RumahCara Mudah

Nak Hilangkan Bau Busuk Tong Sampah? Ini 4 Tips Yang Mungkin Anda Belum Tahu

Cara Mudah Hilangkan Bau Busuk Tong Sampah

 

Tong sampah atau bakul sampah sudah semestinya benda yang paling berbau di dalam rumah kita. Tapi masuk akal lah bila difikirkan kerana memang berisi dengan sampah. Kadang-kadang lebihan potongan sayur yang semalaman dalam bakul sampah pun cukup meninggalkan bau yang tidak menyenangkan apabila kita buka tong sampah pada waktu pagi, apatah lagi kalau kita buang sisa makanan seperti kepala udang, daging atau ikan yang sudah tidak elok, dan sebagainya.

Kadang-kadang walaupun sampah tersebut sudah dibuang, bau busuk dan tidak menyenangkan masih tidak hilang sedangkan tong sampah sudah kosong. Pasti ramai antara korang yang mengalami masalah ini. Takkan setiap kali buang sampah nak kena cuci bakul sampah kan? Sebulan sekali tak apa juga kalau hari-hari buat jenuh jugak. Ini 4 tips yang korang boleh cuba untuk hilangkan bau busuk dari tong sampah korang.

 

1. Asingkan Sampah Sisa Makanan, Penyumbang Utama Bau Busuk

Sumber Gambar FreePik

Sampah dari sisa makanan seperti daging, ayam, terutamanya ikan dan makanan laut merupakan penyumbang utama tong sampah di rumah korang berbau busuk. Baunya pula akan melekat walaupun sampah tersebut sudah dibuang ke tempat lain. Langkah pertama yang korang boleh praktikkan ialah dengan mengasingkan sampah sisa makanan seperti ini dan terus dibuang ke luar rumah, letak di luar ataupun hantar terus ke pusat pembuangan sampah.

Benda lain yang korang boleh buat dengan sisa makanan seperti ini ialah dengan menjadikannya baja kompos organik. Mungkin agak leceh sikit tapi banyak manfaatnya. Kesimpulannya, untuk elak tong sampah korang dari berbau terlalu busuk, asingkan je lah terus sampah sisa makanan tersebut kerana langkah pencegahan awal sentiasa lebih baik untuk diambil. Susah sangat pun masukkan dalam bekas atapu plastik kecil dan tutup atau ikat rapat.

 

2. Guna Baking Soda Untuk Menyerap Bau Busuk Sampah

Sumber Gambar Joe Lingman

Serbuk baking soda atau serbuk penaik sering digunakan untuk meneutralkan atau menyerap bau hapak/busuk. Terdapat ramai juga orang yang menggunakan baking soda untuk membuang bau hapak dan bau busuk di dalam peti ais. Korang juga boleh guna baking soda untuk tujuan yang sama pada tong sampah di rumah. Setiap rumah mesti ada serbuk penaik ni kan sebab selalu guna untuk buat kek ataupun masak cekodok.

Caranya ialah dengan menuang serbuk baking soda pada bahagian bawah dalam tong sampah, sehingga ada seperti lapisan serbuk baking soda pada bahagian bawah tong sampah tersebut sebelum meletakkan plastik sampah di dalamnya. Korang boleh meletakkan kepercayaan korang pada baking soda bukan sekadar untuk mengurangkan, malah boleh terus menghilangkan bau dalam tong sampah korang.

Namun dua satu perkara yang korang mesti ambil perhatian apabila guna tips ini:

  1. Kalau korang guna tong sampah besi, elakkan menggunakan serbuk baking soda kerana serbuk ini mampu menghakis logam. Kalau plastik pula, tiada masalah untuk menggunakannnya.
  2. Ganti serbuk baking soda dalam tong sampah korang sekurang-kurangnya seminggu sekali.

 

3. Pasir Kucing Pun Boleh Digunakan!

Sumber Gambar Rover

Korang tau tak, selain baking soda, korang pun boleh gunakan pasir kucing untuk menyerap atau menghilangkan bau busuk dalam tong sampah? Pasir kucing ini memang direka atau dicipta untuk tujuan tersebut. Bagi mereka yang memelihara kucing, pasti sudah tahu akan perkara ini.

Caranya sama dengan baking soda tadi iaitu dengan menuang pasir kucing pada bahagian bawah dalam tong sampah, sehingga ada seperti lapisan pasir kucing pada bahagian bawah tong atau bakul sampah tersebut sebelum meletakkan plastik sampah di dalamnya. Kelebihan menggunakan pasir kucing berbanding baking soda ialah pasir kucing tidak bersifat menghakis pada logam, bermaksud sesuai untuk digunakan walaupun tong sampah korang diperbuat daripada besi. Namun sudah tentu harganya sedikit lebih mahal berbanding baking soda.

 

4. Cuci Tong Dengan Pencuci Pinggan Dan Pembasmi Kuman.

Sumber Gambar TheKitchn

Punca tong sampah berbau ialah hasil tindakbalas bakteria dari sampah terutamanya sisa makanan yang kita buang ke dalam nya. Korang mesti pernah mengalami tong sampah masih berbau walaupun sampah di dalamnya sudah dibuang. Ini kerana masih terdapat bakteria yang menyebabkan bau busuk tersebut pada tong korang. Salah satu cara untuk menghilangkan bau busuk tersebut ialah dengan mencuci tong sampah korang dengan cara yang betul, menggunakan cecair pencuci pinggan dan pembasmi kuman iaitu:

  1. Bilas tong korang dengan air bersih, pastikan tiada sebarang sisa sampah yang melekat
  2. Letakkan cecair pencuci pinggan secukupnya pada tong sampah, terutamanya pada bahagian dalam tong. Pencuci pinggan elok digunakan kerana kebiasannya pencuci pinggan diformulasikan untuk membuang bau sisa makanan disebabkan bakteria pada pinggan.
  3. Semburkan air pada tong sampah, dan berus tong sampah dengan berus dan air yang bercampur cecair pencuci pinggan pada tong sampah tersebut terutamanya bahagian dalamnya.
  4. Bilas tong sampah dengan air, paling baik jika disembur dengan air bertekanan tinggi sehingga bersih.
  5. Jemur tong sampah sehingga kering dan sembur dengan pembasmi kuman. Menjemur tong sampah dan sembur dengan pembasmi kuman ialah langkah penting bagi memastikan tiada lagi bakteria yang akan menyebabkan bau busuk dalam tong sampah tersebut.

tong sampah

Sumber Gambar Wiggly Wisdom

Cukup 4 tips untuk korang cuba menghilangkan bau busuk tong sampah rumah. Walaupun tong sampah sinonim dengan bau busuk, tak bermakna korang perlu biarkan diri untuk terus menghidu bau yang tidak menyenangkan. Ada je cara untuk hilangkannya, tinggal rajin buat ataupun tak je. Nak tahu kegunaan lain baking soda selain boleh hilangkan bau busuk tong sampah? Boleh baca lanjut di SINI

Ikuti Kami

Anda Mungkin Minat

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Back to top button