KenderaanCara Mudah

Nak Beli Kereta Terpakai Atau Second Hand? Ikuti Tips Ini Agar Tidak Tertipu…

Cara Beli Kereta Terpakai Atau 2nd Hand Dengan Betul & Selamat

Apabila hendak beli kereta terpakai, ramai akan teragak-agak atau berada dalam kerisauan untuk mencari kereta terpakai yang sesuai dan elok untuk dibeli. Jadi tak hairanlah kalau industri kereta terpakai agak lembap sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Namun antara kelebihan membeli kereta terpakai ini adalah lebih murah dari membeli kereta baharu, sekali gus komitmen bulanan korang akan lebih rendah. Jika korang berniat dan bertekad untuk membeli kereta terpakai, pastikan korang tengok tips ini terlebih dahulu.

Cara Beli Kereta Terpakai Atau 2nd Hand Dengan Betul & Selamat

Sumber Gambar hmetro

1. Tengok Poket Sendiri Baru Pilih Kereta Apa Nak Beli

Benda paling utama sekali korang kena buat ialah tetapkan bajet kewangan korang sebelum tetapkan model kereta yang korang nak beli. Contohnya kalau bajet korang RM 5000 sahaja, maka model kereta yang korang boleh beli dalam lingkungan bajet tu ialah sama ada Proton Saga keluaran tahun 1990 ataupun Perodua Kancil keluaran tahun 1993. Jadi jangkaan korang akan seiring dengan kemampuan dan bajet korang.

Disebabkan harga kereta terpakai yang lebih rendah dari harga kereta biasa, sesetengah orang memilih untuk membeli secara tunai, tiada kadar faedah atau keuntungan akan dikenakan ke atas korang jika memilih cara ini untuk membeli. Lagi untung lah orang cakap kalau buat cara ni.

Namun, andai korang memutuskan untuk beli kereta terpakai melalui pembiayaan atau pinjaman bank, perkara yang korang kena ambil tahu ialah kadar faedah atau keuntungan yang bank akan kenakan atas pinjaman atau pembiayaan tersebut lebih tinggi daripada kereta baharu. 

Sumber Gambar CIMB

Perbandingan kadar faedah/keuntungan bank untuk pembiayaan kenderaan baru dan terpakai di bank CIMB

Di sini korang kena buat penilaian jika dengan kadar faedah/untung bank yang lebih tinggi, adakah masih dalam bajet korang dan berbaloi untuk membeli kereta terpakai ini. Ingat, bayaran ansuran bulanan kereta tak seharusnya melebihi 30% pendapatan bulanan korang.

2. Survei Harga Online Je Dulu! Jimat Masa dan Lebih Mudah

Setelah korang dah tetapkan bajet, sebelum korang pergi mengunjungi premis kereta terpakai, buat survei dan kajian sendiri dulu, kereta terpakai apa yang korang boleh beli dalam bajet korang. Ini juga membantu untuk korang tahu harga pasaran kereta terpakai untuk mengelak dari membeli kereta terpakai melebihi harga pasarannya di premis kereta terpakai. Senang cerita tak kena ketuk harga! 

Korang boleh buat survei ini secara online dengan pergi ke laman web seperti dalam senarai di bawah untuk membuat semakan. Korang tetapkan had bajet contohnya RM 20,000 dan laman web ini akan memaparkan pelbagai pilihan model kereta di bawah bajet itu:

3. Bawa Mekanik Sendiri Untuk Periksa Kereta Jadi Tak Mudah Ditipu!

Setelah korang dah pilih nak beli kereta apa, paling elok jika korang bawa mekanik sendiri jika ada kenalan yang bekerja sebagai mekanik ke premis kereta terpakai untuk memeriksa kereta tersebut, lebih-lebih lagi apabila korang sendiri tak ada pengalaman memeriksa kenderaan secara teliti. Mekanik mempunyai kepakaran untuk menilai bahagian luaran dan dalaman kereta yang korang nak beli. Ada tiga bahagian yang biasanya akan diperiksa untuk kereta terpakai:

i. Bahagian Badan

Bahagian badan ini akan diperiksa untuk melihat sekiranya ada kesan kemalangan. Jika kereta pernah mengalami kemalangan yang teruk, seelok mana pun dibaiki, tetap akan mempunyai masalah dengan pengendalian.

