Cara MudahPermohonan

Dividen KWSP Perlu ‘Dibersihkan’ Dulu, Baru Boleh Guna Tau! Macam Ni Cara Bersihkan Dividen KWSP

Cara Bersihkan Dividen KWSP daripada Akaun Konvensional Bagi Orang Islam

Betul ke kena bersihkan dividen KWSP kalau akaun bukan syariah? Mungkin ada yang tak tahu, bila kita buka akaun dengan KWSP, ia akan secara automatik membuka akaun konvensional, melainkan kalau ahli tu sendiri yang meminta untuk membuka akaun syariah atau ditanya oleh petugas di kaunter. Akaun simpanan KWSP yang patuh syariah ni bukan dari dulu lagi dah ada. Inisiatif ni hanya mula diperkenalkan pada 8 Ogos 2016 yang lalu. Kira sesiapa yang membuka akaun KWSP sebelum daripada tarikh tersebut, memang akan mempunyai akaun jenis konvensional.

Umat Islam Digalakkan untuk Menukar Akaun KWSP daripada Konvensional kepada yang Patuh Syariah

Bila kita menyimpan di dalam akaun KWSP konvensional, pelaburan yang dilakukan tidak patuh syariah. Maksudnya terdapat unsur-unsur keraguan dan pelaburan yang ‘tak bersih’ yang dilakukan melalui akaun konvensional. Sebab tu lah, bagi umat Islam, kita perlu memilih untuk  membuka akaun KWSP yang patuh syariah supaya duit yang dikeluarkan nanti tak ada unsur keraguan dan halal untuk digunakan.

Tapi macam mana buat mereka yang buka akaun sebelum 2016? Macam mana dengan dividen-dividen yang telah diterima sebelum ni? Adakah duit simpanan yang dikeluarkan nanti dikira bersih daripada sumber yang meragukan? Jangan risau, artikel ni akan menjawab segala keraguan dan soalan yang mungkin bermain-main di kepala korang sekarang.

Menurut Jawatankuasa Penasihat Syariah KWSP, adalah menjadi satu kewajipan bagi setiap muslim untuk memastikan setiap urusan yang berkaitan kewangan adalah patuh syariah. Jadi ahli-ahli KWSP adalah digalakkan untuk menukar jenis akaun KWSP mereka kepada yang patuh syariah, dan digalakkan juga untuk ‘membersihkan’ atau menyucikan apa-apa yang diperolehi daripada pelaburan yang dibuat daripada jenis konvensional.

Sumber Gambar M Update

Cara Nak Bersihkan Dividen KWSP daripada Akaun Konvensional

Sebelum nak sucikan dividen KWSP, korang kena pastikan yang penyucian tu takkan memudaratkan perbelanjaan asas diri ahli. Kalau ia akan menjejaskan perbelanjaan asas ahli, tak digalakkan untuk membuat penyucian dividen. 

Cara untuk tentukan berapa jumlah dividen yang perlu disucikan ada dua, iaitu:

  • Bagi ahli yang telah membuat pengeluaran penuh: Jumlah dividen yang dikreditkan ke akaun ahli setiap tahun sehingga dividen terakhir yang dibayar bagi pengeluaran penuh; atau
  • Bagi ahli yang telah memilih untuk menukar kepada Simpanan Shariah: Jumlah dividen yang dikreditkan ke akaun ahli setiap tahun sehingga dividen Simpanan Konvensional terakhir.

KWSP telah menetapkan kadar penyucian dividen Simpanan Konvensional untuk 2020 adalah sebanyak 69% daripada jumlah dividen. Cara untuk mengira jumlah bayaran yang perlu dibuat untuk menyucikan dividen pula adalah:

69% x Dividen = Jumlah yang perlu dibayar

Contohnya: 

69% x RM843.73* = rm590.61

*Jumlah dividen adalah berbeza bagi setiap ahli. Korang boleh bertanya kepada pegawai KWSP untuk mengetahui dengan lebih lanjut lagi.

Pembayaran penyucian dividen boleh menggunakan apa-apa sumber kewangan ahli, ini termasuklah dengan menggunakan duit KWSP yang dikeluarkan. Kalau masih ada lagi persoalan ataupun nak tahu dengan lebih lanjut mengenai penyucian dividen ni, korang bolehlah ke pejabat KWSP yang berdekatan ataupun membaca FAQnya di SINI

Dan amaun yang perlu dibayar ni, hendaklah disalurkan kepada beberapa saluran, supaya dividen korang dapat disucikan:

  • Aktiviti-aktiviti kebajikan seperti bantuan fakir miskin, bencana alam, kos perubatan dan penjagaan kesihatan ataupun kos pendidikan.
  • Kos pembinaan/penyediaan kemudahan awam sama ada melalui Baitulmal di Majlis Agama Islam negeri masing-masing, atau pertubuhan yang berdaftar sebagai badan kebajikan.
  • Diberikan secara langsung kepada pihak yang memerlukan bantuan kewangan terutama sekali ahli keluarga yang tidak berkemampuan selain daripada tanggung jawab wajib (isteri, ibu bapa, dan anak).

Jadi, korang pun dah faham betapa pentingnya untuk bersihkan dividen KWSP sekiranya simpanan dibuat di dalam akaun konvensional. Barulah hidup kita jadi lebih berkat dan rezeki yang dapat pun bertambah-tambah kan. Kalau tak ku kadang rasa gaji besar dah tapi macam ada je yang tak cukup atau hati tak tenang kan. Tapi kalau korang nak tukarkan akaun konvensional tersebut kepada akaun syariah, ada caranya. Korang boleh ikut langkah-langkahnya di SINI.

Ikuti Kami

Anda Mungkin Minat

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Back to top button