InformasiRumah

Selalu Sakit Tengkuk dan Belakang Masa Gunakan Laptop? Mungkin Sebab Cara Korang Duduk Tu Salah!

Tips Duduk Dengan Betul Ketika Menggunakan Komputer Riba

Kalau selalu buat kerja atau assignment dengan laptop, mesti korang pernah mengalami masalah sakit belakang ataupun sakit tengkuk, kan? Lagi takut ada sesetengah kes tu boleh jadi sampai slip disc. Bila dah mula PKP ni, makin ramailah yang kena buat kerja atau belajar dari rumah dan benda ni boleh menyebabkan masalah sakit tengkuk dan sakit belakang makin bertambah sebab kita tak ada perabot yang ergonomik atau sesuai di rumah kalau nak dibandingkan dengan perabot di pejabat.

Kalau selalu sakit tengkuk atau belakang lepas duduk di hadapan laptop dalam satu tempoh yang lama, ini bermakna korang perlu tukar postur badan kepada yang betul. Duduk dengan cara yang betul boleh mengelakkan tekanan atau regangan pada bahagian bahu dan tengkuk yang boleh menyebabkan kesakitan.

Tips Duduk di Depan Laptop dengan Betul untuk Elak Sakit Tengkuk dan Belakang

Sumber Gambar HonestDocs

Kalau dibiarkan je, masalah sakit tengkuk dan belakang ni lama-lama boleh mengakibatkan kesakitan yang lebih besar. Tapi nasib baiklah ada banyak cara yang korang boleh ikut untuk duduk di depan laptop dengan betul supaya tak sakit belakang dan tengkuk, iaitu:

1. Jangan Letak Laptop di Atas Riba

Walaupun memang namanya komputer riba, tapi korang tak digalakkan untuk meletakkannya di riba. Faham je kalau korang letak laptop di atas riba tu kadang-kadang rasa lagi selesa tapi ia sebenarnya tak bagus untuk badan.

Bila korang letakkan laptop di riba, ia akan memaksa badan untuk membongkok ke depan dan kepala pula akan menunduk lebih ke bawah. Ini akan memberikan tekanan kepada bahagian belakang dan tengkuk korang. Solusinya adalah letakkan laptop di meja supaya skrin laptop lebih tinggi, jadi korang tak perlu menunduk. Kalau sekeliling tak ada meja, boleh alaskan riba dengan beg atau bantal untuk tinggikan lagi kedudukan laptop tersebut.

Sumber Gambar The Fames

2. Tinggikan Lagi Kedudukan Skrin

Kedudukan ideal skrin laptop adalah apabila korang tak perlu nak tundukkan kepala untuk melihat skrin. Kalau korang buat kerja di meja, tinggikan kedudukan laptop  dengan cara meletakkan di atas permukaan yang rata dan stabil seperti buku-buku ataupun laptop stand. Kedudukan skrin korang sepatutnya berada hampir dengan kedudukan mata, barulah sakit tengkuk sebab menunduk boleh dielakkan.

3. Jangan Biarkan Kaki Tergantung

Kalau korang perlu tinggikan kerusi untuk memastikan kedudukan tangan jadi selesa semasa buat kerja, periksa pula kedudukan kaki. Kaki korang sepatutnya terletak elok di atas lantai. Kalau kaki korang tergantung di udara sebab kerusi tinggi sangat, ia akan menjadi beban kepada pinggang sebab graviti akan menarik kaki ke bawah dan ini akan menambah beban pada pinggang. Kalau kaki tak cecah lantai, sebaiknya letakkan bangku kecil supaya korang boleh letakkan kaki di situ. Kalau takda bangku ke kat rumah tu kotak kasut yang tak pakai pun boleh je guna.

Sumber Gambar Back Centre

4. Rehat Dulu Kalau Penat

Setkan peringatan atau alarm dalam telefon untuk korang rehat setiap setengah jam. Alihkan mata daripada skrin dan pandang ke tempat lain untuk merehatkannya. Lebih baik kalau dapat pandang pokok-pokok yang menghijau. Selain tu, korang juga boleh bangun dan meregangkan anggota badan atau berjalan sekejap untuk biarkan darah kembali mengalir dengan normal. 

5. Posisikan Laptop di Sebelah Tingkap

Bagi mengelakkan mata korang sakit sebab silau, elakkan daripada duduk membelakangi tingkap. Cahaya matahari daripada tingkap akan memantul di skrin korang dan akan menyebabkan silau. Elakkan juga daripada duduk berhadapan dengan tingkap sebab cahaya matahari akan menyuluh tepat ke arah korang dan akan mengganggu konsentrasi. Seeloknya, letakkan laptop bersebelahan atau di sisi kanan atau kiri tingkap supaya korang dapat cahaya yang mencukupi tanpa rasa silau.

6. Sandarkan Belakang pada Kerusi

Masa nak buat kerja depan laptop, elakkan daripada terlalu tegakkan atau membongkokkan badan. Kedua-dua benda ni akan menyebabkan tulang belakang sama ada terlalu merenggang ataupun terlalu memampat. Sebaiknya kalau sandarkan belakang badan pada kerusi supaya badan akan jadi lebih relaks. Kalau kerusi yang korang duduk jenis yang tak melekuk, letakkan bantal supaya bahagian bawah badan dapat ditampung bebannya.

Korang boleh amalkan tips-tips ni setiap kali perlu duduk lama di depan laptop sama ada untuk buat kerja ataupun belajar online atau PdPR di rumah. Makin selesa dan betul postur badan korang, makin kuranglah risiko untuk mengalami kesakitan. 

Kadang-kadang susah betul kalau kena bekerja atau belajar dari rumah. Ada je halangan yang akan datang mengganggu, yang membuatkan kita susah untuk jadi produktif. Tapi kalau korang amalkan tips-tips ini, bekerja atau belajar dari rumah tak jadi satu masalah lagi!

 

Ikuti Kami

Anda Mungkin Minat

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Back to top button