MakananResepi

Cara Simpan Limau Mandarin Tahan Lama & Kegunaan Limau Mandarin Selain Makan Begitu Saja

Cara Menyimpan Limau Mandarin & Tips Guna Limau Mandarin Tak Habis Makan

Tahun Baharu Cina sinonim dengan hadirnya limau mandarin untuk dimakan, tetapi ramai tak tahu kegunaan limau mandarin selain untuk makan. Ya lah kadang-kadang tu stok limau mandarin banyak sampai berkotak-kotak tempat kerja bagi, kawan-kawan bagi lama-lama tak habis dekat rumah tu. Bukan apa nak makan macam tu je pun dah jemu dan buah tu pula bukannya tahan lama sangat.

Jadi untuk mengelakkan limau mandarin ni cepat busuk atau tak tahan lama juga perlu simpan dengan betul. Kalau tak nanti kejap je dah tak elok, rugi pula rasa sebab makanan kan. Jangan risau sebenarnya ada cara untuk simpan buah ni dengan selamat dan tahan lama. Untuk buah yang tak habis dimakan tu pun sebenarnya boleh buat macam-macam benda lain lagi.

Cara Simpan Limau Mandarin Agar Tahan Lama

Limau mandarin ni selalunya hadir dalam kotak atau pun plastik kan. Sebenarnya ada beberapa cara untuk menyimpan limau ini dengan elok bergantung kepada tahap kesegarannya. Antaranya adalah:

1. Di Tempat Gelap, Suhu Nyaman

Untuk limau mandarin yang tidak lagi dikupas kulitnya, jika diletakkan di tempat yang mempunyai suhu bilik yang nyaman dan tempat gelap akan bertahan lebih kurang seminggu. Manakala bagi limau mandarin yang disimpan dalam peti sejuk pula akan bertahan lebih kurang dua minggu hingga 1 bulan. Sebaliknya limau mandarin tidak tahan lama jika diletakkan di bawah pancaran matahari ataupun di tempat yang panas.

2. Dalam Beg Kertas 

Untuk lebih selamat, masukkan limau di dalam beg kertas dan letakkan dalam peti sejuk. Periksa juga kesegaran buah kadang-kadang untuk lihat sebarang tanda kerosakan. Cuba tutup beg kertas serapat boleh untuk mengelakkan terlalu banyak udara terkena buah tersebut. Namun kulit limau akan mengering juga. Jika ia berlaku, jangan risau masih boleh dimakan selagi tiada kulat dan tanda buah telah busuk.

3. Dalam Bekas Kedap Udara

Jika ada limau mandarin yang telah dibuka tetapi masih ada kulit, boleh lah menyimpannya dalam bekas kedap udara. gunakan bekas plastik ataupun kaca yang selalu diguna sebagai bekas menyimpan makanan. Limau mandarin sebegini akan bertahan selama 1 minggu atau sehingga 1 bulan selagi mana disimpan dalam tempat sejuk atau gelap seperti di peti sejuk.

4. Dalam Peti Sejuk

Sekiranya limau mandarin telah dikupas dan ditanggalkan satu persatu, boleh lah menyimpannya di dalam peti sejuk beku dengan memasukkannya di dalam beg plastik dan disusun secara satu lapisan. Ini bagi mengelakkan ianya beku dalam satu kelompok buah yang besar. Seterusnya boleh gunakan cebisan yang beku ini untuk membuat jus buah, ataupun snek sejuk yang kaya dengan Vitamin C. Limau mandarin yang dibekukan akan tahan lebih lama cumanya rasa akan berubah mengikut masa.

