RumahCara Mudah

Pertama Kali Nak Sewa Rumah Atau Bilik? Ini Tips Sewa Yang Patut Tahu Elak Ditipu

Cara Sewa Rumah Atau Bilik

Korang mesti takut atau risau kan bila first time nak menyewa rumah ni. Lagi-lagi korang sudah sekian lama tinggal bersama keluarga di rumah ibu bapa. Ini tak sebut lagi kalau kena scam masa nak berurusan, informasi yang misleading dari pemberi sewa; contohnya dalam gambar nampak cantik namun bila lepas tandatangan kontrak, indah khabar dari rupa.

Tips Sewa Rumah Atau Bilik Pertama Kali

Jangan gusar jangan risau, ini ada beberapa tips penting yang mungkin dapat membantu korang yang nak menyewa rumah buat kali pertama.

Tahu Berapa Bajet Mampu Bayar Setiap Bulan. Deposit Pun Kena Bayar Tau!

Merancang awal bajet untuk sewa bulanan boleh membantu untuk merancang kewangan dan memilih rumah atau bilik yang nak disewa untuk korang. Kita tak nak nanti pilih rumah yang jauh di luar kemampuan kita untuk membayar setiap bulan. Dah sakit atau tersiksa nak mencari duit lebih pulak bulan-bulan.

Tips dia jangan belanja lebih 30% gaji bulanan korang untuk bayar sewa rumah atau bilik. Korang juga kena tahu yang bila nak menyewa, kebiasannya tuan rumah akan meminta bayaran deposit atau pendahuluan. Jadi korang bukan sekadar perlu bayar sewa sahaja untuk bulan pertama. 

Contoh sewa RM 1000 sebulan, istilah deposit sewa kebiasannya 2+1+deposit utiliti untuk 6 bulan: Cagaran rumah(RM 1000 x2) + Sewa Bulan Pertama(RM 1000) + Utiliti untuk 6 bulan(RM 500) = RM 3500.

Nampak banyak kan? Tapi duit cagaran rumah tu korang akan dapat balik bila keluar rumah lepas habis kontrak, asalkan tak buat sebarang kerosakan pada rumah tersebut untuk dapat jumlah penuh.

Lokasi Rumah Sewa, Kalau Dekat Mahal Pula, Jauh Murah Sewanya! 

Lokasi rumah sewa mestilah dipilih dengan betul. Contohnya kalau korang menyewa untuk tujuan dekat dengan tempat kerja atau belajar, pastikan tempat korang menyewa mempunyai akses yang mudah untuk ke tempat kerja atau universiti korang. Selalunya bila rumah dekat dengan akses macam dekat bandar ataupun pengangkutan awam, sewa akan lebih mahal.

Jadi kalau tak mampu boleh buat pilihan duduk jauh sikit sebab lagi murah, tapi kena kira juga kos pengangkutan nak ke tempat kerja seperti minyak, tol dan sebagainya. Kalau lagi mahal dan asyik kena menghadap kesesakan jalan, baik tak payah kan. So buat pilihan yang bijak! Fikir betul-betul dulu sebelum ambil keputusan. 

Korang boleh buat carian internet untuk survey dulu rumah yang korang nak sewa. Tapi sebaiknya cari di platform rumah sewa yang berdaftar dan sah untuk mengelakkan korang dari ditipu, contohnya SPEEDHOME

Tengok Dan Periksa Rumah Dulu! Jangan Main Bayar Je Dulu! 

Bila dan jumpa rumah atau bilik sewa yang berkenan, buat temu janji dengan tuan rumah untuk tengok dan periksa rumah atau bilik tersebut sebelum membuat apa-apa bayaran. Nanti duit dah dibayar, rumahnya pulak tak ada. Jangan gelak! Ada tau kes-kes macam ni. Lagi-lagi yang datang dari kampung tu, memang ramai dekat bandar ni suka ambil kesempatan. 

Masa korang tengok rumah bersama tuan rumah pula, tanyalah setiap perkara walau sekecil atau sebesar mana pun perkara tu. Contohnya kalau berlaku kerosakan siapa bertanggungjawab, kos selenggara dan lain-lain. Bila dah berpuas hati, barulah korang boleh teruskan untuk proses perjanjian sewa rumah. Kalau ada benda yang tak suka atau sangsi, mungkin korang boleh cuba cari rumah lain dulu. 

