RumahCara Mudah

Awas! Mesin Basuh Boleh Cepat Rosak Kalau Salah Guna. Amalkan 5 Tips Penjagaan Mudah Yang Ramai Tak Tahu Ni!

Cara Mudah Jaga Mesin Basuh Agar Tak Mudah Rosak

Mencuci pakaian ni boleh dikira sebagai satu benda yang dah lama dilakukan. Kalau orang zaman dulu-dulu selalu basuh kain di tepi sungai, masing-masing gunakan tangan, tapi sekarang ni, nak cuci baju senang je. Masukkan je dalam mesin basuh dan korang hanya tunggu sampai siap.

Tapi, sama macam perkakas elektrik yang lain, mesin basuh kalau tak dijaga, mesti akan cepat rosak. Korang jangan pula tarik rambut sebab stres dengan mesin basuh yang tak sampai setahun guna dah rosak. Kalau korang amalkan tips-tips penggunaan mesin basuh yang betul dekat bawah ni, mesti mesin basuh boleh tahan lama! Jangan menyesal pulak kena keluar duit banyak sebab nak baiki kalau rosak nanti. 

Tips Mudah Jaga Mesin Basuh Agar Tak Mudah Rosak

1. Guna Cecair Pencuci dan Bukannya Serbuk

Sumber Gambar NY Times

Mungkin korang lagi suka pakai serbuk pencuci sebab ia lagi murah, dan memang betul pun. Tapi kalau nak dibandingkan dengan cecair pencuci, serbuk pencuci ada banyak kelemahannya. Bila guna serbuk pencuci, kalau korang perasan ia akan tinggalkan kesan putih-putih dekat baju. 

Serbuk pencuci senang bergumpal, jadi tu yang kadang-kadang ia susah nak larut dalam air. Gumpalan serbuk pencuci ni juga, kalau ia wujud setiap kali sesi basuhan, lama-lama mesin basuh korang boleh jadi rosak sebab ia boleh tersekat dekat mana-mana bahagian penting dalam mesin tu. Jadi tak salah gunakan cecair pencuci sekali sekala dan ada je yang murah di pasaran kena pandai cari je

2. Jangan Letak Banyak Sangat Pencuci

Korang mesti fikir, makin banyak pencuci yang dimasukkan, makin bersihlah baju tu nanti, kan? Sebenarnya benda tu tak betul. Benda sebaliknya yang akan berlaku. Cecair pencuci yang berlebihan akan tinggalkan sisa dekat baju yang boleh buatkan baju lagi kotor, lagi-lagi dekat bahagian kolar baju. 

Selain tu, banyak sangat pencuci pun boleh rosakkan bahagian penutup getah mesin basuh korang. Pastikan korang masukkan pencuci ikut panduan sukatan yang dah disediakan dalam manual mesin basuh ataupun bergantung pada jumlah pakaian yang korang basuh tu (ikut je panduan dekat label pencuci pakaian korang). 

3. Bukan Semua Benda Boleh Dibasuh

Korang kena faham, walaupun namanya mesin basuh, bukan semua benda boleh dibasuh dekat dalam tu. Benda-benda yang besar, berat, dan bahan yang tak diperbuat daripada kain macam karpet dan tikar getah, akan membuatkan mesin ‘bekerja’ lebih kuat lalu membuatkan motor jadi cepat rosak. 

Benda-benda kecil yang diberbuat daripada besi atau bahan yang keras seperti syiling dan pen pun boleh rosakkan mesin. Jadi sebelum nak masukkan apa-apa baju atau seluar dalam mesin basuh, pastikan korang check dulu semua poket, takut ada benda yang tertinggal. Yang ni memang selalu terjadi.

4. Tak Perlu Sumbat Semua Baju

Sumber Gambar Repair Aid

Ada sesetengah orang suka kumpul baju-baju yang dah dipakai untuk dibasuh pada hujung minggu. Untuk orang bujang buat macam ni mungkin okey kalau nak basuh sekali harung sebab baju yang kotor pun tak banyak sangat. Tapi untuk satu keluarga yang ada 4 dan lebih orang kalau nak kumpul seminggu baju kotor dan basuh sekali harung, silap-silap boleh meletup agaknya mesin basuh tu. 

Memang lebih elok kumpul baju daripada setiap hari basuh baju sebab bil elektrik akan naik, tapi jangan pula terlebih muatan, nanti rosak dah rugi nak bayar kos baiki. Setiap mesin basuh ada had bebanan masing-masing. Ada yang 7kg ada yang 10kg. Pastikan korang basuh ikut had bebanan yang dah ditetapkanlah sebab lagi banyak baju, maksudnya motor mesin basuh tu akan bekerja lebih teruk dan boleh overheat.

5. Hos Getah Kena Lagi Rendah daripada Mesin Basuh

Kalau korang perasan, setiap mesin basuh akan ada hos getah yang tersangkut dekat tepi mesin tu. Fungsinya adalah untuk buang air yang kotor keluar. Masa nak mulakan basuhan baju, korang kena pastikan kedudukan hos getah tu lebih rendah daripada mesin sebab kalau tak, mesin tak boleh nak spin, jadi baju dekat dalam tu takkan boleh keringlah. 

Kalau hos getah tu masih tersangkut, air kotor takkan boleh keluar dan akan terus bertakung dalam mesin tu lalu membuatkan baju dan mesin tu jadi semakin kotor. Lama-lama boleh rosak mesin basuh korang.

Selain daripada mengamalkan tips-tips penjagaan mesin basuh dekat atas ni, korang juga kena lakukan servis dan pembersihan pada mesin tu paling kurang dalam tiga bulan sekali. Dengan cara ni, barulah mesin basuh korang boleh digunakan hingga tahun-tahun yang akan datang! Macam mana cara nak servis atau cuci mesin basuh? Baca sini.

 

Ikuti Kami

Anda Mungkin Minat

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Back to top button