Sumber Gambar Animhosnan

Tips Kegunaan Limau Mandarin Kalau Tak Habis Makan

Jus Buah

Ini mungkin kebiasaan bagi kita semua jika buah dekat rumah tu tak habis ataupun tak sedap untuk dimakan. Cara paling mudah adalah jadikannya sebagai jus. Mudah sahaja kupas dulu kulit limau mandarin dan masukkan ke dalam mesin pengisar atau mesin pembuat jus. Dengan buat macam ini kita boleh ubah rasa macam kalau masam sangat boleh letakkan sedikit gula

Jem Marmalade

Sumber Gambar Confessionsofanover

Ini pula kalau ada banyak masa dan nak simpan makanan ni untuk jangka masa lama. Boleh buat jem marmalade atau jem oren, mesti lebih sedap sebab buat sendiri atau homemade.

Caranya mudah je, rendamkan limau mandarin dalam air panas, asingkan isi dengan kulit, blend isinya sehingga hancur dan tapiskan. Kulit limau tu pula perlu dipotong nipis dan dikisar halus. Masakkan air limau bersama kulit sehingga pekat, kemudian masukkan gula dan tutup api. Biarkan jem sejuk sebelum simpannya di dalam bekas atau balang. Boleh lah dihilangkan bersama roti ataupun menjadi inti tat mahupun kek.

Kek

Kalau suka makan pemanis mulut tu boleh juga buat kek. tak susah pun resepi nya. Tengok ni:

Bahan-bahan

  • 1 bji buah limau
  • 1 cawan minyak
  • 2 cawan gula halus
  • 3 biji telur
  • 2 cawan tepung gandum*
  • 1 sudu besar baking powder

Cara-cara

  1. Cuci buah limau, potongkan dan buang biji serta urat putih di tengah. Potongkan buah limau dalam saiz kecil bersama kulitnya sekali.
  2. Masukkan ke dalam pengisar bersama minyak, gula dan telur lalu kisar sehingga halus
  3. Tuangkan bahan yang dikisar ke dalam mangkuk dan masukkan campuran tepung sedikit demi sedikit sambil dikacau sebati.
  4. Tuangkan adunan ke dalam loyang yang beralas dan gris.
  5. Bakarkan pada suhu 170 darjah celcius selama 40 minit sehingga 1 jam atau sehingga masak.

Sumber: Sue-hasue

Pewangi

Sumber Gambar RD

Kulit limau juga sekiranya tidak ingin dipakai, jangan lah dibuang, ianya sebenarnya boleh digunakan untuk menjadi pewangi semulajadi. Masukkan sahaja kulit limau ke dalam uncang atau kain kasa dan gantungkannya di kawasan yang ingin berbau harum seperti di ruang tamu atau di almari pakaian. Wangian semulajadi limau akan berbau harum di tempat tersebut

Skrub

Kalau tak larat nak makan tu boleh je jadikan limau mandarin sebagai bahan semulajadi yang berguna untuk kita antaranya menjadi skrub badan. Kulit limau tersebut hendaklah dijemur sehingga kering (akan mengambil masa berhari-hari juga). Setelah kering, kisarkan sehingga halus dan masukkan ke dalam bekas bertutup. Ambil satu sudu setiap kali ingin gunakannya dan campurkan dengan madu serta sedikit air atau susu.

Lilin

Sumber Gambar Facebook

Ini yang paling unik sekali kerana boleh juga buat lilin menggunakan limau ini. Selain menerangkan sesebuah kawasan ia juga akan mengeluarkan haruman yang wangi. Caranya adalah:

  • Belah limau kepada dua bahagian dan keluarkan isinya.
  • Pastikan urat putih di bahagian tengah tidak dicabut untuk dijadikan sumbu
  • Isikan minyak ke dalam kulit limau yang telah dibuang isinya dan pastikan sumbu (urat limau) tidak tenggelam
  • Nyalakan api di sumbu tersebut.

Mudah sahaja kan? Lepasni boleh lah simpan limau mandarin dengan cara yang betul agar tahan lama. Lepastu untuk yang banyak lagi limau tu jangan dibuang, boleh guna untuk pelbagai lagi perkara selain dimakan begitu sahaja. Betul ke kalau makan limau mandarin ni cepat batuk dan mudah sakit tekak? Baca lanjut di SINI

Ikuti Kami

Anda Mungkin Minat

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Back to top button