KenderaanCara Mudah

Jangan Panik Kalau Tayar Kereta Pecah Semasa Memandu! Ikut 6 Langkah Ni Agar Berhenti Dengan Selamat

Tips Memandu Apabila Tayar Kereta Pecah

Kalau kita perasan tayar kereta bocor sebelum memulakan perjalanan, kita boleh terus tukar dengan tayar ganti dan bawa ke bengkel yang berdekatan untuk tutup lubang yang bocor tadi. Tapi macam mana kalau tengah memandu, tayar kereta pecah? Tahu-tahu je nanti, korang hilang kawalan kenderaan, dan dengan dalam keadaan panik tu, siapa tahu kan apa yang akan terjadi?

Macam Mana Tayar Kereta Boleh Pecah Semasa Memandu?

Secara umumnya, tayar pecah sebab tekanan udara dalam tayar turun dengan sangat mendadak disebabkan udara berpusu-pusu keluar melalui lubang yang kecil lalu ‘mengoyak’ tayar kereta sampailah ia pecah.

Antara sebab yang boleh menyebabkan tayar pecah adalah:

  • Hentaman Langsung: Tayar boleh pecah apabila kereta, dalam keadaan yang laju, melanggar lubang, objek di atas jalan, ataupun bonggol. Kalau ada nampak objek atau halangan di depan semasa memandu, perlahankan pemanduan korang dan cuba elak kalau boleh dan selamat. Jangan korang nak elak benda atas jalan korang pulak yang terbabas.
  • Suhu yang Tinggi:Semakin tinggi suhu dalam tayar, semakin tinggi tekanan udaranya, dan risiko untuk tayar pecah pun lagi tinggi. Pemanduan yang laju juga boleh menyebabkan suhu dalam tayar meninggi. Jadi, janganlah jadi hero di jalanan dan pandu kenderaan mengikut had kelajuan yang dah ditetapkan.
  • Tayar Kurang Angin: Antara majoriti punca kes tayar pecah di jalan adalah disebabkan tayar yang kurang angin. Apabila tayar kurang angin, luas permukaan tayar yang terkena dengan jalan akan menjadi semakin besar. Ini akan menyebabkan geseran yang tinggi lalu meningkatkan suhu dalam tayar. 

Sumber Gambar MEX

Sebab tu, setiap kali nak isi angin tayar, periksa berapa tekanan yang diperlukan oleh tayar kereta korang. Selalunya, di bahagian kanan tempat pemandu ada ditampal info mengenai tekanan ideal tayar kereta tersebut.

  • Kereta Terlebih Beban: Bila kereta dimuatkan dengan terlalu banyak barang atau orang, lebihan bebanan ni akan menyebabkan permukaan tayar yang terkena jalan semakin luas, sama kes seperti apabila tayar kurang angin. Kalau nak balik kampung atau pergi melancong, bawalah barang yang cukup-cukup je dan elakkan kereta daripada terlebih beban.

Apa Perlu Buat Kalau Tayar Kereta Pecah Semasa Memandu?

Sumber Gambar JPJ

Perkara yang paling penting, paling utama, jika korang menghadapi situasi tayar kereta pecah semasa memandu adalah jangan panik. Bila korang membiarkan perasaan panik menguasai diri, kepala tak dapat nak buat keputusan yang betul. Jadi bila benda ni terjadi, cuba untuk mengawal pernafasan dan tenangkan diri.

Kemudian, korang bolehlah ikuti langkah-langkah di bawah, supaya kereta dapat diberhentikan dengan selamat:

1. Kawal Kelajuan Kereta

Semakin perlahan kelajuan kereta, semakin tinggi peluang korang untuk selamat. Kelajuan kereta yang berlebihan boleh menyebabkan kereta hilang kawalan lalu terbalik. Jadi, cuba sedaya upaya korang untuk mengawal kelajuan kereta supaya ia tak dipandu dengan terlalu laju.

2. Jangan Terus Brek Secara Mengejut

Memang selalunya kalau ada apa-apa situasi yang mencemaskan berlaku, otak kita secara automatik suruh kita untuk terus menghentam pedal brek. Tapi kalau korang tekan brek secara mengejut, kereta akan hilang imbangan lalu berpusing dan terbalik.

3. Jangan Terus Lepaskan Pedal Pemecut

Memang kita nak perlahankan kereta kita, tapi jangan terus lepaskan kaki daripada pedal pemecut sebab nanti boleh hilang kawalan. Sebaliknya, angkat kaki secara perlahan-lahan sambil rendahkan gear.

4. Kawal Kereta untuk Terus Jalan Lurus

Pegang stereng dengan utuh, dan pastikan kereta bergerak lurus ke hadapan. Kereta akan cuba untuk bergerak ke bahagian tayar yang pecah tu, tapi korang kena cuba juga untuk kekalkan kereta dalam lorong yang sedia ada. 

5. Biarkan Kereta Perlahan-Lahan Berhenti

Bila korang dah berjaya perlahankan kereta dan memandu dalam keadaan yang lurus, biarkan kereta berhenti secara sendiri. Pastikan tempat kereta diberhentikan tu selamat dan tak berisiko untuk terjadi kemalangan lain.

6. Nyalakan Lampu Kecemasan

Apabila dah berhenti dengan selamat, nyalakan lampu kecemasan untuk memberitahu kepada pemandu yang lain supaya berhati-hati dan memperlahankan kenderaan diorang apabila menghampiri kereta korang.

Selepas itu boleh lah tukar tayar spare atau kalau dah teruk sangat boleh call insurans untuk tolong towing kereta korang ke bengkel.

Jadi bila korang tiba-tiba mengalami situasi tayar kereta pecah semasa memandu, jangan panik! Tenangkan diri, ikuti 6 langkah di atas ni supaya kereta dapat diberhentikan di tempat yang selamat dan kemalangan pun dapat dielakkan. Sebenarnya tayar kereta pun korang kena jaga angin dia dan juga mesti tukar setelah beberapa tahun tau! Baca lanjut di SINI

Ikuti Kami

Anda Mungkin Minat

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Back to top button