RumahTips Jimat

Tips Jimat Air yang Semua Orang WAJIB Tahu Dan Buat!

Tips Jimat Penggunaan Air Di Rumah


Memang tak dapat dinafikan lagi, air adalah keperluan yang penting untuk setiap manusia. Orang lagi boleh hidup tanpa elektrik daripada tak ada air, betul tak? Secara purata, seorang rakyat Malaysia gunakan sebanyak 211 liter air sehari. Kalau sebulan, hampir 6400 liter air yang korang guna. Itu baru seorang. Kalau satu rumah tu ada dua orang? Tiga? Atau lebih? Banyak juga kan?

Memanglah selalu bila dapat bil air tu, rasa tak banyak nak kena bayar. Tapi kalau setiap bulan korang berjaya kurangkan bil air dalam RM10, boleh juga simpan tabung atau dermakan, lagi bermanfaat kan daripada membazir macam tu je. Jadi untuk elakkan membazir, bolehlah amlkan tips-tips jimat dekat bawah ni.

7 Tips Jimat Air yang Semua Orang WAJIB Tahu dan Buat!

Jangan risau. Kalau korang ikuti cara-cara jimat air dekat bawah ni, kan senang sikit nak bayar bil bila tengok tak mahal. Tak adalah rasa seksa nak bayar tu.

1. Penuhkan Mesin Dulu, Baru Basuh

Sumber Gambar Laundry-Alternative

Walau rajin macam mana sekalipun korang, cuba elakkan daripada kerap membasuh baju dengan mesin basuh yang tak diisi penuh atau baju sikit macam gambar atas tu. Semakin kerap korang basuh baju, semakin banyak air yang digunakan, padahal boleh je jimat air dengan cara menggunakan mesin basuh tu dengan muatan yang penuh. Dahlah dapat jimat air, elektrik pun boleh jimat jugak, sebab mesin basuh ni guna banyak elektrik juga.

Tapi ada orang suka basuh baju tu terus sebab taknak berbau, tips dia adalah gantung dulu baju tersebut sebelum letak di bakul baju kotor. Barulah baju tu tak terkempam dan baunya tak semerbak harum.

2. Sediakan Baldi Sebelum Hujan, Haa Bukan Payung Je tau! 

Korang mungkin mengeluh bila nampak hujan turun dengan lebatnya, lagi-lagi waktu tu baru je habis basuh baju atau basuh kereta. Tapi, waktu hujan tengah turun ni lah masa yang sesuai untuk korang ambil baldi banyak-banyak dan letakkan di laman rumah (atau balkoni untuk rumah tinggi).

Air yang terkumpul dalam baldi tu, korang bolehlah buat siram pokok-pokok yang ada ke, atau nak buat basuh kereta pun boleh. Kan dah jimat tu! Ni pon sesuai untuk rumah yang selalu terputus bekalan air sebab gangguan pencemaran dan sebagainya macam kat Selangor tu.

3. Mandi Pun Boleh Jimat Air

Kalau bilik air dilengkapi dengan alat pancuran atau shower, korang boleh cuba cara-cara ni untuk kurangkan pembaziran air masa mandi:

  • Kurangkan masa mandi dan gunakan ‘kepala’ shower yang bertekanan rendah. Ini kerana ia akan mengurangkan penggunaan air berbanding yang bertekanan tinggi.

Sumber Gambar Perfectshowerhead

  • Letakkan baldi dekat dengan tempat korang mandi. Nanti air berlebihan akan terkumpul dalam baldi tu dan bolehlah korang gunakan air tu untuk kegunaan lain pula seperti siram pokok. Jangan buat minum pula!
  • Jangan lupa tutup air masa menyabun badan atau mencuci rambut. Ni yang selalu korang lupa nak buat atau malas nak buat kan? Membazir tu amalan syaitan tau. 

4. Air Mengalir, Duit Pun Mengalir

Kalau sebelum ni korang jenis biarkan paip terbuka je masa berus gigi atau mencukur, baik tabiat tu dihentikan cepat-cepat. Bila korang biarkan air terus mengalir masa gosok gigi, percaya atau tak, sebanyak 5 liter air yang dah dibazirkan! Nak lagi elok, korang gunakan air yang dah ditadah dalam cawan.

Sumber Gambar Redandblack

5. Masukkan Botol dalam Tangki Tandas

Setiap kali korang selesai buang air, sebanyak 6 liter air telah digunakan dalam setiap flush. Itu baru satu sesi. Kalau haritu korang termakan benda yang pedas dan terpaksa ulang-alik ke tandas, habis berapa liter air pulak dah dihabiskan? 

Satu teknik yang korang boleh buat, masukkan pasir atau batu kecil sampai separuh botol, dan isikan selebihnya dengan air. Lepas tu korang masukkan dalam tangki tandas. Dengan cara ni, air yang terisi di dalam tangki tersebut akan berkurangan. Tapi kalau tandas korang dah maju yang ada dua jenis tekan untuk flush tu, bolehlah guna yang kecil tu untuk buang air kecil dan yang besar untuk buang air besar.

Sumber Gambar Helpfulcolin

6. Cepat-Cepat Baiki Paip yang Rosak!

Agak-agak nampak air masih mengalir walaupun dah tutup rapat atau kadang-kadang tengah nak tidur dengar bunyi air menitik-nitik, cepat-cepat baiki atau tukar dengan kepala paip baru. Kalau korang biarkan je, boleh jadi air yang dibiarkan mengalir tu (walaupun perlahan) boleh mencecah sehingga 15 liter selagi tak dibetulkan! 

7. Kurangkan Air Semasa Cuci Pinggan

Cuci pinggan ni satu aktiviti yang memang korang akan lakukan setiap hari. Penggunaan air masa cuci pinggan ni korang boleh kurangkan dengan cara sediakan dua besen di sinki: satu besen untuk buang kotoran, satu lagi besen boleh guna untuk bilas. Ala, macam orang yang selalu buat masa kenduri tu. Ataupun kalau dapur korang ada dua sinki sebelah menyebelah tu lagi senang. 


Sumber Gambar Lamandihati

Tapi kalau sinki kecil dan tak muat nak letak besen, korang boleh guna cara ni pula: 

  • Buka air paip masa nak membasuh je. 
  • Buang sisa makanan dulu dan buka paip sikit untuk basahkan pinggan. 
  • Gunakan sabun untuk bersihkan pinggan. 
  • Buka semula paip untuk bilas saki-baki sabun yang ada.

Bila korang dah berjaya amalkan tips-tips dekat atas ni, mesti bil air rumah makin murah. Ingat, walaupun langkah yang korang ambil tu nampak macam kecil dan remeh, ia boleh menjuruskan kepada penjimatan air yang menguntungkan. Jadi, jom mula berjimat! Dah jimat air mesti nak jimat elektrik juga kan? Lagi-lagi musim COVID19 ni di mana kita digalakkan duduk rumah je. Ni panduan untuk jimat elektrik pula. 

Ikuti Kami

Anda Mungkin Minat

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Back to top button