KenderaanCara Mudah

Cara Jumper Bateri Kereta Dengan Betul, Barulah Selamat & Tak Rosak Kereta

Tips Jump Start Kereta Bateri Kong

Walaupun ramai daripada kita memiliki kenderaan, tapi masih ramai yang tak tahu cara jumper bateri kereta. Lazimnya sesebuah kenderaan mempunyai jangka hayat bateri lebih kurang 2 hingga 3 tahun bergantung kepada jenis dan kapasiti bateri. Jadi perlulah diingat untuk menggantikan bateri kereta sebelum sampai jangka hayatnya atau sekiranya kuasa bateri sudah merosot kepada 40 peratus dan ke bawah. Jikalau tidak memang tinddi risiko untuk bateri kong atau terpadam secara tiba-tiba.

Kalau bateri kong ni selalunya terjadi bila kita nak hidupkan enjin dah tak boleh hidup lagi walaupun dah cuba beberapa kali. Yang lagi menakutkan kalau kereta tiba-tiba mati tengah jalan raya yang sesak. Dah satu kerja nak panggil orang untuk minta tolong jumpstart ataupun panggil mekanik untuk datang betulkan kereta kita. Bila nak jumpstart kereta pula bukan boleh sebarangan, boleh rosak pula kereta atau wayar jumpstart tu boleh terbakar jika tersalah cara.

Cara Jumper Bateri Kereta atau Jump Start Kereta Bateri Kong

Jadi untuk memudahkan orang ramai, berikut dikongsikan cara betul untuk jump start bateri kereta serta maklumat lain yang berkaitan:

Sebelum Jumper Bateri Kereta

Ambil perhatian terhadapa beberapa perkara yang perlu dilakukan sebelum jumper bateri kereta seperti:

  • Baca buku manual kenderaan yang diberikan. Sesetengah model kereta tidak disarankan untuk melakukan jump start kerana sistem litar yang sensitif
  • Elakkan jump start bateri kereta yang berkarat, retak, bocor mahupun rosak
  • Elakkan jump start bateri kering
  • Sekiranya meminta bantuan kereta lain, pastikan saiz bateri kereta ‘penderma’ adalah sama atau lebih besar kapasiti daripada saiz bateri kereta kita
  • Pastikan sambungan klip buaya di tempat yang betul mengikut susunan yang betul (rujuk panduan di bawah)
  • Pastikan bateri kereta ‘penderma’ adalah dalam keadaan baik dan tidak lemah
  • Elakkan daripada menyentuh bahagian badan kereta atau klip buaya semasa jumper bateri kereta

Peralatan Yang Diperlukan

a. Kabel Jumper Kereta 

Klip bergerigi dengan wayar panjang yang juga dikenali ‘klip buaya’ disebabkan bentuknya lebih kurang kepala buaya. Terdapat sepasang kabel iaitu satu berwarna hitam (negatif) dan satu lagi berwarna merah (positif)

b. Sumber Kuasa

Selaras dengan peredaran masa, kini terdapat dua cara untuk mendapatkan sumber kuasa bagi jumper kereta iaitu:

i. Bateri Mudah Alih – Tidak perlu bantuan kereta lain dan dilengkapi kabel khas.

ii. Bateri kereta lain – Memerlukan kabel jumper

Kenalpasti Terminal Bateri Kereta 

Sebelum memulakan proses jump start kereta, pastikan telah ketahui atau kenalpasti terminal bateri kereta iaitu:

  • Terminal Positif : Ditandakan dengan tulisan ‘POS’ ataupun mempunyai penutup plastik berwarna merah dengan simbol ‘+’. Terminal ini kebiasaannya lebih besar berbanding terminal negatif. Ianya akan disambungkan kepada klip positif kabel jumper kenderaan yang berwarna merah
  • Terminal Negatif : Ditandakan dengan tulisan ‘NEG’ ataupun simbol ‘-‘ . Terminal ini lazimnya sedikit kecil berbanding terminal positif.

