MakananCara Mudah

5 Tips Beli Ayam Segar di Pasar & Cara Simpan Yang Betul! Antaranya, Guna Daun Pandan?

Cara Mudah Membeli Ayam Segar Di Pasar & Tips Simpan Ayam Agar Kekal Segar

Sumber Gambar Bazaarsamadhan

 

Ayam adalah sumber protein yang menjadi pilihan kebanyakan orang untuk dibuat lauk. Bukan sahaja harganya yang jauh lebih murah daripada sumber protein yang lain, tetapi ia juga mudah dimasak dan dimakan. Daging ayam tidak liat seperti daging lembu, dan tulangnya pun besar dan senang diasingkan berbanding tulang ikan yang kecil dan halus.

Walaupun ayam adalah antara sumber protein yang sering dibeli, tetapi masih ramai lagi tak tahu cara membeli dan menyimpan ayam yang betul, sampaikan bila dah tersalah beli, ayam akan cepat busuk dan tak sempat masak lagi, dah kena buang. Habis membazir di situ.

Tips Membeli Ayam yang Segar

Ayam yang dijual di pasar basah atau pasar raya tak semuanya segar. Korang kena pandai pilih juga. Jadi untuk mengelakkan daripada terbeli ayam yang tak segar, bolehlah ikuti tips-tips di bawah ni!

1. Lihat Warna Daging Ayam yang Mahu Dibeli

Sumber Gambar Reader’s Digest

Sewaktu nak membelek-belek bahagian ayam untuk membelinya, perhatikan warna pada bahagian dagingnya. Pilih ayam yang mempunyai daging berwarna kemerah-merahan sebab itu tanda ayam tersebut segar. Elakkan pula daripada memilih ayam yang sudah berwarna pucat atau kebiruan, sebab kemungkinan ia telah diletakkan formalin, sejenis pengawet untuk menghilangkan bau ayam yang kurang segar.

2. Rasa Tekstur Daging Ayam

Jangan takut untuk memegang ayam yang mahu dibeli. Dengan menggunakan jari, cuba tekan pada daging ayam tersebut dan lepaskan. Sekiranya daging tersebut kembali ke bentuk asal, itu tanda ayam tersebut empuk dan segar. Tetapi kalau dagingnya terasa lembik, ayam tu dah tak segar.

3. Hidu Bau Ayam

Ayam yang segar tidak memberikan apa-apa bau. Kalau ada pun, cuma bau hanyir yang halus dan tak kuat. Tetapi kalau ayam tersebut dah lama, bau hanyir pada daging ayam tersebut terasa menyengat dan kurang menyenangkan.

4. Perhatikan Kesan Air Darah

Sumber Gambar Harian Metro

Masa nak beli ayam, cuba tengok bahagian tulang ataupun tempat ayam dipamerkan. Kalau ada kesan air darah, itu bermakna ayam tersebut dah tak segar. Kesan air darah wujud apabila ayam tersebut disejukbeku dan dinyahbeku untuk beberapa kali, lalu proses ini akan mematikan sel-sel daging ayam dan mengurangkan kualiti daging tersebut.

5. Kehadiran Lalat Tanda Ayam Tak Segar

Seperti yang korang tahu, lalat memang tertarik dengan bangkai ataupun sesuatu yang busuk. Jadi kalau ayam di kedai yang korang mahu beli tu mempunyai banyak lalat, itu tanda ayam-ayamnya tak segar. Bolehlah beredar dan beli ayam di kedai lain pula.

Tips Menyimpan Ayam Supaya Tahan Lama

Bila dah tahu cara yang betul untuk memilih ayam yang segar, korang kena tahu pula cara menyimpannya yang betul. Ayam, kalau disimpan dengan betul, walaupun lepas seminggu berada di dalam peti ais, tetapi kualitinya masih sama seperti ayam baru disembelih!

Kalau nak tahu cara-cara yang betul, boleh ikut langkah-lankah di bawah:

  • Terus basuh ayam selepas tiba di rumah. Apabila tiba di rumah, jangan bertangguh-tangguh lagi, terus cuci ayam sehingga bersih. Jangan korang terus masukkan plastik berisi ayam yang baru dibeli ke dalam peti sejuk pula. Nanti air darah akan menyebabkan ayam tersebut cepat hanyir.

Sumber Gambar Says

  • Masukkan ke dalam beg kedap udara. Selepas dicuci dengan bersih, masukkan ayam yang dibasuh tadi ke dalam beg kedap udara. Pastikan udara dah dikeluarkan terlebih dahulu sebelum beg tersebut ditutup.
  • Letakkan daun pandan sekali dengan ayam. Daun pandan ni lah yang akan memanjangkan lagi hayat kesegaran ayam korang tu.
  • Tulis tarikh ayam dimasukkan ke dalam peti sejuk. Ini adalah supaya korang dapat keep track sampai bila kualiti ayam tersebut boleh bertahan.
  • Jangan rendam dalam air untuk nyahbeku. Sebaliknya, biarkan saja ayam tersebut nyahbeku dengan suhu bilik. Nanti tak adalah lebihan air ayam yang akan mengalir masuk ke dalam masakan, lalu membuat rasanya kurang sedap.

Tips Mudah Cuci Ayam

Nak cuci ayam pun ada tips yang lebih memudahkan ataupun cara senang untuk basuh dan buang lemak-lemak yang melekat pada ayam tu. Ini dia caranya:

Sumber Gambar RojakBuahPedas

  • Gaulkan ayam dengan tepung gandum, pastikan semua bahagian daging tersalut tepung
  • Biarkan selama 10 hingga 15 minit
  • Campurkan adunan ayam tadi dengan air dan gaulkan ayam bersama air
  • Waktu ini bolehlah memotong atau membuang lemak-lemak ayam yang terlekat pada kulit
  • Setelah itu bilas dengan air bersih dan lendir-lendir ayam akan mudah terkeluar serta bau hanyir atau hamis akan hilang, seterusnya bolehlah disimpan atau dimasak.

Jadi lepasni, nak beli ayam sampai dua tiga ekor sekali gus pun tak apa sebab korang dah tahu ayam yang dipilih tu ayam segar, dan cara menyimpan yang betul juga boleh membuatkan ia tahan lama.

Ikuti Kami

Anda Mungkin Minat

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Back to top button