Kereta-kereta seperti ini banyak di pasaran dan pembeli yang tiada kemahiran dan pengalaman memeriksa kereta biasanya akan terkena. Korang juga boleh rujuk borang B2 yang mengesahkan kenderaan tersebut selamat digunakan oleh JPJ(Jabatan Pengangkutan Jalan) walaupun pernah terbabit kemalangan.

ii. Bahagian Tersembunyi Yang Sukar Dilihat

Bahagian yang dimaksudkan ini termasuklah:

  • Bawah pelapik bonet belakang
  • Getah sekeliling pintu
  • Bawah karpet lantai
  • Bahagian cantuman seperti fender kepada kerangka
  • Pillar kepada kerangka mesti tiada kesan buka pasang, warna mesti sekata dan catatan rivet mesti kemas

Sumber Gambar Facebook 

Contoh bahagian pillar kerangka kereta Proton iriz 

iii. Bahagian mekanikal 

Periksa bahagian mekanikal dan pastikan semuanya berfungsi dengan elok seperti power window, lampu, indikator pada meter dan ABS. Nampak remeh tetapi jangan sesekali abaikan.

4. Pandu Uji Dulu! Nampak Cantik Tak Semestinya Tiada Masalah

Sama ada kereta baru atau lama, jangan sesekali beli kereta tanpa pandu uji walaupun pada mata kita semuanya elok setelah pemeriksaan dibuat. Ini untuk memastikan pemanduan korang dengan kereta tersebut selesa dan lancar. 

Sebelum pandu uji, hidupkan enjin kereta dan biarkan selama 10-15 minit. Waktu ni, korang cuba tengok bahagian bawah enjin kalau ada kebocoran minyak pelincir atau minyak gear, periksa radiator sama ada berfungsi dengan elok dan uji tahap kesejukan pendingin hawa kereta tersebut.

Sumber Gambar paultan

Seterusnya masa enjin tengah sejuk dan melahu (dalam mod idle), cuba tekan brek dan masukkan gear “R” dan “D” untuk kereta transmisi automatik dan kesemua gear untuk kereta transmisi manual. Pastikan gear tersebut betul-betul rasa terkunci ketika tuil gear dimasukkan untuk setiap gear. Jika sukar untuk memasukkan gear tersebut waktu enjin sejuk, ini bermaksud kereta tersebut mempunyai masalah kotak gear. Sila cari kereta lain atau berunding dengan penjual sama ada untuk mengurangkan harga atau membaiki kerosakan tersebut.

Sumber Gambar maskulin

Jika semuanya okay, korang boleh mula untuk pandu uji kereta tersebut. Beri perhatian jika kereta tersebut ada mengeluarkan bunyi yang ganjil ketika memandu, terutamanya pada bahagian transmisi, rak stereng, absorber dan brek. Jika ada bunyi yang ganjil, itu bermaksud bahagian tersebut sudah pakai lusuh, cuba bincang dengan jurujual untuk dibaiki atau diganti baru.

5. Periksa Dokumen Dan Rekod Kereta Terpakai. Boleh Jadi Kereta Potong!

Ramai yang tak ambil tahu perkara ini bila sudah berpuas hati dengan keadaan kereta yang nak dibeli. Dokumen paling penting untuk korang kena periksa ialah geran asli kereta tersebut. Semak nombor casis dan enjin, pastikan nombor tersebut sama dengan kereta yang korang nak beli.

Sumber Gambar saharol

Contoh geran asli kereta

Selain dari nombor casis dan enjin, benda lain yang korang kena semak ialah ada cop ‘DIBATALKAN’ oleh pihak JPJ pada kolum ‘Untuk Kegunaan Pejabat’ atas cetakan ‘Hak Milik Dituntut Oleh:…”.

Akhir sekali, pastikan kereta tersebut tidak tertakluk bawah sekatan JPJ kerana kereta di bawah sekatan tersebut tidak boleh dipindah milik langsung dalam masa 24 bulan dari tarikh didaftarkan. Kereta ini biasanya kereta import yang masuk secara persendirian oleh pelajar/pekerja luar negara.

 

Nombor enjin dan nombor casis kereta(Gambar dari sukanpermotoranmalaysia)

6. Pelepasan Tanggungan Dan Tribunal Pengguna

Setelah selesai semua langkah-langkah tadi dengan lancar, pinjaman kereta korang pun dah diluluskan (jika membeli secara pinjaman), maka tiba masa untuk korang mengambil kereta. 

Sebelum mengambil kunci dan menandatangani perjanjian bank dan perjanjian jual beli, sila semak semula Sebut Harga asal dalam bentuk bertulis supaya tiada apa yang ditambah dan sesuai dengan yang telah dipersetujui. Korang juga jangan lupa hak korang sebagai pengguna, jika merasakan diri tertipu dan sebagainya oleh penjual, buat laporan rujuk kepada bahagian Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia.

Kesimpulannya, kalau korang ikuti langkah tadi dan ada kemahiran dalam membeli kereta terpakai, kereta yang korang beli akan benar-benar berbaloi dengan nilai yang korang bayar, terutamanya untuk yang berbajet kecil. Kalau gaji rendah nak buat pinjaman kereta macam mana? Baca SINI

Ikuti Kami

Anda Mungkin Minat

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Back to top button