Uncategorized

Minta Kerja Kerajaan Tak Dapat? Ikut 9 Tips Ini Untuk Lebih Mudah Lulus Temuduga dan Ujian SPA

Tips Lulus Temuduga Dan Ujian SPA Mohon Kerja Kerajaan

Memang dah jadi impian hampir setiap orang untuk mendapat pekerjaan di dalam sektor kerajaan. Ya lah, selain dapat nikmati skim pencen, ada banyak lagi kelebihan-kelebihan lain yang pekerja kerajaan dapat gunakan. Buktinya, setiap kali permohonan pekerjaan dibuka, jutaan orang yang bakal memohon dan daripada jutaan permohonan.

Tapi daripada jutaan orang yang memohon, hanya beberapa orang je yang layak dan akhirnya mendapat jawatan yang dipohon, setelah melalui beberapa peringkat. Nak dapat kerja kerajaan melalui SPA sememangnya bukan satu benda yang mudah, tapi kalau korang tahu tips dan trik yang perlu dilakukan, mungkin boleh berjaya mendapat jawatan yang dimohon?

Baca Juga : Cara Mohon Kerja Kosong Kerajaan SPA9 

Tips dan Trik untuk Lulus Setiap Peringkat Ujian dan Temuduga SPA

Sumber Gambar USM

Setiap jawatan mempunyai peringkat atau tahap-tahap perlu lulus yang berbeza, tapi secara amnya, proses permohonan ke ujian atas talian, hinggalah ke temuduga adalah hampir sama. Dekat sini, kitorang nak kongsikan tips dan trik daripada Amirul Aliif yang telah berjaya mendapat jawatan Pegawai Penerangan Kementerian Komunikasi dan Media S41 melalui sistem SPA, yang mungkin boleh digunakan untuk permohonan SPA yang akan datang:

Melengkapkan Maklumat dan Permohonan di SPA9

Setiap permohonan penjawatan dalam sektor kerajaan perlulah dilakukan di laman web SPA9, barulah ia boleh diproses untuk ke peringkat yang seterusnya. Pastikan setiap maklumat yang diminta, korang isi dengan tepat dan lengkap, terutamanya di bahagian e-mel dan nombor kad pengenalan. 

Kalau sistem tersebut memerlukan korang untuk memuat naik apa-apa dokumen atau sijil, pastikan scan dokumen atau sijil yang asal dan bukannya yang telah difotokopi, melainkan kalau ia bersyarat seperti perlu disahkan, maka ia perlulah dilakukan terlebih dulu. Setiap dokumen dan sijil perlu discan dengan jelas. Kalau dekat rumah tak ada scanner, korang boleh scan dokumen dengan telefon je! Cara-caranya korang boleh tengok di SINI.

Pilih Jawatan yang Bersesuaian dengan Kelayakan Akademik

Jawatan yang korang pilih, mestilah bersesuaian dengan kelayakan akademik. Contohnya, kalau korang pemegang Sarjana Ijazah Muda, digalakkan untuk memohon jawatan dengan Gred 41. Kalau pemohon tu mempunyai kelayakan akademik yang lebih rendah daripada gred yang dimohon, selalunya awal-awal lagi sistem akan tapis.

Satu lagi, pilih jawatan yang berkaitan dengan bidang akademik supaya lebih senang dapat dan nanti bila dah dapat jawatan tersebut, nak naik gaji pun akan jadi lebih cepat.

Sediakan Diri untuk Peperiksaan Online

Tahap pertama yang perlu dilepasi selalunya adalah peperiksaan online SPA. Buat persediaan mental terlebih dulu. Kalau ada masa, buat ulang kaji berkaitan dengan jenis soalan yang bakal korang jawab seperti Matematik, Pengetahuan Am, dan Bahasa Inggeris. Kalau korang lemah dalam sesetengah subjek, boleh minta tolong kawan untuk jawab bersama, tapi janganlah bergantung sepenuhnya pada diorang juga.

Selain tu, korang boleh juga sertai group-group Telegram atau WhatsApp yang dibuat oleh calon-calon lain. Selalunya pasti akan ada group-group begini supaya senang untuk berbincang semasa peperiksaan online nanti dan akan ada juga orang yang akan kongsikan peperiksaan dari tahun-tahun sebelumnya yang boleh digunakan untuk mengulang kaji.

