumah Semasa atau PGK Purata Miskin Per Kapita Semasa.
  • Kanak-kanak yang berumur di bawah 18 tahun dan yang berumur 18 tahun ke atas boleh dipertimbangkan jika bersekolah sehingga tamat menengah atas ATAU
  • Mana-mana kes yang berkeperluan, layak dipertimbangkan dengan kelulusan Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat (KPKM).

2. Elaun Pekerja Cacat (EPC)

Bantuan diberikan sebanyak RM450 sebulan seorang kepada pemegang kad OKU JKM. kalau korang belum daftar untuk mendapatkan kad OKU, korang boleh isi borang ni.Syarat-syarat kelayakannya pula adalah:

  • Warganegara, bermastautin dan bekerja di Malaysia.
  • Berumur 16 tahun dan ke atas.
  • Pemegang kad OKU JKM.
  • Pendapatan bulanan RM 1,500.00  dan ke bawah, ATAU
  • Mana-mana kes yang berkeperluan, layak dipertimbangkan dengan kelulusan KPKM.

3. Bantuan OKU Tidak Berupaya Bekerja (BTB)

Yang ni pula dikhususkan untuk mereka yang memegang kad OKU dan tak mampu untuk bekerja. Bantuan sebanyak RM250 sebulan akan diberikan kepada mereka yang layak. Syarat-syarat kelayakannya pula adalah:

  • Warganegara dan bermastautin di Malaysia.
  • Berumur 16 tahun dan ke atas.
  • Pemegang Kad OKU JKM.
  • Tidak berupaya bekerja.
  • Pemohon bukan penghuni/ pelatih:
    • Institusi kendalian JKM
    • Pusat jagaan harian/ berkediaman yang menyediakan perkhidmatan/ kemudahan secara percuma
    • Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK)
  • Sumber kewangan bulanan individu OKU (seperti pencen, PERKESO, zakat atau bantuan-bantuan lain) tidak melebihi kadar Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Purata Miskin Per Kapita Semasa, atau
  • Mana-mana kes yang berkeperluan, layak dipertimbangkan dengan kelulusan KPKM.

4. Bantuan Penjagaan OKU Terlantar/ Pesakit Kronik Terlantar (BPT)

Bantuan ni akan diberikan kepada penjaga OKU yang terlantar sakit atau pesakit kronik yang memerlukan pengawasan, sebanyak RM350 sebulan. Syarat-syarat kelayakannya pula adalah:

  • Warganegara dan bermastautin di Malaysia.
  • Pemohon adalah penjaga sepenuh masa/ memberikan pejagaan rapi kepada OKU terlantar/ pesakit terlantar/ pesakit kronik yang memerlukan pengawasan dan penjagaan.
  • Pendapatan bulanan isi rumah tidak melebihi RM3,000; ATAU
  • Mana-mana kes yang berkeperluan, layak dipertimbangkan dengan kelulusan KPKM.

5. Bantuan Orang Tua (BOT)

Bantuan kewangan sebanyak RM350 sebulan ni akan diberikan kepada warga emas berumur 60 tahun ke atas yang layak. Syarat-syarat kelayakannya pula adalah:

  • Warganegara dan bermastautin di Malaysia.
  • Warga emas berumur 60 tahun dan ke atas.
  • Pendapatan Isi Rumah tidak melebihi Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Purata  Miskin Isi Rumah Semasa atau PGK Purata  Miskin Per Kapita Semasa.
  • Warga emas yang bukan tinggal di:
    • Institusi kendalian JKM
    • Pusat jagaan harian/ berkediaman yang memberi kemudahan/ perkhidmatan secara percuma
  • Mana-mana kes yang berkeperluan, layak dipertimbangkan dengan kelulusan KPKM.

6. Bantuan Am Persekutuan (BA)

Bantuan kewangan ni akan diberikan kepada mereka yang memerlukan dan keluarga miskin yang bukan berada di bawah kategori bantuan yang lain. Mereka yang layak akan mendapat sebanyak RM100 sebulan seorang, dan maksimum RM350 sebulan untuk sekeluarga.

7. Bantuan Anak Pelihara (BAP)

Bantuan kepada keluarga yang sedang memberi jagaan kepada anak atau kanak-kanak sebanyak RM250 sebulan untuk seorang anak, dan maksimum RM500 sebulan untuk keluarga yang mempunyai dua anak atau lebih. Syarat-syarat kelayakannya pula adalah:

  • Kanak-kanak berumur bawah 18 tahun.
  • Kanak-kanak yang tidak mempunyai ibu bapa.
  • Kanak-kanak bukan diambil sebagai anak angkat menerusi Akta Pengangkatan 1952 atau Akta Pendaftaran Pengangkatan 1952.
  • Kanak-kanak tinggal bersama dengan keluarga pelihara melalui:-
    • Kanak-kanak yang diambil dari “Program Anak Pelihara” yang dikendalikan oleh JKM.
    • Kanak-kanak yang dipelihara di bawah perintah Mahkamah Bagi Kanak-Kanak mengikut Akta Kanak-Kanak 2001.

