MakananCara Mudah

Macam Ni Rupanya Cara Simpan Bahan Dapur Tahan Lebih Lama. Nombor 5 Tu Tak Ramai Orang Tahu!

Tips Simpan Bahan Dapur Agar Tahan Lebih Lama

Betul ke ada cara simpan bahan dapur tahan lebih lama? Setiap kali pergi beli bahan dapur, selalunya kita mesti target nak beli stok untuk sebulan terus. Ya lah, biasanya kita malas dah nak keluar rumah banyak kali dan dalam masa yang sama boleh jimat duit minyak nak ke pasar raya.

Tapi timbul pula satu masalah lain bila kita beli stok bahan dapur banyak terus: ia akan cepat rosak. Benda ni terjadi sebab cara kita menyimpan bahan dapur selama ni salah. Kalau selama ni setiap kali lepas beli bahan dapur tu kita main sumbat je dalam peti sejuk, dan mengharapkan peti sejuk tu untuk ‘menjaga’nya, memang takkan tahan lama sebab tak semua bahan dapur sesuai untuk disimpan di dalam peti sejuk dan kelembapan serta kesejukannya akan merosakkan sesetengah bahan dapur.

9 Cara Simpan Bahan Dapur Tahan Lebih Lama Ynag Masih Ramai Tak Tahu

Untuk memastikan bahan dapur yang dibeli tak rosak sebelum sempat digunakan, dan untuk mengelakkan pembaziran juga, kitorang kongsikan beberapa tips mudah untuk menyimpan bahan dapur supaya tahan lebih lama yang korang boleh amalkan di rumah!

Cili Hidup

Sumber Gambar Oh Bulan

Tak kiralah sama ada cili hijau, merah ataupun cili api, cara simpanannya sama je, iaitu:

  • Buang semua tangkai cili. Bilaskannya dengan air bersih dan kemudian lap sampai kering.
  • Di dalam sebuah bekas, korang lapikkan dengan tisu dapur.
  • Cili yang dah dilap kering tadi boleh dimasukkan ke dalam bekas. 
  • Letakkan sekali beberapa biji bawang putih yang dikupas kulit. Bawang putih ni berfungsi untuk menyerap lebihan lembapan yang membuatkan cili kita menjadi lembik dan rosak.

Halia, Lengkuas, dan Kunyit Hidup

Sumber Gambar Sirap Limau

Cara untuk menyimpan ketiga-tiga bahan ni, ada dua iaitu cara simpanan belum dikupas dan yang dah dikupas. Untuk cara simpanan halia, lengkuas, dan kunyit hidup yang belum dikupas:

  • Isikan halia, lengkuas, dan kunyit hidup ke dalam balang yang berisi air. Ia tak perlu dibasuh terlebih dulu. Masukkan terus je.
  • Pastikan bekas tu berpenutup.
  • Air perlu ditukar setiap 3 hari untuk mengelakkannya daripada berlendir.

Bagi cara penyimpanan halia, lengkuas, dan kunyit hidup yang dah dikupas pula mudah je. Cuma masukkan ke dalam bekas kedap udara dan simpan di bahagian freezer. Cara-cara macam ni boleh membuatkan bahan-bahan ni bertahan hingga 2 bulan!

Bawang

Sumber Gambar Rasa 

Nak simpan bawang ni senang je, cuma masukkan ke dalam raga atau bekas yang berongga dan letakkan di tempat yang kering dan ada laluan udara. Pastikan ia tak disimpan dekat dengan sayuran lain, terutamanya kentang, sebab bawang boleh cepat rosak kalau bersentuhan dengan sayur lain.

Tapi selalunya, kalau nak memasak ni, kita lagi suka kerja yang mudah. Kalau boleh bawang tu dah siap dikupas awal-awal dah. Cara nak simpan bawang yang dah dikupas pula:

  • Lepas dah kupas bawang tu, jangan basuh sebab lembapan ni lah yang akan buat ia cepat rosak. 
  • Jadi terus masukkan ke dalam bekas berpenutup dan simpankan di dalam peti sejuk. 
  • Cara ni juga boleh digunakan untuk menyimpan bawang kisar.

