MakananCara Mudah

7 Tips Daging Lembut & Tak Liat, Antaranya Guna Ais, Kurma Atau Sudu Besi!

Cara Mudah Masak Daging Agar Cepat Lembut Dan Empuk Tak Perlu Masak Lama

Dalam banyak-banyak sumber protein yang ada, daging lembu adalah antara protein yang susah nak masak lagi-lagi kalau tak tahu masak ikut tips daging lembut. Walaupun terdapat bermacam-macam jenis resipi yang menggunakan daging lembu, dan kita memang boleh ikut saja segala langkah-langkah yang ditulis di dalam resipi tersebut, tetapi kadang-kadang daging yang dimasak tu menjadi liat dan tak empuk langsung. Rasa nak tercabut gigi pun ada semasa mengunyahnya.

Tips Daging Lembut, Cara Memasak Agar Daging Tak Liat

Untuk mengelakkan kesusahan semasa mengunyah daging yang liat, kitorang nak kongsikan beberapa tips daging lembut dan cara untuk memasak daging supaya ia menjadi empuk dan lembut dimakan. 

Perapkan Daging dengan Bahan Perapan Bersifat Asidik

Sumber Gambar Fine Cooking

Antara cara untuk melembutkan daging yang dimasak adalah dengan memerapnya terlebih dahulu. Semakin lama korang perap daging tersebut, bukan saja ia menjadi lebih lembut, tetapi daging tersebut juga akan menjadi lebih sedap apabila semua bahan perapan menyerap masuk ke dalam serat daging.

Gunakan bahan perapan yang bersifat asidik seperti cuka, limau, nanas, ataupun yogurt kerana ia mampu melembutkan tisu otot daging secara semula jadi. Perap daging sekurang-kurangnya 2 jam, dan paling lama 24 jam di dalam peti sejuk sebelum memasaknya.

Ketuk Daging Supaya Menjadi Lebih Lembut

Sumber Gambar Food Fire Friends

Terdapat sejenis peralatan memasak yang kelihatan seperti penukul besi petak yang selalunya dipanggil meat tenderizer. Gunakan alat ini untuk mengetuk daging sehingga menjadi leper dan nipis. Ia akan membuatkan daging senang terungkai apabila dimasak. Kalau tak ada meat tenderizer, boleh gunakan batang penguli ataupun lesung batu. Bukan saja akan senang untuk mengunyah kerana nipis, tetapi ia juga akan melembutkan daging juga.

Tambahkan Kurma ke dalam Masakan

Ha, ni mesti korang jarang dengar kan? Antara petua orang dulu-dulu adalah untuk memasukkan beberapa biji kurma bersama-sama daging yang nak direbus. Ia bergantung kepada berapa banyak masakan yang korang akan lakukan, tetapi biasanya untuk lauk daging yang dimakan sekeluarga, cukup 5 biji kurma. Secara tak langsung ia juga akan memberikan rasa manis sedikit pada daging yang direbus. Tapi kalau tak nak ubah rasa daging, gunakan bijinya saja pun boleh.

Masukkan Sudu Besi Semasa Merebus Daging

Sumber Gambar Fesdutro

Satu lagi petua tradisional yang mungkin korang pernah dengar adalah dengan memasukkan sudu besi semasa merebus daging. Ia diakatakan mampu menyerap lebih haba dan ini akan membantu dalam proses melembutkan daging. Selain daripada sudu besi, korang juga boleh gunakan sudu yang diperbuat daripada tembaga kerana tembaga juga adalah pengalir haba yang baik. Selalunya teknik ini akan digunakan pada masakan yang berkuah seperti sup.

Gunakan Daun Betik Ataupun Betik Muda

Selain tu, korang juga boleh gunakan daun betik untuk melembutkan daging yang dimasak. Kalau tak nak guna daunnya, gunakan betik yang masih muda juga boleh melakukan benda yang sama. Kedua-duanya merupakan agen pelembut daging yang berkesan.

Cara menggunakan daun betik adalah dengan ambil dalam 3 tangkai daun betik, basuhkannya sebelum memasukkan ke dalam masakan. Biarkan sehingga daging menjadi empuk sebelum mematikan api. Untuk betik muda pula, kupas kulit dan buang bijinya terlebih dahulu sebelum dipotong kecil dan memasukkannya ke dalam masakan. Biarkan sehingga empuk. Jangan lupa keluarkan daun dan betik apabila daging dah siap dimasak.

Ais Juga Boleh Melembutkan Daging

Satu lagi tips yang jarang didengar adalah dengan menggunakan ais untuk melembutkan daging. Selalunya cara ni akan digunakan apabila nak memasak sup daging atau sup tulang. Caranya adalah:

  • Rebus daging selama 20-30 minit.

Sumber Gambar Rasa

  • Semasa air sedang menggelegak, masukkan sebongkah ais.
  • Biarkan ia masak sehingga ais mencair. Kemudian, bolehlah masukkan rencah-rencah sup yang lain.

Goreng dengan Minyak Masak

Cara ni pula berbeza dengan cara-cara lain yang kebanyakannya menggunakan teknik merebus untuk mendapatkan daging yang empuk. Sebaliknya, korang akan menggoreng dengan minyak masak terlebih dahulu. Caranya adalah:

  • Potong daging kepada kepingan-kepingan kecil.
  • Masukkan dua sudu minyak masak ke dalam kuali dan panaskan.

  • Masukkan daging dan goreng sehingga air daging keluar sendiri.
  • Pastikan korang gunakan api yang kuat.

  • Kacau sehingga air daging menjadi kering.
  • Daging akan menjadi lembut apabila kesemua air telah kering. Lepas tu, ia bolehlah dimasak menjadi apa-apa jenis lauk yang korang mahukan.

Dengan mengikuti tips daging lembut di atas ni, korang bolehlah pastikan daging yang dimasak menjadi empuk dan lembut. Barulah korang sekeluarga boleh nikmati lauk daging tanpa perlu mengunyah banyak kali sebelum menelannya. Selain daripada tips-tips di atas, cara pemotongan yang betul juga boleh membuatkan daging yang dimasak menjadi lembut. Kalau nak tahu cara-caranya, korang bolehlah baca di SINI.

Ikuti Kami

Anda Mungkin Minat

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Back to top button