MakananRumah

Macam Mana Nak Pilih Ikan Segar? Ini 5 Tips Mudah Tahu Ikan Masih Segar!

Cara Pilih Ikan Segar Di Pasar Atau Kedai

Ikan

Sumber Gambar Dreams Time

Kalau korang baru pertama kali nak ke pasar untuk membeli ikan, benda paling penting yang korang kena pastikan ialah ikan yang dibeli tersebut masih segar. Ikan segar rasanya masih sedap dan selamat untuk dimakan. Kalau korang terbeli ikan busuk, besar kemungkinan korang akan ke tandas kerana sakit perut selepas makan ikan tu.

Melainkan tinggal di kawasan perairan seperti perkampungan nelayan di mana korang boleh beli terus dari nelayan yang baru balik dari laut, korang wajib tahu cara memilih ikan segar jika hendak membeli ikan. Terutamanya kalau korang beli ikan di supermarket atau pasar ikan di bandar. Jangan pening atau risau kerana nak memilih ikan segar ini bukanlah perkara yang mustahil, korang cuma perlu baca dan ikuti 5 tips mudah ini:

Cara Pilih Ikan Segar Di Pasar Atau Kedai

Ini antara tips untuk memilih ikan yang segar:

#1 Perhatikan Mata Ikan, Kalau Keruh Dan Tenggelam, Elak Beli!

Ikan

Sumber Gambar SlamXHype

Sepertimana kita boleh mengenali manusia dengan merenung ke dalam mata mereka, begitu juga dengan ikan. Perhatikan mata ikan yang hendak dibeli dengan teliti. Ikan yang segar kebiasaanya mempunyai mata yang jernih, cerah dan sedikit timbul. Ikan yang sudah tidak segar matanya akan kelihatan keruh, pudar dan tenggelam.

Perkara ini berlaku apabila ikan tersebut sudah berada di luar air laut atau sungai untuk tempoh yang agak lama. Kalau korang tak pasti sekiranya mata ikan tersebut jernih atau keruh, pilih ikan yang lain yang korang boleh pastikan matanya jernih, cerah dan sedikit timbul. Bukan nak kata tak boleh makan, tapi jika ada pilihan yang lebih segar pilih lah yang tu kan!

 

#2 Lihat Warna Insang. Kalau Masih Merah = Masih Segar!

Sumber Gambar Health Guidance

Selain daripada mata ikan, untuk pastikan ikan tersebut masih segar, korang juga boleh periksa insang ikan tersebut. Secara mudahnya, semakin merah warna insang ikan tersebut, bermaksud semakin segarlah keadaan ikan itu. Insang ikan yang segar juga masih basah dan tidak terlalu berlendir.

Ikan yang lama atau sudah tidak segar, kebiasaannya warna insangnya akan bertukar menjadi lebih pudar dan berwarna coklat. Selain itu, ianya juga dalam keadaan keras dan terlalu berlendir. Jadi pastikan ikan yang korang pilih insangnya masih dalam keadaan yang baik kalau korang nak beli ikan yang segar.

 

#3 Nilailah Ikan Dari Luarannya!

Sumber Gambar ResearchGate

Kita selalu kata jangan menilai manusia dari luaran. Tapi ini ikan, bukan manusia! Bagi memastikan ikan yang kita hendak beli itu masih segar, kita kena perhatikan keadaan kulit dan sisik ikan tersebut. Haa korang kan dah biasa tengok manusia dan bandingkan rupa paras semua, ini tengok dekat ikan pula.

Ikan yang segar mempunyai kulit yang cerah dan berkilat selain mempunyai sisik yang masih kuat. Kalau korang ke pasar dan melihat ikan yang warna kulitnya sudah pucat, sisiknya pula rapuh dan mudah tercabut, elakkan beli ikan tersebut. Tanda-tanda tersebut menunjukkan ikan tersebut sudah tidak lagi segar dan mungkin juga sudah busuk.

 

#4 Periksa Tekstur Isi Dan Perut Ikan. Kalau Lembik = Tidak Segar!

Sumber Gambar Says

Tadi kita sudah menggunakan mata kita untuk memeriksa sama ada ikan yang kita hendak beli masih segar atau tidak. Sekarang tiba saatnya kita gunakan jari kita pula! Tekstur isi dan perut ikan merupakan salah satu indikator penting untuk korang memeriksa kesegaran ikan yang hendak dibeli.

Secara mudahnya, ikan yang masih segar, tekstur isinya masih keras atau kenyal jika ditekan sedikit dengan menggunakan jari, terutamanya di bahagian perut, serta tidak berlendir. Jika teksturnya lembik dan berlendir, terutamanya bahagian perutnya jika sudah pecah, elakkan dari dibeli kerana itu petanda ikan tersebut sudah tidak lagi segar.

 

#5 Hidu Bau Ikan. Kalau Busuk, Jangan Beli!

Sumber Gambar Says

Sekarang kita guna hidung untuk memastikan ikan yang kita pilih masih segar. Korang pernah tak ke pasar dan menghidu ikan yang berbau busuk. Kita boleh berfikir secara logik, sesuatu yang berbau busuk bermaksud ada masalah padanya. Ikan yang berbau busuk bermaksud sudah tidak lagi elok dan boleh membawa risiko keracunan makanan jika dimakan.

Korang nak tahu ikan segar berbau apa? Cuba korang duduk di tepi pantai dan hidu bau lautan. Ikan segar itu seperti yang disebut kebanyakan orang mempunyai bau laut. Pilih ikan yang berbau laut kalau korang nak ikan yang segar. Jangan pula korang keliru bau hanyir ikan dengan bau busuk ya!

 

Sekarang korang dah tak perlu lagi risau bagaimana nak memilih ikan yang segar di pasar. Cukup tahu dan ikuti 5 tips ini, ikan yang korang pilih sudah semestinya masih segar dan elok. Selamat mencuba dan kalau rasa bermanfaat boleh lah kongsikan pada yang lain. Kalau nak tahu tips pilih ayam segar boleh rujuk panduan di SINI.

Ikuti Kami

Anda Mungkin Minat

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Back to top button