Senarai Semak Temuduga SPA

Bila dah lulus peperiksaan online, pihak SPA akan memuat naik satu senarai semak temuduga yang meminta korang untuk memuat naik beberapa dokumen yang diperlukan. Nak lebih senang kerja, cetak satu salinan senarai semak untuk kegunaan korang semasa menyediakan dokumen-dokumen yang diperlukan.

Senarai semak ni PENTING sebab kalau korang muat naik dokumen yang salah atau mengelirukan, permohonan boleh dibatalkan serta-merta.

Resume yang Lengkap dan Kemas

Sumber Gambar Hello Kerja

Sediakan resume tak lebih daripada dua muka surat dan pastikan setiap maklumat di dalamnya lengkap dan disusun dengan kemas. Highlightkan sijil-sijil atau pencapaian yang berkaitan dengan jawatan yang dimohon supaya dapat menangkap perhatian penemuduga.

Adab dan Adat Bercakap semasa Temuduga

Cuba untuk berani bertanya pada pegawai yang bertugas di kaunter, nama dan pangkat panel penemuduga, sebelum masuk ke dalam bilik temuduga. Selalunya akan ada 2 orang panel, seorang pegawai SPA dan seorang lagi adalah pengarah ataupun bekas pengarah kementerian yang korang mohon.

Contoh salutasi ringkas adalah:

“Assalamualaikum wbt & Salam Malaysiaku Prihatin saya ucapkan kepada Tan Sri Dato’ Haji Othman B Mustafa (Jawatan). Seterusnya buat Dato’ Mantan Ketua Pengarah Jabatan Penerangan, Dato’ (Nama)…”

Mahiri Teknik Menjawab Soalan

Sumber Gambar SPA

Kalau hadiri temuduga untuk Gred 41, korang kena bersedia untuk menjawab soalan-soalan yang berkaitan dengan kementerian tersebut. Ambil masa untuk mengkaji program dan sumbangan yang telah dilakukan kementerian tersebut dalam mendepani isu-isu semasa. Siap sedia juga untuk mendapat tugasan pengucapan awam mengenai isu semasa. Jawapan dan ucapan yang korang berikan tu mestilah dilontarkan dengan yakin dan tak kedengaran poyo atau sombong. Jangan lupa untuk senyum juga!

Antara soalan yang diterima oleh saudara Aliif semasa temuduga adalah:

  • ‘Sebagai seorang ketua untuk program ‘Fahami & Ketahui Pakej Rangsangan Ekonomi yang di umumkan oleh PM Malaysia, berikan saya perancangan kamu sebelum, semasa & selepas program.’ 
  • ‘Sebagai seorang ketua apa yang anda perlu lakukan sekiranya anak buah anda tidak mahu menuruti arahan daripada anda.’
  • ‘Bagaimana anda hendak memberi arahan kepada seseorang yang lebih tua daripada umur anda.’

Jawab Soalan dengan Jujur dan Jangan Memandai-Mandai

Jika panel menanyakan soalan, jawab dengan jujur dan jangan memandai-mandai hanya kerana mahu membuat para panel berasa kagum. Nanti jika diorang dapat tahu yang korang menipu, dah tinggalkan tanggapan yang buruk pula.

Keberkatan Juga Penting

Sumber Gambar Kashoorga

Jangan ambil rendah soal keberkatan. Sebelum nak pergi temuduga, pastikan minta restu dan doa daripada ibu bapa. Minta mereka doakan agar proses temuduga korang berjalan dengan lancar. 

Harapnya, bila dah tahu tentang tips dan trik di atas ni, korang akan jadi lebih bersedia untuk memohon jawatan kerajaan melalui SPA. jangan lupa juga untuk sentiasa berfikiran positif dan tenangkan diri supaya taklah gelabah semasa temuduga atau peperiksaan nanti! Ketahui apa yang patut dan tidak patut dibuat dalam temuduga kerja di SINI.

 

Ikuti Kami

Anda Mungkin Minat

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Back to top button