PermohonanAgama

Cara Daftar Haji Melalui KWSP Percuma & Pengeluaran Haji Maksimum RM3,000

Cara Pendaftaran Haji Menerusi KWSP Tanpa Deposit RM1300

Sebenarnya masih ramai tak tahu, ada cara daftar haji melalui KWSP tanpa perlu bayar sendiri deposit RM1300. Ye lah ada sesetengah daripada kita bukannya ada duit simpanan yang banyak kan. Kadang tu duit gaji memang cukup-cukup je untuk belanja pada bulan tu. Jadi macam mana pula nak cari duit nak simpan dalam tabung haji untuk pergi ke haji kan? Jangan risau Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Tabung Haji (TH) telah menyediakan inisiatif untuk memudahkan kita.

Inisiatif tersebut telah diperkenalkan mulai 3 Januari 2012 di mana KWSP bekerjasama dengan TH untuk menawarkan perkhidmatan mendaftar haji menggunakan deposit duit daripada akaun KWSP mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan. Kemudahan ini diberikan khusus untuk ahli KWSP yang berpendendapatan rendah untuk berpeluang menunaikan haji. Jadi tak ada lah kita perlu berhutang ke untuk tunaikan haji kan.

Memang lah ada orang kata haji tu wajib buat kalau berkemampuan, tapi kita perlu berusaha juga dan ini salah satu daripada caranya untuk tunaikan rukun Islam yang kelima. Satu lagi, daftar haji ni perlu buat awal sebab kita kena tunggu giliran juga sebab tempoh menunggu bertambah dari tahun ke tahun. Jangan terkejut kalau ada yang kena tunggu sampai seratus tahun lagi. Tapi untuk ahli yang sudah mempunyai simpanan yang cukup dalam tabung haji boleh je untuk buat rayuan.

Cara Daftar Haji Melalui KWSP Tanpa Deposit RM1300

Berikut langkah untuk mendaftar haji melalui KWSP:

1. Layari Portal KWSP : https://www.kwsp.gov.my/ms/home

2. Log masuk ke i-Akaun atau gunakan aplikasi i-Akaun . Jika belum daftar boleh rujuk di SINI

3. Klik bahagian Akaun Peribadi atau Penyata

4. Muat turun dan cetak penyata KWSP untuk tahun yang tersedia

5. Selain itu boleh juga hadir ke mana-mana kiosk atau cawangan KWSP berhampiran dan cetak penyata kewangan KWSP semasa. Kiosk berhampiran rujuk di SINI

6. Seterusnya, sila hadir ke pejabat cawangan Tabung Haji berdekatan dengan membawa:

  • Kad Pengenalan (MyKad)
  • Penyata KWSP

7. Tekan pilihan Daftar Haji ketika mengambil nombor giliran di kaunter pendaftaran sebelum berurusan dengan pegawai di kaunter.

8. Beritahu pegawai di kaunter ingin mendaftar haji menggunakan KWSP lalu pemohon perlu menandatangan serta meninggalkan cap jari pada borang pendaftaran sebagai pengesahan.

Sumber Gambar Fahmi Hamid

Syarat Pendaftaran Haji Melalui KWSP

Untuk layak menyertai Skim Pendaftaran Haji KWSP, syarat yang perlu dipenuhi adalah:

  1. Merupakan Warganegara Malaysia
  2. Beragama Islam
  3. Mempunyai simpanan KWSP sekurang-kurangnya RM1,300.00
  4. Berumur 14 hingga 55 tahun sahaja

 

Lokasi Daftar Haji Selain Tabung Haji

Untuk korang atau mak ayah yang berada di kampung tu, mungkin tak ada cawangan tabung haji di kawasan terdekat kan. Jangan risau pendaftaran haji juga boleh dibuat melalui:

1. Kaunter Mudah Alih TH

2. Rakan Strategik TH : Bank Islam, Bank Rakyat, Maybank, CIMB dan AmBank

3. Portal & Aplikasi THijari

4. Hubungi Tabung Haji Contact Centre (THCC) di talian +603-6207 1919

 

Soalan & Jawapan Daftar Haji Melalui KWSP

Untuk yang masih kurang faham, berikut adalah beberapa soalan lazim bagi pendaftaran haji menerusi KWSP untuk rujukan semua:

1. Adakah ahli boleh mengeluarkan simpanan KWSP menerusi kemudahan ini?

Tidak. Kemudahan ini hanya bertujuan untuk mendapatkan giliran mengerjakan haji. Ia juga bukan bertujuan membiayai ibadah haji itu sendiri dan kekal sebagai simpanan KWSP ahli serta dividen akan diterima seperti biasa.

