KesihatanMakanan

Tak Susah Nak Kurus, Makan Menu Diet Suku-Suku Separuh Ni Je! Murah Tak Perlu Beli Ubat / Alatan Mahal

Diet Cara Makan Menu Suku-Suku Separuh Dan Cadangan Menu

Pernah dengar tak diet suku-suku separuh? Setiap tahun satu azam yang kita selalu dengar orang nak buat adalah “Aku nak kurus tahun ni!”. Ni dah masuk tengah tahun dah agak-agaknya apa jadi dengan azam tu ya? Kalau masih tak menjadi korang kena tengok apa yang menyebabkan ayat tu hanya dalam fikiran je tapi tak terzahir dengan perbuatan. Adakah sebab makanan ke atau sikap malas kita? 

Mungkin ada di antara korang yang dah mula memasang niat untuk kuruskan badan, tapi tak tahu mana nak mula. Nak kena pergi gym ke, ataupun nak kena lari sekeliling taman 10 kali ke, atau tak payah makan nasi ke. Sebab nak kurus ni ada macam-macam cara. Macam-macam yang ada dalam fikiran korang, sampaikan last-last, satu benda pun tak terbuat.

Tips Kurus Dengan Amalkan Diet Suku-Suku-Separuh

Daripada fikirkan benda-benda yang memeningkan dan susah nak buat, meh kitorang nak cadangkan salah satu cara untuk kurus dan sihat, iaitu melalui diet suku-suku separuh! Ya tak perlu beli alatan senaman mahal-mahal ataupun ubat supplement untuk mudah kurus yang mahal-mahal tu. 

Diet suku-suku separuh ni adalah hasil pemikiran daripada pakar diet dan nutrisi di Bahagian Pemakanan dalam Kementerian Kesihatan Malaysia. Mereka memperkenalkan konsep pemakanan seimbang melalui diet suku-suku separuh ni.

Apa yang dititik-beratkan di dalam diet suku-suku separuh ni adalah:

  • Meningkatkan pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan
  • Mengawal saiz makanan bagi makanan berasaskan karbohidrat
  • Menggalakkan pemakanan berasaskan produk bijirin penuh
  • Memastikan pengambilan sumber protein yang mencukupi
  • Menggalakkan pengambilan air kosong
  • Mengurangkan makanan yang mengandungi lemak, gula dan garam

Mungkin korang selalu dengar, nak mula diet ni perlu berbelanja lebih banyak. Sayur perlu beli yang organik, perlu banyakkan makan daging-daging. Tapi untuk diet ni, korang masih boleh masak menu harian yang selalu dimasak. Apa yang penting, adalah untuk mengawal portion makanan di dalam pinggan je.

Macam Mana Nak Mula Diet Suku-Suku-Separuh?

Secara asasnya, korang kena bahagikan pinggan kepada tiga bahagian yang berasingan dengan menggunakan konsep suku-suku-separuh. Caranya begini:

1. Karbohidrat (Suku Pinggan)

Ramai orang ingat untuk jadi lebih kurus, kita tak payah makan nasi langsung. Sebenarnya, kita masih perlukan karbohidrat dalam menu seharian kita, cuma tak banyak je. Kalau sebelum ni korang letak nasi menggunung dalam pinggan, lepas ni boleh cuba letak hanya sesuku pinggan je. Lebih kurang sebesar penumbuk sendiri. Kalau nak kurangkan makan nasi, korang boleh gantikan dengan sumber karbohidrat yang lain seperti roti wholemeal, pasta, ataupun oat. 

2. Protein (Suku Pinggan)

Untuk lauk pula, portionnya sama banyak dengan karbohidrat, iaitu suku pinggan. Lauk ni kalau boleh, cari masakan yang kurang gunakan minyak dan gula, macam ayam bakar, sup daging, ataupun ikan masak stim. Tapi sebenarnya boleh je kalau nak makan lauk kari, kurma, atau asam pedas, cuma kena kurangkan penggunaan minyak.

3. Serat (Separuh)

Bahagian separuh yang tertinggal ni korang isiikan pula dengan sayur-sayuran atau buah-buahan. Bagi sayuran, korang boleh makan sayuran hijau seperti sawi dan kangkung, tapi sayur lain seperti tomato pun boleh juga. Serat ni bagus untuk sistem penghadaman kita dan kalorinya pun rendah. Jadi korang boleh makan sayur banyak-banyak tanpa perlu risau berat badan akan naik secara mendadak.

Cadangan Menu Diet Suku-Suku Separuh

Korang rasa buntu nak masak apa? Meh, kitorang sediakan cadangan menu untuk seminggu yang korang boleh ikut, supaya tak adalah tergaru-garu kepala setiap kali masuk dapur sebab tak tahu nak masak apa.

Nasi putih, siakap masak stim, sayur tumis.

Nasi putih, ayam bakar, dan timun sebagai ulam.

Nasi putih, ikan bakar, ulam-ulaman.

Nasi putih dan sup ayam.

Nasi putih, telur goreng hancur, timun.

Bihun sup dengan udang, timun dan lobak merah.

Nasi putih, ikan masak singgang, ulam-ulaman.

Jadi, senang je kan diet ni? Pastikan korang ikut formula diet suku-suku separuh dan angan lupa juga untuk meminum air yang cukup, iaitu lapan gelas sehari. Formula untuk menurunkan berat badan adalah 80% datangnya daripada pemakanan sihat dan 20% pula datang daripada senaman. Jadi sambil-sambil jaga makan tu, bolehlah bersenam dalam tiga kali seminggu. Malu nak keluar bersenam? Korang boleh je bersenam dalam rumah, lagi seronok! Boleh baca dengan lebih lanjut mengenai bersenam di rumah di SINI.

Ikuti Kami

Anda Mungkin Minat

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Back to top button