InformasiCara Mudah

Wanita Datang Bulan Waktu Puasa Pun Boleh Rebut Pahala! Ini 5 Amalan Bulan Ramadhan Bagi Wanita Haid

Tips Beribadah Bagi Wanita Yang Datang Haid Pada Bulan Ramadhan

Apa amalan bulan Ramadhan bagi wanita haid? Bulan Ramadhan adalah bulan yang dinanti-nantikan oleh seluruh umat Islam. Mereka nantikan bulan ini bukan kerana bazarnya, tetapi kerana ganjaran pahala yang berkali ganda lebih banyak tersedia untuk direbuti. Tetapi bagi golongan wanita pula, diorang tak dapat nak mengoptimumkan setiap hari di bulan Ramadhan memandangkan ada hari yang diorang tak boleh berpuasa disebabkan datangnya haid.

Mungkin mereka agak rasa rugi dan sedih sedikit sebab tak dapat nak berpuasa dan berterawih setiap hari. Saidatina Aisyah, isteri nabi Muhammad sendiri pun berasa bersedih apabila tak dapat menunaikan ibadah haji kerana haid. Rasulullah memujuk Aisyah dengan berkata, “Sungguh ini (haid) adalah perkara yang telah ditetapkan Allah untuk anak-anak perempuan keturunan Adam.” Hadis riwayat Bukhari.

5 Amalan Bulan Ramadhan Bagi Wanita Haid Yang Boleh Dilakukan untuk Merebut Pahala di Bulan Ramadhan

Walaupun ada amalan yang haram dilakukan wanita datang bulan, tetapi tak bermakna korang tak boleh ikut merebut pahala di bulan yang mulia ni! Di bawah ni, kitorang senaraikan 5 jenis amalan yang wanita haid boleh lakukan untuk merebut pahala semasa bulan Ramadhan:

Mendengar Bacaan Al-Quran

Sumber Gambar Sirap Limau

Wanita yang datang bulan diharamkan daripada membaca Al-Quran, tetapi Islam tak menghalang mereka untuk mendengarnya. Di waktu-waktu lapang, ataupun semasa membuat kerja-kerja rumah atau kerja pejabat, bolehlah pasang bacaan ayat Al-Quran dan mendengarnya sambil buat kerja. Di YouTube pun dah banyak video bacaan-bacaan ayat Al-Quran sedap yang korang boleh cari. Daripada dengar muzik je kan, bulan puasa ni kita ubah sikit, lagi untung dapat pahala.

Banyakkan Bersedekah

Sumber Gambar Liputan 6

Korang juga boleh memperbanyakkan sedekah. Tak kiralah nak masukkan duit ke dalam tabung surau dan masjid, atau memberikan duit pada peminta sedekah. Ataupun, kalau korang nak sedekah dengan cara memasukkan duit ke dalam baitulmal pun boleh. Dengan menggunakan Maybank2U, korang taip saja perkataan “baitulmal” pada bahagian Pay dan nanti akan keluar senarai baitulmal yang boleh dipilih.

Kalau tak pun sekarang ni memang banyak saluran derma secara atas talian yang korang boleh transfer je secara online. Lagi mudah kan?

Mengikuti Majlis-Majlis Ilmu

Sumber Gambar Cahaya Teman Sejati

Dulu, kalau orang nak mendengar ceramah ataupun tazkirah, mesti perlu ke masjid. Kesian pada wanita yang datang bulan masa tu sebab tak boleh masuk ke dalam masjid. Tapi zaman sekarang dah lain. Ustaz-ustaz dan penceramah-penceramah pun dah banyak gunakan platform media sosial untuk berkongsi tazkirah dan ceramah agama. Tak kiralah sama ada di Facebook, Instagram, mahupun YouTube, korang boleh mengikuti majlis ilmu ini secara maya.

Lidah Sentiasa Basah dengan Zikir dan Istighfar

Sumber Gambar Bincang Syariah

Waktu bulan Ramadhan ni, kita digalakkan untuk menjaga tutur kata. Elakkan daripada bercakap tentang hal-hal yang kosong. Kurangkan aktiviti membawang, sebaliknya banyakkanlah berzikir. Datang bulan tak bermakna korang tak boleh berzikir dan mengingati Allah. Sambil buat kerja pun lidah korang boleh lincah memuji-muji Ilahi.

Memang rasa susah kan nak berhenti daripada bergosip, tapi kalau tak sekarang bila lagi betul tak? Dengan korang kurang bercakap pun secara tak langsung dapat kurangkan diri daripada penat. Kan bagus tu.

Memberi Makan Pada Orang Yang Berpuasa

Sumber Gambar Tribun Jabar

Setiap kali menyediakan juadah berbuka untuk keluarga makan ataupun berikan pada jiran, korang sebenarnya dapat pahala yang sama dengan pahala orang yang berpuasa! Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Zaid bin Khalid al-Juhani R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

“Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa dia akan mendapat pahala yang sama dengan orang yang berpuasa dalam keadaan pahala orang tersebut tidak berkurangan sedikit pun.”

Riwayat Al-Tirmizi (807)

Ternyata, datang haid bukanlah menjadi satu penghalang buat wanita yang mahu merebut pahala semasa bulan puasa. Kalau korang lakukan amalan-amalan di atas pun boleh membuatkan bulan Ramadhan sebagai satu bulan bermakna walaupun tak dapat berpuasa penuh.

Kaum wanita mesti kadang rasa penat bila bulan puasa sebab kena masak untuk berbuka lepastu sahur lagi kan? Tahu tak korang boleh sediakan pes masakan mudah siap-siap dulu lepastu sahur nanti tinggal tumis dan masukkan ayam atau ikan dan sebagainya je. Baca lanjut di SINI

Ikuti Kami

Anda Mungkin Minat

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Back to top button