Baca Juga : Cara Pengeluaran KWSP Untuk Haji

2. Bolehkah ahli membuat pendaftaran haji bagi pasangan (suami, isteri) atau ibu bapa atau anak-anak di bawah kemudahan ini?

Tidak. Hanya pendaftaran individu ahli sahaja dibenarkan untuk kemudahan pendaftaran haji melalui KWSP ini.

3. Mengapa ahli yang berumur 55 tahun ke atas tidak layak menggunakan kemudahan ini?

Bermula umur 55 tahun, ahli boleh mengeluarkan kesemua simpanan KWSP pada bila-bila masa. Oleh itu, ahli boleh membuat pendaftaran sendiri dengan Tabung Haji menggunakan baki simpanan.

4. Bolehkah ahli yang telah mendaftar haji melalui Tabung Haji menukar kepada kemudahan Pendaftaran Haji Melalui KWSP tanpa melibatkan tarikh peruntukan giliran haji yang diberi sebelum ini?

Boleh. Tahun peruntukan giliran haji ahli kekal tanpa sebarang perubahan. Wang pendaftaran haji RM1,300.00 sebelum ini akan dicairkan. Pertukaran ini boleh dibuat di mana-mana cawangan Tabung Haji sahaja.

5. Bolehkah ahli KWSP mengeluarkan simpanan KWSP bagi tujuan membiayai kos keseluruhan menunaikan ibadah haji?

Simpanan KWSP merupakan wang simpanan persaraan ahli. Tetapi, dengan syarat tertentu, sebahagian wang dalam akaun KWSP ahli boleh digunakan untuk membiayai kos haji anda. Sila rujuk pautan berikut: Pengeluaran KWSP bagi kos menunaikan haji.

 

Cara Pengeluaran KWSP Untuk Haji

Kalau dah daftar haji dan tiba-tiba dapat panggilan untuk menunaikan haji tapi duit dalam akaun tak cukup, jangan risau boleh je guna duit KWSP untuk tanggung kos haji. Ini cara dan syaratnya:

Kelayakan Memohon

  • Umur bawah 55 tahun
  • Dipilih untuk melaksanakan ibadat haji oleh TH
  • Tidak pernah memohon pengeluaran haji
  • Simpanan di TH tidak mencukupi

Jumlah Pengeluaran

  • Perbezaan jumlah kos haji dengan baki simpanan akaun TH ahli tertakluk kepada amaun maksimum RM3,000
    ATAU
  • Baki Akaun 2 (mengikut mana yang lebih rendah)

Nota: Jumlah keseluruhan bagi ibadat haji yang ditentukan oleh TH bergantung kepada kos sebenar mengikut musim haji. Bgi ahli yang mengerjakan haji untuk kali kedua dan seterusnya, perbezaan di atas tidak termasuk kos visa haji.

Cara Mohon

Untuk memohon, sila hadir ke KWSP berhampiran dengan dokumen berikut:

  • Kad Pengenalan (MyKad)
  • Surat tawaran dari TH dengan status ‘DIPILIH’
  • Penyata akaun TH yang terkini

Nota: Ahli tidak perlu mengisi borang, hanya perlu menurunkan cop ibu jari di atas “Notis Pengesahan Pengeluaran” sebagai bukti permohonan pengeluaran

 

Maklumat Lanjut

Untuk mendapatkan sebarang maklumat lanjut sila rujuk butiran berikut:

Mudah sahaja kan proses nak daftar haji melalui KWSP. Dah lah tak perlu keluarkan sebarang duit simpanan kita, hanya tunjuk penyata akaun KWSP sahaja. Jadi tunggu apa lagi jom cepat daftar haji dan share ni pada orang lain yang masih ramai belum tahu lagi tu. Nak tahu cara bayar PTPTN guna akaun 2 KWSP boleh baca lanjut di SINI.

Ikuti Kami

Anda Mungkin Minat

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Back to top button