MakananCara Mudah

5 Cara Kupas Telur Rebus Dengan Cepat Dan Mudah Yang Ramai Tak Tahu!

Cara Kopek Kulit Telur Rebus Dengan Betul & Mudah

Kupas telur

Sumber Gambar Eat This

Kupas telur rebus memang nampak mudah kan tapi apa cara kupas telur rebus yang betul dan cepat? Mesti korang pernah mengalami situasi kulit telur melekat pada putih telur, sehingga menyebabkan telur rebus korang yang dah dikupas nampak menggerutu dan tidak cantik. Kadang-kadang ada terkoyak dan terbelah sampai nampak kuning telur. Telur nampak tak cantik dan sayang juga putih telur yang melekat pada kulit telur tadi, selalunya akan dibuang sekali.

Sebenarnya ada banyak cara atau tips yang korang boleh guna untuk dapatkan telur rebus yang cantik dan licin apabila dikupas kulitnya. Buat yang tak tahu cara betul untuk mengopek telur rebus jangan risau. Di sini akan dikongsikan 5 cara kupas telur rebus dengan mudah yang korang boleh ikut dengan yakin dan tanpa ragu.

Cara Kupas Telur Rebus Dengan Betul & Mudah

1. Sebelum Kupas Telur, Masukkan Dalam Air Sejuk

Sumber Gambar The Spruce Eats

Air berais membantu untuk menyejukkan telur rebus yang panas tadi dengan segera dan menghentikan telur tersebut dari ‘terlebih masak’ akibat haba yang masih terdapat pada telur tersebut. Telur rebus yang ‘terlebih masak’ boleh menyebabkan putih telur melekat pada kulit telur. Air berais tadi juga membantu telur rebus untuk mengecut sedikit akibat proses penyejukkan supaya tidak melekat pada kulitnya dan akan memudahkan kulit telur tersebut untuk dikupas nanti.

Caranya mudah sahaja, bila korang selesai rebus telur, segera pindahkan telur rebus tadi dalam air sejuk. Paling elok sekiranya air yang berais. Pastikan telur tersebut dibiarkan berendam dalam air berais paling kurang selama 5 minit.

 

2. Masukkan Serbuk Baking Soda Dalam Air Untuk Rebus Telur

Sumber Gambar The Kitchn

Cara lain untuk memudahkan korang kupas telur rebus ialah dengan memasukkan serbuk baking soda di dalam air yang korang akan gunakan untuk rebus telur tu. Baking soda ni bersifat alkali. Bila korang masukkan baking soda di dalam air rebusan telur tadi, serbuk baking soda yang larut dalam air tersebut akan meningkat nilai PH putih telur yang korang rebus. Peningkatan nilai PH ini membantu dalam memisahkan putih telur dari selaput pada kulit telur menjadikan telur rebus tersebut mudah untuk dikupas.

Kalau nak lagi berkesan, lepas rebus dengan air larutan serbuk baking soda, masukkan telur tersebut di dalam air berais. Baru lah double the effect orang kata!

 

3. Kupas Telur Gunakan Cara ‘Crack And Roll’

Sumber Gambar The Kitchn

Bila korang nak kupas telur rebus, ada pelbagai cara yang korang boleh guna sebenarnya. Antara cara yang paling berkesan ialah cara ‘crack and roll’. Untuk melihat demonstrasi cara ini korang boleh tengok di video Youtube ini. Secara mudahnya, ‘crack and roll’ ini ialah di mana telur yang korang dah rebus, diketuk sedikit kulitnya supaya merekah.

Kemudian tekan sedikit telur tersebut di atas permukaan rata sambil menggulungnya seperti di dalam gambar. Ini akan menjadikan kulit telur mempunyai retak yang banyak namun masih lekat pada selaputnya, menyebabkan selaput tersebut mudah untuk tanggal. Kemudian korang kupas selaput kulit dan kulit telur tadi akan tanggal sekali dengan mudah.

 

4. Kupas Telur Di Dalam Air Bersuhu Bilik Atau Air Sejuk

Sumber Gambar The Kitchn
Ini lagi satu cara mudah untuk korang kupas telur rebus. Selepas telur direbus, masukkan telur tersebut dalam bekas berisi air dan pastikan telur tersebut betul-betul terendam di dalamnya. Ketuk sedikit telur di dalam air tadi menggunakan tepi atau dasar bekas supaya mempunyai rekahan pada kulitnya, dan kupas kulitnya semasa telur tersebut berada di dalam air. Air yang masuk melalui rekahan tersebut  membantu dalam memisahkan putih telur dari selaput kulit telur rebus tadi dengan lebih mudah.

5. Jangan Gunakan Telur Terlalu Segar Untuk Direbus

Sumber Gambar Unsplash(@foodiesfeed)

Ini mungkin kedengaran pelik tapi ini juga fakta yang betul. Telur yang terlalu segar, seperti telur yang baru dipungut dari ladang ternakan ayam, jika direbus akan susah untuk dikupas kulitnya. Kebiasannya telur di supermarket cukup umur untuk direbus kerana telur di supermarket biasanya sudah berumur 2 minggu ke satu bulan.

Telur terlalu segar ini biasanya kalau korang beli telur secara terus dari ladang atau dari penternak ayam di pasar tani. Kalau korang beli telur segar ini, pastikan tunggu sekurang-kurangnya satu atau dua minggu sebelum direbus jika ingin memudahkan korang kupas kulit telur tersebut nanti.

 

Itu dia 5 cara kupas telur rebus dengan mudah. Nak guna cara biasa korang guna tak salah, tapi kalau korang nak mudahkan diri sendiri untuk kupas telur rebus, cubalah tips di atas. Nak tahu kegunaan lain kulit telur boleh tengok di SINI.

Ikuti Kami

Anda Mungkin Minat

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Back to top button