Semasa Jumper Bateri Kereta 

Semasa ingin memulakan jump start kereta, ikuti langkah berikut:

1. Parking Kenderaan Berhampiran

Parking kereta ‘penderma’ berhampiran dengan kereta ‘penerima’. Kenderaan perlu diletakkan berdekatan agar kabel jumper kereta boleh dicapai oleh terminal negatif dan positif kedua-dua kenderaan. Tetapi elakkan kedua-dua kenderaan ini daripada bersentuhan antara satu sama lain agar insiden berbahaya lain yang tidak diingini berlaku.

2. Matikan Enjin 

Apabila ingin jumper bateri kereta dnegan bantuan kereta lain atau ‘penderma’, pastikan peralatan dan sistem elektrik kedua-dua kereta dimatikan seperti lampu kereta, radio dan lain-lain.

3. Cabut Kunci Kereta

Pastikan enjin untuk kedua-dua kenderaan telah dimatikan dan cabut kunci kereta ‘penderma’ dan ‘penerima’. Buka bonet kedua-dua kenderaan.

4. Pasang Kabel Jumper Mengikut Turutan

Pastikan sambung klip kabel jumper kereta dengan berhati-hati dan mengikut turutan. Turutannya adalah seperti berikut:

  1. Mulakan dengan menyambung klip kabel jumper positif berwarna merah dengan terminal positif kereta yang rosak.
  2. Sambungkan hujung klip kabel jumper positif yang satu lagi kepada terminal positif bateri kereta ‘penderma’.
  3. Setelah itu sambungkan klip kabel jumper negatif berwarna hitam pada terminal negatif kereta ‘penderma’
  4. Sambungkan hujung yang satu lagi  klip kabel jumper negatif pada badan atau blok enjin (benda logam yang tidak bercat) pada kereja yang rosak seperti batang besi bonet hadapan. Bukan di terminal negatif bateri kereta mati.

5. Hidupkan Enjin 

Hidupkan enjin kereta ‘penderma’. Pastikan tidak memegang mana-mana bahagian badan kereta atau klip jumper.

6. Tunggu Sebentar

Tunggu seketika hingga beberapa minit. Selepas itu cuba hidupkan enjin kereta yang rosak. Enjin kereta yang rosak akan hidup jika hanya masalah bateri. Namun jika ia masih tidak berjaya dihidupkan selepas beberapa kali cubaan, kereta tersebut mungkin menghadapi masalah lain selain daripada bateri tersebut.

7. Biarkan Enjin Hidup Seketikar

Setelah enjin kereta bateri mati berjaya dihidupkan, biarkan kedua-dua enjin kereta beroperasi selama 5 hingga 10 minit.

8. Cabut Kabel Jumper Kereta

Selepas itu, cabut semula kabel jumper kereta mengikut turutan terbalik dengan betul seperti berikut:

  1. Cabut klip kabel jumper negatif berwarna hitam daripada kereta bateri mati ‘penerima’
  2. Kemudian cabut pula klip kabel jumper negatif berwarna hitam daripada kereta ‘penderma’
  3. Setelah itu cabut klip kabel jumper positif berwarna merah daripada kereta ‘penderma’
  4. Akhir sekali, cabut klip kabel jumper positif berwarna merah daripada kereta ‘penerima’

9. Pandu Uji 

Setelah selesai kabel jumper kereta dicabut, pandu kereta dalam keadaan trafik yang normal selama lebih kurang 30 minit untuk mengecas semula kuasa bateri.

10. Ganti Bateri 

Jika bateri kereta telah sampai jangka hayatnya, lebih elok untuk tukar terus kepada bateri baru.

Mudah sahaja kan sebenarnya nak jump start kereta ni tanpa merosakkan kenderaan ataupun membahayakan diri kita. Apa-apa pun sentiasa pastikan kenderaan diselenggara dengan baik agar tidak berlaku kerosakan yang akhirnya menelan kos yang tinggi. Kalau nak tahu tips ketahui kerosakan pada kereta agar tidak ditipu semasa baiki boleh baca di SINI

Ikuti Kami

Anda Mungkin Minat

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Back to top button