KewanganCara Mudah

Nak Simpan Duit untuk Bayar Roadtax Kereta? Cuba Je 2 Cara Mudah Ni!

Cara Mudah Simpan Duit Untuk Bayar Roadtax Kereta

Macam mana cara nak simpan duit untuk bayar roadtax? Setiap tahun pun korang mesti kena bayar roadtax atau cukai jalan kenderaan, dan setiap tahun tu juga korang akan garu kepala bila dah tiba masanya nak kena bayar roadtax dan insurans kereta. Duit entah celah mana pula yang nak dicekaunya, nak-nak kalau roadtax mati tengah bulan masa poket tengah kering.

Sebab tu kalau korang nak elakkan situasi di atas daripada terjadi, pastikan dah siap-siap asing duit awal-awal untuk bayar roadtax dan insurans kereta. Korang sendiri pun tahu, setiap tahun memang kena perbaharui roadtax dan insurans kereta. Jadi memang patutlah korang fikir cara macam mana cara nak simpan duit untuk bayar tu.

Cara Mudah Simpan Duit untuk Bayar Roadtax dan Insurans Kereta

Ada dua cara mudah yang korang boleh simpan duit untuk bayar roadtax. Selain tu, cara yang sama ni juga korang boleh gunakan untuk simpan duit kahwin, duit deposit rumah ke, ataupun pinggan mangkuk Corelle yang korang dah lama intai-intai tu! Cara-caranya adalah:

1. Main Duit Kutu

Korang mesti pernah dengar kan main duit kutu? Biasanya mak-mak yang akan lakukan benda ni untuk simpan duit. Main kutu ni senang je. Akan terdapat beberapa orang yang akan sertai dan masing-masing akan serahkan duit dengan jumlah yang sama kepada ketua setiap bulan, dan masing-masing akan ikut giliran untuk dapat duit yang dikumpul tu.

Dengan cara ni, korang akan jadi lagi berdisiplin nak simpan duit setiap bulan sebab ketua akan minta juga duit dekat korang sampailah korang bayar. Cumanya, ada beberapa benda yang korang kena ambil perhatian sebelum nak main kutu ni, antaranya:

  • Jangan benarkan terlalu banyak orang sertai pemainan kutu korang. 5-6 orang adalah bilangan yang baik. Kalau terlalu banyak, bukan je leceh nak kendalikan, tapi giliran pun akan tunggu lama untuk tiba.
  • Jangan letak bayaran bulanan terlalu tinggi. Takut tak mampu bayar pula.
  • Ketua dan orang yang sertai lebih baik dalam kalangan orang yang korang kenali, macam kawan sekerja ke, ataupun keluarga.
  • Sistem giliran dah ditentukan dari awal-awal lagi. Pastikan semua orang dah sedia maklum bila giliran diorang akan tiba. Tak adalah korang bergaduh pula tentang giliran siapa nanti.

Tapi kalau korang tak percaya atau takut nak berurusan dengan manusia, jangan risau! Bank ada sediakan kaedah yang sama macam main kutu, tapi boleh dilakukan secara online je. Baca mengenai caranya dalam poin seterusnya.

2. Simpanan Tanpa Sedar dengan Bantuan Maybank2U

Cara ni akan membuatkan bank menyimpan sebahagian duit daripada akaun korang setiap bulan sebelum memasukkan semula kesemua duit yang berjaya dikumpul ke dalam akaun. Dengan cara ni, secara tak langsung, korang takkan perasan pun yang sebenarnya korang tengah menabung sebab semuanya bank yang uruskan (setakat yang diketahui, Maybank2U ada sediakan servis macam ni. Untuk bank lain nanti kitorang akan kemaskini sekiranya ada).

Nak bagi korang lagi faham, contohnya korang tetapkan simpanan yang diperlukan adalah RM1000. Lepastu, korang tetapkan pula setiap bulan korang nak potong berapa Ringgit. Secara anggarannya, korang nak menyimpan selama setahun, jadi RM1000 bahagi 12 bulan, sebulan korang boleh setkan bank untuk tolak RM84.

Yang bestnya, korang tak nampak pun duit tu dalam akaun mana-mana, jadi tak adalah korang gatal tangan nak keluarkan duit nanti. Lepas ‘tabung’ korang dah cukup RM1000, bank akan masukkan semula duit yang korang kumpul dan masatu korang bolehlah gunakan untuk bayar roadtax dan insurans kereta!

Nak buat ni mudah je, ikuti langkah demi langkah yang disediakan berikut:

  • Lepas dah log in ke dalam Maybank2U (Dalam apps pun lebih kurang sama je proses dia), korang boleh klik ‘Create Goal.

  • Lepastu, bahagian ‘Category’ korang boleh letakkan jenis tabung yang korang nak buat. Korang boleh je pilih mana-mana, cuma lagi memudahkan korang kalau nak buat banyak jenis simpanan macam untuk kahwin, roadtax, untuk bayar downpayment rumah, dan lain-lain.

  • Bahagian ‘Goal Name’ pula korang boleh letakkan nama yang bersesuaian, contohnya Roadtax.
  • Bahagian ‘Commitment’ pula terbahagi kepada dua iaitu Monthly AmountdanDuration. Korang boleh pilih ‘Monthly Amount’ kalau korang nak tetapkan bayaran tetap setiap bulan. Contohnya korang tetapkan bank untuk asingkan RM100 setiap bulan untuk capai goal. Dan korang boleh pilih ‘Duration’ pula kalau korang nak tetapkan berapa lama korang nak menyimpan untuk sampai goal korang, seperti korang tetapkan untuk asingkan RM100 selama 12 bulan.

  • Isi maklumat yang Maybank2U minta. Kitorang syorkan untuk mula potongan setiap awal bulan supaya akaun korang masih ada duit bila masuk gaji.

  • Lepas dah habis isi semua, pastikan korang semak balik, betul ke tak semua maklumat yang dah korang isi. Bila dah betul-betul semak, boleh klik ‘Confirm’ dan secara automatik tabung korang dah ada!

Sebelum apa-apa, pastikan gaji korang masuk bank Maybank atau kalau tak perlu masukkan duit ke Maybank setiap awal bulan la baru bank boleh potong duit secara automatik untuk disimpan. Kalau dah akaun bank korang kosong je memang tak berjaya la cara ni.

Dah tahu cara mudah kan nak simpan duit untuk bayar roadtax? Lepasni korang dah tak perlu pinjam duit atau berhutang dengan orang lain. Yang penting, korang kena ada inisiatif sendiri untuk simpan duit. Ini, kalau esok nak kena bayar, harini baru terfikir memang tak dapatlah den nak tolong. Semoga berjaya! Yang nak cari duit lebih hujung minggu boleh baca panduan ini.

 

Ikuti Kami

Anda Mungkin Minat

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Back to top button