InformasiCara Mudah

Wajib Bayar Fidyah Jika Tak Sempat Ganti Puasa, Ini Cara Bayar Fidyah Online & Kadar Setiap Negeri

Cara Bayar Fidyah Online & Kadar Fidyah Setiap Negeri

Tinggal lebih kurang sebulan saja lagi sebelum kita akan mula berpuasa di bulan Ramadan. Sekaranglah waktu yang paling sesuai bagi mereka yang belum menggantikan puasa, untuk gantikannya sebelum terlambat. Bagi yang tak sempat nak gantikan puasa pula, korang wajib membayar fidyah bagi setiap hari puasa yang tak sempat digantikan. Lepastu puasa ditinggalkan tu pun perlu digantikan juga tau. 

Baca Juga : Cara Lafaz Niat Ganti Puasa Ramadhan

Apa Itu Fidyah?

Fidyah ni adalah bayaran denda yang dikenakan kepada seseorang yang tak dapat menggantikan puasa di bulan Ramadan untuk sesuatu tahun, sehinggalah tiba bulan Ramadan yang berikutnya. Hukum untuk membayar fidyah adalah WAJIB.

Antara golongan yang termasuk dalam kategori wajib membayar fidyah adalah:

  • Orang tua yang uzur ataupun pesakit yang tak ada harapan untuk sembuh. Golongan ni tak perlu menggantikan puasa kerana faktor kesihatan, jadi diorang wajib membayar fidyah.
  • Orang yang telah meninggal dunia. Warisnya yang perlu membayarkan fidyah bagi pihak si mati sebelum pembahagian harta pusaka dibuat.
  • Orang yang melewatkan penggantian puasa sehingga tiba Ramadan yang berikutnya.
  • Perempuan mengandung ataupun yang menyusukan anak yang takut akan keselamatan anaknya.

Kalau nak tahu dengan lebih lanjut lagi mengenai situasi atau keadaan apa yang memerlukan seseorang tu perlu membayar fidyah ataupun menggantikan puasa, korang boleh rujuk infografik yang disediakan oleh JAKIM di bawah ni:

Kadar Fidyah Bagi Setiap Negeri Tahun 2020 / 2021

Kadar fidyah yang perlu dibayar adalah berbeza bagi setiap negeri. Harga fidyah yang dikenakan adalah berdasarkan harga secupak beras yang dikenakan oleh pemerintah negeri tersebut dan ia akan berubah dari semasa ke semasa, mengikut pentadbir di tempat tersebut.

Di bawah ni adalah senarai harga fidyah mengikut negeri masing-masing bagi tahun 2020/2021:

  • Wilayah Persekutuan – RM 4.00
  • Selangor – RM 1.80
  • Melaka – RM 1.80
  • Johor – RM 1.75
  • Pahang – RM 1.75
  • Terengganu – RM 1.75
  • Kelantan – RM 1.75
  • Kedah – RM 1.80
  • Pulau Pinang – RM 1.75
  • Perak – RM 1.80
  • Perlis – RM 5.00
  • Negeri Sembilan – RM 1.75
  • Sarawak – RM 1.75
  • Sabah – RM 1.75

Cara nak kira berapa fidyah yang perlu dibayar, korang boleh ikut formula di bawah:

Bilangan hari tidak berpuasa X Kadar Fidyah = Fidyah yang perlu dibayar

Tapi macam mana pula kalau terdapat beberapa tahun tunggakan fidyah yang belum dibayar? Adakah dikenakan gandaan? Jawapannya, ia bergantung kepada negeri masing-masing.

  • Selangor & Perlis: Tidak mempunyai gandaan fidyah.
  • Wilayah Persekutuan & Kedah: Dibuat atas kemampuan. Jika mampu, bayar dengan kadar gandaan.
  • Negeri-negeri lain: Bayaran fidyah berganda.

Cara kiraan fidyah yang berganda adalah:

Bilangan hari tidak berpuasa X (Tahun gandaan*) X Kadar fidyah = Fidyah yang perlu dibayar

*Tahun gandaan adalah bilangan tahun yang puasanya ditinggalkan, setelah tolak satu tahun sebab tahun pertama adalah tahun yang boleh digantikan puasa. Apabila tiba Ramadan yang seterusnya, barulah tahun tersebut dimasukkan dalam kiraan.

Contoh :

Tidak berpuasa kerana haid pada Ramadan 1439H (2017) dan puasa ini masih belum berganti sehingga 1442H (2020).

Maka tahun gandaan ialah 2 TAHUN, ini adalah kerana dari Syawal 1439H hingga Syaaban 1440H adalah tempoh satu tahun yang diperintahkan untuk mengganti puasa.

Sumber Gambar Hasrul Hassan

Bila Perlu Bayar Fidyah? Dan Macam Mana Kalau Terlupa Berapa Hari Puasa yang Tertinggal?

Sebenarnya tak ada satu tempoh yang tetap bila perlu selesaikan pembayaran fidyah, tapi para fuqaha telah memutuskan adalah sebaik-baiknya untuk melakukan pembayaran fidyah secepat mungkin, sebaik saja ibadat tersebut tak dapat dilaksanakan. Sebab risau kalau dibiarkan tertangguh, lama-lama tak sempat atau tak mampu pula untuk membayarnya.

Tapi macam mana pula kalau korang terlupa berapa hari puasa yang tertinggal? Caranya adalah dengan menggunakan anggaran, dan buat lebih sedikit daripada anggaran tersebut. Contohnya, tak ingat berapa hari yang tertinggal puasa, tapi korang yakin ia tak lebih dari 2 minggu. Jadi ambillah tempoh 2 minggu tersebut.

Cara Membayar Fidyah Secara Online

Sekarang ni, semuanya mudah je. Bukan bayar zakat saja boleh dilakukan secara online, malah pembayaran fidyah pun sama! Berikut merupakan senarai laman web dan kadar fidyah yang perlu dibayar bagi setiap negeri, korang hanya perlu klik pada nama negeri saja untuk ke laman web pembayaran fidyah masing-masing:

Bagi negeri Pahang, Sarawak, dan Pulau Pinang, tidak disediakan platform untuk membayar fidyah secara online. Jadi korang perlulah ke kaunter Majlis Agama Islam atau Pusat Pungutan Zakat Negeri untuk membuat pembayaran secara manual.

Jadi bila dah tahu dengan lebih mendalam lagi tentang fidyah, korang bolehlah cepat-cepat selesaikan pembayarannya sebelum bulan Ramadan muncul tak lama lagi. Kita sebagai umat Islam perlulah menyelesaikan sesuatu yang wajib agar tak kesusahan di akhirat nanti.

Segala apa yang kita lakukan, sebagai umat Islam, mestilah perlu selari dengan syarak. Ini termasuklah dengan pelaburan simpanan KWSP. jika akaun KWSP korang masih bersifat konvensional, lebih baik kalau ditukarkan kepada akaun yang patuh syariah. Cara-cara untuk menukarnya, korang boleh rujuk di SINI.

 

Ikuti Kami

Anda Mungkin Minat

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Back to top button