MakananCara Mudah

Tips Elak Biskut Raya Lemau, Antaranya Simpan Sekali dengan Seuncang Garam!

Cara Mudah Elak Biskut Raya Menjadi Cepat Lemau Dan Masuk Angin

Selain daripada lemang dan ketupat, hari raya aidilfitri rasa sangat tak lengkap tanpa aneka biskut raya yang mempunyai bermacam-macam warna dan rasa tapi paling tak best kalau biskut raya lemau. Walaupun mungkin tahun ni kita semua beraya di dalam rumah saja, tapi ia masih tak mematahkan semangat untuk membakar biskut raya untuk dinikmati di pagi aidilfitri. 

Sumber Gambar Murai

Cuma, ada satu saja perkara yang perlu diambil kira dalam menyimpan biskut raya ni iaitu memikirkan cara untuk mengelakkan biskut raya lemau. Setiap kali kita menggigit biskut, kita akan harapkan tekstur yang rangup serta rapuh, dan bukannya lembik dan lemau. 

Tips Mengelakkan Biskut Raya Lemau Atau Masuk Angin

Sebenarnya ada petua untuk mengelakkan biskut raya  lemau, cuma ada beberapa perkara yang korang kena lakukan terlebih dulu, antaranya:

Biarkan Biskut Sejuk Terlebih Dulu

Sumber Gambar Blogspot

Biskut raya memang sedap kalau dimakan panas-panas, tetapi jangan pula korang terus masukkan biskut yang baru keluar daripada ketuhar ke dalam balang kuih. Haba daripada biskut tersebut akan berkumpul di dalam balang, menyebabkan terciptanya titisan-titisan air pada balang akibat kondensasi. Ini akan menyebabkan biskut menjadi lembab dan lemau.

Sebaliknya, sejukkan terlebih dahulu biskut tersebut sehingga suhu bilik sebelum memasukkan ia ke dalam balang kuih.

Simpan di dalam Bekas Kedap Udara 

Sumber Gambar Abang Brian

Selalunya biskut yang terdedah akan masuk angin lalu menyebabkannya lemau. Oleh itu, korang perlu simpan biskut raya di dalam bekas berpenutup yang kedap udara. Pastikan balang tersebut telah dilap kering dan tak ada titisan-titisan air yang terperangkap bersama biskut. 

Elakkan juga daripada mencampurkan beberapa jenis biskut di dalam bekas yang sama kerana lain kuih, lain bahan yang digunakan untuk membuatnya. Jadi cara penyimpanannya juga berbeza.

Lapikkan dengan Kertas Minyak

Sumber Gambar Says

Jika adunan atau cara memasak biskut raya tersebut melibatkan penggunaan mentega, marjerin atau apa-apa bahan yang berminyak, pastikan apabila nak simpan biskut raya di dalam balang, korang lapikkan dengan kertas minyak untuk setiap lapisan. Ini adalah untuk memastikan biskut sentiasa kering dan tak lembap dengan lebihan minyak.

Letakkan Seuncang Garam

Isikan satu uncang kecil dengan dua sudu garam dan ikatkannya, sebelum dimasukkan ke dalam balang kuih raya. Garam tersebut berfungsi untuk menyerap segala lembapan yang terdapat di dalam bekas tersebut. Jangan risau, biskut korang takkan jadi masin! 

Taburkan Gula di dalam Bekas

Satu cara lain untuk mengelakkan biskut menjadi lemau adalah dengan menaburkan sesudu kecil gula ke dalam balang kuih raya. Cara ni juga mampu mengelakkan biskut berbau hapak atau tengik. Kalau takut bersemut, boleh juga masukkan gula di dalam uncang kecil.

Jemur Tepung di bawah Matahari

Sumber Gambar Mingguan Wanita

Antara petua orang dulu-dulu untuk mengekalkan kerangupan biskut adalah dengan menjemur tepung di bawah matahari terlebih dahulu. Cara ni adalah untuk memastikan bahan ini menjadi betul-betul kering dan tak ada lebihan lembapan. Kalau cuaca mendung atau hujan, korang boleh sangai tepung di atas kuali atau memasukkannya ke dalam ketuhar yang panas untuk beberapa minit.

Bakar Semula Biskut

Kalau dah terlambat dan semua biskut korang sudah menjadi lemau, bakarkan semula biskut yang lemau tadi di dalam ketuhar semula dengan suhu 180 darjah selama tak lebih daripada 5 minit. Jangan bakar lama sangat pula sebab biskut boleh jadi hangus! Nanti susah pula dah kena buat baru atau beli baru sebab tak ada kuih nak jamu untuk tetamu.

Kalau ikuti tips elak biskut raya lemau di atas, korang tak perlu risau lagi dengan masalah biskut raya korang tu masuk angin! Selain daripada biskut, korang juga perlu tahu cara menyimpan lemang agar tahan lama dan tak basi. Bukan apa sebab ramai je yang beli lemang lepastu esok bila nak makan tengok dah tak elok padahal baru beli semalam kan. Jadi, untuk elakkan itu berlaku, korang boleh ikuti cara-cara penyimpanannya di SINI.

Ikuti Kami

Anda Mungkin Minat

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Back to top button