Sumber Gambar Facebook

Pastikan Ada Kontrak Sewa Rumah Yang Sah! Kalau Tak Susah Nanti Apa-Apa Jadi!

Bila nak menyewa, pastikan adanya perjanjian atau kontrak rumah yang sah untuk tandatangan sebelum korang melakukan apa-apa pembayaran. Tak cukup sekadar perjanjian secara lisan. Tuan rumah mestilah menyediakan perjanjian sewa untuk korang.

Kenapa? 

Menurut SPEEDHOME, 90% kes penyewa teraniaya disebabkan tiada perjanjian sewa antara penyewa dan tuan rumah. Kemudian, bayar dan fahami kontrak tersebut betul-betul sebelum tandatangan, dan tanya tuan rumah sekiranya ada bahagian dalam perjanjian sewa tersebut yang korang kurang faham.

Pastikan Tahu Apa Yang Korang Perlu Bayar Dan Tak Perlu Bayar

Ada perkara yang korang perlu bayar, dan ada perkara kos tersebut sepatutnya ditanggung oleh tuan rumah. Baca betul-betul kontrak korang sebelum tandatangan. Lazimnya, perkara yang penyewa atau tuan rumah perlu bayar adalah seperti berikut:

Tuan Rumah Bayar:

  1. Kos Penyelenggaraan – kebiasaannya di bawah tanggungan tuan rumah. Contohnya sinki bocor, bumbung bocor, selagimana kerosakan tersebut bukan diakibatkan penyewa, akan ditanggung tuan rumah.
  2. Yuran Penyelenggaraan – kalau korang menyewa di flat, kondo atau apartment, biasanya ada yuran penyelenggaraan dikenakan pihak pengurusan, tapi ini seharusnya ditanggung oleh tuan rumah.
  3. Servis penghawa dingin – jika rumah sewa yang korang diami ada tersedia unit penghawa dingin, biasanya servis akan dilakukan oleh tuan rumah. Namun ada juga yang ditanggung oleh pneyewa, tertakluk kepada kontrak.

Penyewa Bayar:

  1. Bil Pembentungan – pernah dengar IndahWater? IndahWater adalah antara syarikat yang menguruskan pembentungan. Jadi, setiap bulan, akan ada bil yang dikenakan untuk pembentungan dan perlu dibayar oleh penyewa.
  2. Bil Air – bil air setiap bulan korang sebagai penyewa kena bayar ya. Mungkin yang tinggal di Selangor boleh bayar kurang sikit sebab selalu tak ada air. Gurau saja. 
  3. Bil Elektrik – bil elektrik pun sepatutnya dibayar penyewa kerana kedua-dua bil elektrik dan air ialah berdasarkan kadar penggunaan penyewa.

Pastikan Ada Bukti Pembayaran! 

Bila sudah selesai dari penyediaan jumlah deposit sewa, periksa dan tengok rumah. Setelah adanya perjanjian sewa, dan berpuas hati dengan semuanya, barulah korang buat pembayaran kepada tuan rumah.

Tapi pastikan ada bukti pembayaran sebagai hitam putih yang korang dah buat pembayaran. Sekiranya pembayaran dibuat secara tunai, pastikan tuan rumah menyediakan resit pembayaran yang ditandatangai oleh dia.

Namun, paling elok sekiranya bayar melalui pemindahan atas talian(bank online transfer) kerana:

  1. Ada bukti dan rekod pembayaran pada pihak bank
  2. Untuk memastikan pemegang akaun rumah sewa tu adalah betul dan ada rekod dengan bank

Bila dah selesai semua urusan, korang bolehlah mula berpindah ke bilik atau rumah sewa korang. Pastikan sewa bayar setiap bulan, nanti tak pasal-pasal kena tendang keluar pulak. Nak tahu dekat mana nak cari sewa rumah murah? Boleh baca lanjut caranya di SINI

Ikuti Kami

Anda Mungkin Minat

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Back to top button