Sayuran Hijau

Sumber Gambar Sirap Limau

Sayur hijau ni kalau boleh jangan beli banyak terus. Beli 2-3 jenis je untuk buat masak lauk 2-3 hari sebab sayur hijau ni lah paling susah nak jaga dan senang layu. Tapi kalau nak kekalkan kesegarannya, lepas dah beli sayur tu jangan terus basuh. Balut dengan tisu dapur dan masukkan ke dalam beg ziplock, sebelum disimpan di dalam peti sejuk.

Daun Bawang, Daun Sup, Daun Ketumbar

Daun-daun ni selalu kalau kita simpan dalam peti sejuk mesti akan kuning dan cepat layu. Ada dua cara yang boleh digunakan untuk menyimpan daun-daun ni, iaitu:

Sumber Gambar Blog

  • Masukkan daun-daun ni ke dalam botol yang berisi sedikit air. Kita nak rendamkan akarnya je dan masukkan ke dalam peti sejuk.

Sumber Gambar Sirap Limau

  • Hiris kecil-kecil, kemudian masukkan ke dalam ice tray yang berisi air sebelum disimpan di bahagian freezer. Cara ni lagi mudah dan tahan lama sebab tak makan ruang dan bila nak guna nanti cuma masukkan je beberapa ketul yang korang nak.

Tauge

Sumber Gambar Sirap Limau

Tauge, kalau tak disimpan dengan elok, memang akan cepat coklat dan nampak layu. Untuk memastikannya tahan lama: 

  • Rendamkan tauge di dalam bekas berisi air. Perahkan jus lemon dan letakkan juga beberapa hirisan lemon.
  • Tutup bekas dan simpan dalam peti sejuk.
  • Kalau tak ada lemon, boleh diganti dengan asam keping.

Bila dah buat cara ni, tauge akan masih kekal rangup walaupun dah seminggu disimpan!

Santan atau Kelapa Parut

Sumber Gambar Sirap Limau

Cara nak simpan santan senang je: taburkan secubit garam kasar ke dalam santan dan gaulkannya rata sebelum disimpan di bahagian freezer.

Cara nak simpan kelapa parut pula lebih comel:

  • Gumpalkan kelapa parut tu sampai jadi bentuk bebola. Kalau ia kering sangat, boleh tambahkan sedikit air.
  • Masukkan ke dalam bekas bertutup dan disimpan di dalam freezer. Boleh tahan sampai 2-3 bulan!
  • Nanti bila dah tiba masa nak gunakannya, cuma ambil je beberapa ketul bebola mengikut kesesuaian resipi.

Cili Kisar

Sumber Gambar Sirap Limau

Nak pastikan cili kisar tahan lama, cara nak buat cili kisar tu mestilah betul dulu.

  • Gunting dan basuh cili kering bersih-bersih. Buang biji cili sebanyak yang boleh.
  • Kemudian, korang rebuskan cili tersebut sampailah mendidih. Lagi lama korang didihkan cili tu, lagi lama ia boleh disimpan. 
  • Masa nak kisar cili tu, jangan tambah air untuk kisar. Sebaliknya, gunakan minyak untuk tahan lebih lama.
  • Bila dah siap, simpan di bahagian freezer. Cili kisar buat sendiri tak boleh simpan lama di bahagian peti sejuk sebab ia tak ada pengawet, tak macam cili kisar yang kita dah beli siap dekat pasar raya tu.

Beras

Sumber Gambar Keluarga

Beras lah antara bahan dapur paling penting untuk disimpan lama sebab selalunya kita memang beli beras yang 10 kg terus. Apa yang membuatkan beras ni tak tahan lama selalunya adalah disebabkan kutu beras ataupun lebihan lembapan. 

Untuk mengelakkan masalah kutu beras, simpan beras di dalam bekas yang berpenutup. Letakkan beberapa tangkai cili kering juga di dalam tu untuk halau kutu beras daripada membiak. Bagi masalah lebihan lembapan pula, cuma perlu pastikan tangan dan bekas yang korang guna untuk cedok tu tak basah.

Bila dah tahu cara simpan bahan dapur tahan lebih lama ni, bolehlah korang elakkan pembaziran. Masa pun dapat dijimatkan, tak payahlah dalam sebulan tu sampai 2-3 kali ke pasar raya. Cara lain untuk elakkan pembaziran adalah dengan merancang pembelian barang keperluan harian yang korang boleh baca tipsnya di SINI.

Ikuti Kami

Anda Mungkin Minat

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Back to top button