8. Bantuan Latihan Perantis (BLP)

Bantuan kewangan sebanyak RM200 sebulan, kepada:

  • Warganegara dan bermastautin di Malaysia.
  • Anak-anak penerima bantuan atau  bekas pelatih/ bekas penghuni dari institusi kebajikan; atau
  • Kes-kes seliaan akhlak; atau
  • Bekas Pelatih Perintah Khidmat Masyarakat; ATAU
  • Mana-mana kes yang berkeperluan, layak dipertimbangkan dengan kelulusan KPKM.

9. Bantuan Geran Pelancaran (GP)

Bantuan Geran Pelancaran bertujuan sebagai pemerkasaan ekonomi kumpulan sasar JKM yang produktif, mempunyai minat, kemahiran dan potensi untuk menjana pendapatan individu/ keluarga serta mewujudkan program pembangunan dan pengintergrasian bagi membantu klien mencapai matlamat ke arah berdikari.

Bantuan kewangan ini diberikan sebanyak RM2700 secara sekaligus kepada mereka yang layak. Syarat-syarat kelayakannya pula adalah:

  • Warganegara dan bermastautin di Malaysia.
  • Kumpulan sasar JKM.
  • Tidak melebihi Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Purata  Miskin Isi Rumah semasa atau PGK Purata  Miskin Per Kapita Semasa;  ATAU
  • Mana-mana kes yang berkeperluan, layak dipertimbangkan dengan kelulusan KPKM.

10. Bantuan Alat Tiruan/ Alat Sokongan (BAT)

Bantuan kewangan ni diberikan kepada mereka yang menggunakan alat bantuan tiruan atau alat sokongan seperti:

  • Anggota Palsu
  • Kerusi Roda
  • Alat Bantu Pendengaran
  • Alat-alat Keperluan Lain
  • Penggantian / Baik Pulih Alat

Bantuan yang diberikan adalah mengikut harga barang yang sebenar. Syarat-syarat kelayakannya pula adalah:

  • Warganegara dan bermastautin di Malaysia.
  • Kumpulan sasar JKM.
  • Tidak melebihi Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Purata  Miskin Isi Rumah Semasa atau PGK Purata  Miskin Per Kapita Semasa.
  • Disyorkan oleh pegawai atau pakar perubatan (kerajaan/ swasta)/ Pegawai JKM mengikut jenis ketidakupayaan;   ATAU
  • Mana-mana kes yang berkeperluan, layak dipertimbangkan dengan kelulusan KPKM.

11. Tabung Bantuan Segera (TBS)

Bantuan kewangan yang diberikan secara one-off dan segera sebanyak RM300 bagi mereka yang memerlukan. Syarat-syarat kelayakannya pula adalah:

  • Warganegara dan bermastautin di Malaysia.
  • Mana-mana kes yang berkeperluan, layak dipertimbangkan dengan  kelulusan oleh Pengarah Kebajikan Masyarakat Negeri (PKMN).

Cara Membuat Permohonan Bantuan JKM / Kemaskini Online / Semakan

Dah tahu syarat-syarat untuk setiap bantuan JKM, boleh lah mohon jika melepasi syarat kelayakan kan. Ada 2 cara untuk memohon bantuan-bantuan JKM ni, iaitu:

  1. Permohonan Secara Online
    • Korang boleh pergi ke laman web JKM di SINI, klik Daftar dan isikan maklumat hingga lengkap.

     

  2. Permohonan Secara Manual
    • Kalau nak mohon bantuan JKM secara manual, korang boleh pergi ke mana-mana Pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat yang dekat dengan tempat tinggal. Kalau nak periksa cawangan mana yang dekat, boleh klik SINI.
    • Untuk lebih senangkan urusan korang, boleh download borang di SINI, cetak dan isi siap-siap sebelum pergi ke pejabat JKM. Jangan lupa bawa dokumen-dokumen yang diperlukan. Semuanya ada disenaraikan di dalam borang tersebut.

Akhir sekali, semoga permohonan korang untuk mendapatkan bantuan JKM ini diluluskan. Perlu diingat setiap permohonan akan melalui proses saringan dan pemilihan yang teliti justeru pemohon diharapkan bersabar dan tidak berputus asa dalam mendapatkan bantuan JKM. InshaAllah ada rezeki korang nanti. Bagi yang nak bantuan perumahan boleh duduk PPR dengan sewa serendah RM124 sebulan boleh tengok cara mohon di SINI

Ikuti Kami

Anda Mungkin Minat

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Back to top button